NAMANYA sahaja sudah bikin orang tertanya-tanya. Dengan bentuknya yang bulat memanjang yang mana atas dan bawah bungkusan pisang tersebut diikat dengan tali atau getah, rupanya tak ubah seperti pocong.

Sungguhpun begitu, itulah keunikan kuih tepung torak yang semakin hari semakin dilupakan generasi muda. Hinggakan ada yang memanggilnya ‘kuih tengkorak’ dek kerana lupa nama sebenar makanan tradisi itu.

Agak melucukan, namun hakikatnya ramai yang sudah melupakan kuih tradisional yang terkenal di utara tanah air tersebut. Ada juga yang menamakan kuih warisan itu dengan ‘pupudak’, terutamanya oleh masyarakat Banjar.

Bagi Syazwani Sobri yang juga anak jati Kulim, Kedah, kuih tersebut juga terkenal dengan nama ‘kuih selak pintu’. Barangkali disebabkan bentuknya seperti selak pintu rumah tradisional orang dulu-dulu.

torak
KUIH tepung torak yang kini semakin jarang dijual di pasaran.

“Kuih ini sudah jarang orang buat atau jual di kedai. Memandangkan ibu mentua orang Banjar, saya suka buatkan kuih tersebut untuknya bagi hilangkan kerinduan terhadap kuih orang lama.

“Disebabkan mak mentua tak ingat resipi, jadi saya rajin membuat pencarian dalam media sosial untuk kenal dan cara membuatnya,” ujarnya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Cantik dan sedap

Berkongsi pengalaman membuatnya, ibu muda anak satu itu tidak menafikan kesukaran untuk membuat kelongsong kuih dengan bentuk yang cantik jika tidak mahir.

“Bagaimanapun, disebabkan saya suka memasak lagi-lagi kuih yang pelik-pelik, jadi semua itu ditolak tepi. Tidak salah untuk belajar sampai pandai supaya hasilnya cantik dan sedap untuk dinikmati.

“Saya pernah buat sekali menggunakan plastik aiskrim untuk percubaan pertama disebabkan kekangan daun pisang ketika itu, tapi alhamdulillah menjadi,” katanya yang kini menetap di Segamat, Johor.

Menariknya, biarpun lazim menggunapakai plastik aiskrim, suri rumah sepenuh masa itu sudi berkongsi resipi tersebut menggunakan daun pisang. Beliau menerangkan setiap langkah mudah untuk membuat kuih tepung torak istimewa buat tatapan pembaca Sinar Plus.

torak
KELONGSONG daun pisang yang siap diikat di bahagian bawah diisi dengan adunan sebelum dikukus atau direbus.

“Apa yang penting, cara membuat kelongsongnya itu perlu diletakkan satu kayu di dalam daun pisang dan dipunjutkan di bahagian bawahnya menggunakan tali rafia atau getah.

Iklan

“Kemudian dituangkan adunan yang sudah dimasak menggunakan tepung gandum, santan, gula dan sedikit garam ke dalam kelongsong sebelum dipunjutkan pula dibahagian atasnya,” bicaranya.

Namun pemilik akaun Facebook Resepi Farisha Sofea itu turut berkongsi cara kedua untuk membuat kuih tepung torak dengan adunan dimasak sehingga likat dan dibiarkan sejuk.

“Kemudian adunan diletakkan di atas daun-daun pisang yang sudah dilayur dan digulung sebelum diikat kedua-dua hujungnya. Akhir sekali, bungkusan daun pisang dikukus atau direbus.

“Kukus sehingga masak atau rebus sampai kuih tersebut timbul,” katanya yang sudah berkongsikan hampir 300 resipi masakan dan kuih ‘rare’ kepada pengikutnya yang kini mencecah lebih 25,000 orang.

Iklan
torak
ADUNAN yang sudah likat diletakkan di atas daun pisang sebelum digulung memanjang dan diikat.

Resipi Kuih Tepung Torak

Bahan A :

  • Daun pisang yang sudah dilayurkan
  • Getah/tali

Bahan B :

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 1/2 cawan santan pekat
  • 1 1/2 cawan air pandan
  • 1 biji telur
  • 1/2 cawan gula (boleh lebih/kurangkan )
  • Pewarna hijau
  • Sedikit garam

Cara-cara :

  1. Satukan kesemua Bahan B.
  2. Kacau menggunakan hand whisk atau masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga sebati .
  3. Masak adunan sehingga likat dan biarkan sejuk
  4. 4.Tuangkan adunan ke atas daun pisang yang sudah dilayurkan.
  5. Gulung daun pisang sebelum ikat di bahagian bawah dan atas.
  6. Ulang step sehingga habis.
  7. Masukkan ke dalam periuk dengan air yang sudah mendidih dan kukus.
  8. Kukus kuih dalam tempoh 20minit.
  9. Siap untuk dihidangkan.