RENDANG maman semestinya satu sajian yang tersendiri. Kata seorang teman, menikmati sajian Gemencheh itu, sudah cukup lengkap dan bermakna bagi meraikan sambutan Aidiladha ataupun Aidilfitri.

Barangkali pernyataan itu ada kebenaran apabila rendang maman pernah tersenarai antara 50 makanan paling lazat dalam World’s 50 Most Delicious Food 2011.

Kepada yang masih samar-samar apakah rendang maman, anak jati Gemencheh, Negeri Sembilan, Siti Nor Hidayat Abu Hassan, 38, yang juga seorang peniaga menu itu menceritakan serba sedikit historiografinya.

Dengan penuh kesungguhan Siti Nor Hidayat bercerita. Katanya: “Sejarah ini pun dikongsikan oleh bapa mertua saya yang juga mantan Ketua Kampung Air Rawa, Gemencheh, Rajab Amin.

“Ceritanya begini, pada zaman dulu, orang Gemencheh dan Johol saling bertelingkah sebab bersempadan, masing-masing mahu tunjukkan siapa paling hebat.

Dek kerana itu, orang Gemencheh pun ajak bertanding memasak. Masa itu, nak dijadikan cerita, mereka pun masak rendang maman sebab banyak pokok maman tumbuh meliar di kampung.“

rendang maman

Sambung wanita itu, pada awalnya, penduduk Gemencheh mahu ‘mengenakan‘ orang Johol dengan memasak rendang dengan daun maman.

“Namun, siapa sangka, mereka (penduduk Johol) suka sangat dengan rendang itu. Senang cerita, mereka jatuh cinta dengan hidangan itu. Maka, sejak peristiwa itu, rendang maman terus terkenal dari zaman ke zaman,” kongsinya.

Masak 48 jam

Masih seperti dulu, Siti Nor Hidayat memberitahu, ramuan dominan juadah warisan ikonik buat penduduk Gemencheh itu ialah daun maman.

“Untuk lagi sedap, kita tambah ayam atau daging. Ada juga yang letak isi kerang, ikan bilis dan itik,“ katanya.

Sekiranya ramai mengeluh harga sekotak rendang maman terlalu mahal, buang segera persepsi itu jauh-jauh. Ini kerana menu yang enak tersebut mengambil masa dua hari untuk disiapkan!

Kenapa ambil masa yang terlalu lama? Jawapannya, wanita itu mahu mendapatkan rasa lemak berkrim dengan lebihan ‘lodek’.

‘Lodek‘ merupakan lebihan kuah yang terhasil dalam rendang berkenaan.

“Pada kelazimannya, jika saya masak 50 kilogram daun maman, saya perlukan masa sehari untuk menyiapkan bahan-bahan masakan termasuk kira-kira enam jam untuk memasak rendang maman yang betul-betul berkualiti dan sedap.

rendang maman

“Kalau nak masak rendang jenis ini, jangan sesekali kedekut ramuan. Kena cukup santan dan bahan-bahan lain sebab ‘lodek‘ yang terhasil, itulah yang menjadi penyedap dan dicari orang,“ ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Iklan

Katanya lagi, tidak semua orang mampu menghasilkan rendang maman yang betul-betul enak.

“Jika tak betul caranya, rasa rendang akan jadi pahit. Mula-mula saya macam tu, namun selepas belajar dengan arwah bapa mertua, saya ikut pesannya supaya masak menu ini kena dengan hati yang ikhlas. Insya-ALLAH masakan akan bertambah sedap,“ ujarnya.

Kepada SinarPlus, wanita itu berkata, seperti orang lain, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membuka rezekinya sekeluarga untuk mengusahakan rendang maman secara komersial.

“Sebaik PKP dikuat kuasa, kedai kami terpaksa ditutup. Masa itulah tercetusnya idea nak jual rendang, alhamdulillah sambutan sangat bagus,“ katanya.

rendang maman

Iklan

RESEPI RENDANG MAMAN

Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam telur
  • 2 kg maman
  • 2 kg santan
  • 200 gram cili api (kisar)
  • 300 gram kunyit hidup (kisar)
  • 20 keping asam keping (bergantung kepada saiz)
  • 3 sudu besar garam

Cara-cara:

  1. Rebus ayam sehingga separuh masak.
  2. Masukkan bahan kisar dan asam keping.
  3. Masak sehingga air sedikit kering.
  4. Masukkan santan dan selepas mendidih, barulah masukkan maman.
  5. Kacau perlahan sehingga santan mengering dan mengeluarkan minyak.
  6. Siap untuk dihidangkan.

Tip: Bahan yang dimasak perlu diseimbangkan supaya dapat menghasilkan rasa yang padu.