Oleh SITI FARAH ELIANI SOLLEH

BOTOK-BOTOK merupakan salah satu sajian yang terkenal di negeri Johor. Hidangan klasik itu lazimnya akan dimakan pada waktu tengah hari atau makan malam.

Seorang penjual Botok-Botok Puteri Megat dari Kulai, Johor, Ungku Hazwani Ungku Yacob atau mahu disapa Wani berkata, menu tradisi zaman berzaman itu bukan sahaja unik dan istimewa, tetapi sangat berkhasiat.

“Campuran pelbagai ulam yang biasa dan tidak biasa didengar termasuk ikan atau ayam akan menjadikan sajian ini sangat sempurna.

“Selain daun betik, saya akan pilih daun mengkudu, pucuk ubi, bebuas, daun kaduk, puding belacan, puding teh, semangkuk, ulam Mak Jah, sawi nyonya, ulam raja, daun kunyit, daun kari, daun limau dan daun kesum,” katanya.

Biasanya ikan tenggiri dan kembung menjadi pilihan wanita itu. Untuk mencipta kelainan, beliau akan mencampurkan telur ikan tenggiri, ayam, sotong, puyuh dan udang.
Ujar beliau lagi, resipi asal botok-botok dipelajari daripada ibu, mak cik dan juga rakan baiknya, Nor Abidah Mohamed.

“Hasil gabungan resipi daripada tiga orang berbeza telah membuatkan saya dan suami, Rostam Affendi Mohd Suhaimi menghasilkan resipi terbaik sebelum menjualnya.

“Bukan sahaja di Johor, saya juga membuat penghantaran secara pos (botok-botok dibekukan) kepada pelanggan yang mahukannya. Daripada tujuh jenis botok-botok yang dijual, ikan tenggiri yang laku keras,” katanya.

Baca juga: Resipi Ayam Goreng Pandan yang memang ‘terangkat’ habis. Senang saja, kena cuba masak dulu, baru tahu

Mengakui menu tersebut agak leceh untuk dilakukan, Wani berkata, untuk mendapatkan kesedapan optimum, sajian tersebut memerlukan sekurang-kurangnya lapan jenis ulam-ulaman.

“Ya, kedengaran memang agak banyak. Saya sendiri mengambil alternatif menanam sendiri beberapa ulam-ulaman di rumah, jadi mudah untuk saya penuhi permintaan daripada pelanggan. Jika stok tidak mencukupi seperti pucuk ubi, saya akan membelinya di pasar-pasar berdekatan,” beritahunya yang menjual botok-botok pada harga bermula RM13 hingga RM18.

Berkongsi petua, Wani berkata, untuk membuat botok-botok yang sedap, pes kari yang dihasilkan mesti pekat.

“Pes itu penting kerana ia akan dikukus bersama ulam-ulaman. Aroma dan paduan rasa itulah yang akan meresap masuk ke dalam isi ikan, ayam atau udang yang digunakan,” katanya.

RESEPI BOTOK-BOTOK PUTERI MEGAT

Bahan-bahan

Iklan

– 5 biji bawang besar (dikisar halus)
– 4 hingga 6 biji bawang kecil (dikisar halus)
– 2 labu bawang putih (dikisar halus)
-4 hingga 6 sudu besar cili giling
– 350 gram rempah kari (jadikan pes)
– 5 biji buah keras (dikisar halus)
– 1/2 inci halia (dikisar halus)
– 1/2 inci lengkuas (dikisar halus)
– 6 hingga 7 batang serai (dikisar halus)
– Segenggam asam jawa
– 8 hingga 10 sudu besar garam
– 1 sudu besar gula pasir
– 1/2 ketul gula melaka
– 1/2 kilogram santan
– 1/2 kilogram kerisik

Baca juga: Mudah disediakan, resipi ayam masak Thai ringkas pasti sekeluarga berselera

Cara penyediaan pes botok-botok:

1. Tumis bawang besar, bawang kecil dan bawang putih sehingga naik bau.
2. Masukkan cili giling dan tumis sehingga pecah minyak.
3. Kemudian, bubuh rempah kari.
4. Seusai itu, masukkan buah keras, halia, lengkuas dan serai yang telah dikisar halus terlebih dahulu.
5. Selepas itu, tambah asam jawa, garam, gula pasir dan gula melaka.
6. Gaul sebati sebelum masukkan santan dan kerisik.
7. Akhir sekali, masak sehingga pes botok-botok menjadi pekat.

Cara penyediaan botok-botok ikan tenggiri:

Iklan

1. Letak sekeping ikan tenggiri dengan ulam-ulaman yang diracik kasar ke atas daun pisang yang sudah dilayurkan.
2. Kemudian, curahkan pes botok-botok ke atas ikan dan ulam-ulaman tadi.
3. Bungkus dengan kemas dan kukus botok-botok ikan tenggiri selama 1 1/2 hingga 2 jam.
4. Botok-botok ikan tenggiri siap untuk dihidang bersama nasi panas dan telur dadar.

Sumber Ungku Hazwani Ungku Yacob

Baca juga: Resipi Ayam Goreng Pandan yang memang ‘terangkat’ habis. Senang saja, kena cuba masak dulu, baru tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan