SEPERTI satu kebetulan, resipi Puding Titisan Hujan tiba-tiba sahaja tular di laman media sosial ketika bah besar melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Pembikinnya, Siti Masitah Awang Kechik atau lebih mesra disapa Mak Su yang memuat naik resepi itu tidak menyangka, perkongsian beliau telah menarik perhatian ramai orang yang telah mencuba membuatnya.

“Namun, ingin saya jelaskan, ia sebenarnya tiada kena mengena dengan musim hujan ataupun banjir. Ia dipanggil Puding Titisan Hujan atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai Rain Drop Cake adalah disebabkan rupa bentuknya ibarat seperti titisan hujan yang jatuh,“ terangnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Baca juga Kanak-kanak Melayu sediakan kek ‘sate’ tarik perhatian juri rancangan masakan terkenal UK

Terlebih dulu, Mak Su memberitahu, sajian berkenaan sebenarnya berasal dari Jepun. Ia dikenali sebagai Mizu Shingen Mochi.

Hasil carian SinarPlus mendapati, pencuci mulut berkenaan kemudian menjadi popular di Amerika Syarikat selepas diperkenalkan oleh cef dari negara itu, Darren Wong.

Kata Mak Su, kebanyakan bahan ramuan untuk menu itu telah ditukar kepada produk lokal yang senang dibeli di negara ini.

Ketika ditanya apa keistimewaan Puding Titisan Air Hujan berbanding puding yang dibuat oleh pihak lain, Mak Su berkata, ia mungkin berbeza dari segi ‘rupa paras‘ resipinya yang nampak lebih membulat dan jernih.

Untuk segmen Resipi Orang Kita, tidak sah kalau penulis tidak bertanyakan tentang tip untuk menghasilkan kulinari yang sempurna.

MAK SU turut mengusahakan perniagaan tart nenas sebagai pendapatan sampingannya.

Bersedia untuk membongkar rahsianya, Mak Su berkata, beliau menggunakan air yang telah ditapis seperti air mineral atau air daripada mesin penapis berjenama.

Namun demikian, air paip boleh digunakan untuk memasak sajian viral itu, namun hasil kejernihan puding yang diperoleh tidak sama.

“Bukan itu sahaja, saya juga akan melebihkan air ke dalam adunan bahan. Pendekatan sebegitu membolehkannya (adunan) menjadi lebih lembut persis titisan air hujan yang jatuh ke atas mana-mana permukaan,“ katanya.

Baca juga 5 bahan mudah buat tart Oreo. Tak perlu guna oven!

Iklan

Beritahu Mak Su, terdapat pro dan kontra sekiranya seseorang membubuh air pada nisbah yang terlalu banyak atau kurang ketika dalam pembikinan sajian minum petang itu.

“Jika terlebih air, sajian sukar dipindahkan dari periuk ke dalam bekas. Seandainya terkurang air pula, puding akan jadi keras,“ katanya.

Ungkap wanita yang berasal dari Perak dan kini menetap di Kuala Lumpur itu, beliau hanya meletakkan satu sudu gula kastor untuk menghasilkan puding yang tidak terlalu manis dan ideal dimakan untuk sesiapa sahaja.

RESIPI PUDING TITISAN HUJAN

Iklan

BAHAN-BAHAN
700 mililiter air
½ sudu besar serbuk agar-agar
1 sudu makan gula kastor

BAHAN HIASAN
Air gula melaka
Kacang soya

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Cara penyediaan:

  1. Campurkan kesemua bahan puding ke dalam periuk sehingga mendidih.
  2. Setelah adunan mendidih, tuangkannya ke dalam mangkuk yang bulat supaya tekstur kelihatan seperti titisan air hujan.
  3. Kemudian, simpan ke dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama 30 minit.
  4. Untuk bahan hiasan pula, sangai serbuk kacang soya ke dalam kuali sehingga keperangan dengan menggunakan api yang perlahan.
  5. Tutup api dan ketepikannya.
  6. Selepas 30 minit, keluarkan puding dan terbalikkan di atas pinggan yang sesuai perlahan-lahan.
    Akhir sekali, hidang dengan tambahan air gula melaka dan taburan serbuk kacang soya tadi.

Sumber Siti Masitah Awang Kechik