KUIH celorot merupakan salah satu makanan tradisi yang digemari oleh masyarakat Brunei dan Indonesia. Di Malaysia, ia menjadi tumpuan penduduk Sabah dan Sarawak.

Nama kuih itu sedikit ‘membingungkan‘, namun percayalah rasanya sangat sedap umpama dodol.

Selain dikenali sebagai celorot, kuih berkenaan juga dipanggil sebagai selurut, celoret, jelurut ataupun cerorot di kebanyakan tempat termasuk Brunei dan Sabah.

Berkongsi mengenai keunikan kuih tersebut, peniaga masakan dan kuih Sarawak, Misnah Umbat, 50, berkata, rupa dan rasa kuih tersebut memang seperti dodol tetapi dibaluti dengan daun nipah muda.

Katanya, sesuai dengan peredaran masa, selain masih kekal dengan rasa asli, tukang masak zaman kini telah mempelbagaikan rasanya.

Unik

Antaranya kuih celorot berperasa durian dan pandan.

celorot

“Berbeza dengan dodol, kuih ini mempunyai tekstur lembut dengan haruman gula apong (nira nipah). Kuih celorot juga kelihatan unik dengan bentuk kon aiskrim dan rasanya cukup lemak manis,“ kata pemilik Instagram @keklapismummyruran.

Kepada SinarPlus Misnah berkata, untuk membuat kuih celorot, ia memerlukan ketelitian yang tinggi sama seperti kuih warisan lain.

Bagi kuih tersebut, pendekatan paling penting adalah dari aspek pemilihan daun nipah yang segar dan mudah dibentuk.

“Untuk memudahkan kerja-kerja membentuk, sarung celorot perlu menggunakan daun nipah muda. Kepada yang baru nak cuba buat celorot, ia memang agak leceh lebih-lebih lagi kalau melibatkan proses menganyam kelongsong daun, itu sebab kena ambil yang muda.

“Adunannya pula kena lembut, semuanya kena praktis. Kalau (adunan) silap, ia akan keras dan patah, tidak kurang ada yang ‘bocor‘ dek kerana kelongsongnya longgar. Itu memang biasa, insya-ALLAH, lama-lama akan okey,“ katanya bersungguh.

Artikel berkaitan: Ayam goreng cheese Korea, sedap dimakan ‘tarik-tarik’

Misnah berkata, jujur beliau sendiri berdepan saat sukar ketika pertama kali membuat kuih berkenaan lebih-lebih lagi dalam menghasilkan tekstur adunan lembut dan kenyal.

Iklan

“Pengalaman membuat kuih ini pastinya berbeza, ikut orang juga. Masa mula-mula buat kuih ini pun ada yang tak jadi, mungkin sebab sukatan, tapi saya cuba buat lagi sampai jadi supaya rasanya seperti air tangan mak saya,“ katanya yang kini menetap di Cheras, Kuala Lumpur.

Selain kuih tersebut, Misnah juga mempelbagaikan jualannya dengan menjual makanan penduduk Sarawak seperti kuih lapis secara online termasuk di restoran dan di Pasar Borneo Seri Kembangan, Selangor.

Kepada yang mahu mencuba celorot, kuih tersebut dijual pada harga RM1 sebiji.

celorot sarawak

Iklan

Resipi Kuih Celorot

Bahan-bahan

  • 1 kilogram tepung gandum
  • 250 gram tepung pulut
  • 1 kilogram santan
  • 1 biji kelapa parut
  • 1/2 kilogram gula apong
  • 2 cawan gula pasir
  • 2.3 liter air

Cara-cara:

  1. Semua bahan dicampurkan dan digaul rata.
  2. Masukkan bahan campuran tadi ke dalam sarung daun nipah yang sudah dianyam.
  3. Kukus dalam tempoh 20 minit.
  4. Kena rajin periksa paras air kukusan setiap lima minit.
  5. Jika adunan tidak cair, itu bermakna kuih sudah masak dan boleh diangkat.

Wah! Menarik,kan? Jom cuba resipi ini.