APA menariknya apam daun rambai? Persoalan itu penulis tujukan kepada anak jati Negeri Sembilan, Nurfadhilah Mat Nasir, 37, yang mengaku mahir membuat sajian berkenaan.

Kepada SinarPlus Nurfadhilah berkata, keistimewaannya ialah pada daun rambai yang digunakan membaluti separuh kuih berkenaan.

“Haruman daun rambai memang menjadikan kuih apam ini lain daripada lain. Itu sebab rata-rata majlis keramaian atau kenduri-kendara terutama di Johol, Negeri Sembilan akan menghidangkan apam daun rambai untuk para tetamu yang hadir,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Menurut peniaga sayur kampung di Pasar Tani Ampangan, Paroi dan Tampin itu, kuih itu juga dikenali dengan nama apam Johol disebabkan sajian menu petang berkenaan memang sangat popular di sana.

“Selalunya kuih ini akan dibuat secara beramai-ramai ketika satu-satu majlis diadakan seperti kenduri perkahwinan. Masa itulah kami berkumpul beramai-ramai, masing-masing akan tunjuk skil.

“Satu perkara yang menarik, kami tak perlu beli daun rambai kerana pokok rambai terdapat banyak di kampung-kampung,” katanya.

Warisan keluarga

Kata wanita itu lagi, kalau ditanya ramuan yang digunakan untuk kuih apam daun rambai, ia sama seperti apam yang lain iaitu memerlukan tepung, yis, marjerin dan beberapa bahan asas yang lain.

NURFADHILAH

“Biasanya bila adunan sudah diadun sempurna, saya akan kukus selama 30 minit sahaja. Memang ya, apam yang sudah masak sebati akan memberikan aroma cukup menyelerakan lebih-lebih ketika perut kosong. Rasa manis dengan wangian rambai membuatkan kita akan makan lebih daripada satu,” katanya berseloroh.

Di Negeri Sembilan, apam lazimnya enak dicicah bersama rendang, kuah kari atau sambal tumis ikan bilis. Wah! Memang kecur air liur dibuatnya.

Berbicara lanjut, Nurfadhilah memberitahu, beliau mempelajari membuat kuih apam rambai daripada ibunya.

Iklan

“Saya sebenarnya suka belajar pelbagai jenis masakan dan kuih-muih tradisi seperti apam daun rambai menggunakan resipi warisan keluarga.

“Tidak seperti orang lain yang menggunakan gula pasir bagi kebanyakan kuih, saya menggunakan gula gerek atau lebih dikenali sebagai gula melaka yang akan dicairkan dengan sedikit air sedikit untuk menghasilkan warna keperangan yang cukup cantik untuk satu-satu kuih,” katanya yang gemar berkongsi resipi menerusi media sosial.

APAM DAUN RAMBAI

Iklan

RESIPI KUIH APAM DAUN RAMBAI

Bahan-bahan

  • 300 gram tepung gandum
  • 100 gram gula merah (dilarutkan dengan 1 1/2 cawan air.)
  • 2 sudu marjerin
  • 2 sudu gula pasir
  • 1/2 bungkus yis
  • Daun rambai secukupnya
  • Sedikit minyak untuk dioleskan pada daun rambai

Cara-caranya:

  1. Cairkan gula merah dengan air.
  2. Dalam satu bekas lain, satukan tepung dengan marjerin dan gula pasir sehingga sebati kemudian masukkan yis.
  3. Tuangkan larutan gula melaka ke dalam adunan sedikit demi sedikit dan kacau rata.
  4. Kemudian perapkan adunan apam selama tiga hingga empat jam.
  5. Biarkan adunan apam naik sehingga tiga kali ganda.
  6. Setelah diperap, sediakan daun rambai yang telah dicuci bersih, kemudian oleskan daun rambai dengan minyak masak.
  7. Letak adunan ke atas daun rambai dan bungkus rapi.
  8. Setelah siap, bungkusan adunan dikukus selama 30 minit.
  9. Siap untuk dihidangkan bersama sambal tumis dan air kopi.