SEKALI imbas, kuih telaga emas yang terkenal di Sarawak dan Kelantan saling tak tumpah seperti kuih nona manis atau lompang.

Ya, rupanya sama namun rasanya sedikit berbeza. Tekstur telaga emas kenyal dengan rasa telur yang agak kuat. Nona manis pula mempunyai emulsi yang lebih lembut.

Mengapa dipanggil telaga emas? Menjawab pertanyaan itu, pembikin kuih berkenaan, Fatin Damia Ulfa Shuib, 26, berkata, ia disebabkan warna kuning keemasan di bahagian tengah hasil adunan tepung kastard yang rasanya lemak manis.

“Bahagian luarnya pula berwarna hijau, hasil campuran adunan tepung pulut, gandum dan jagung. Kuih itu memang sedap dan diminati ramai kerana elastik seperti kaswi,“ ujar anak kelahiran Sibu, Sarawak itu yang kini menetap di Alor Setar, Kedah.

Fatin Damia memberitahu SinarPlus, dari segi memasak, menu berkenaan berbeza mengikut negeri terutama cara adunan bahagian luar kuih telaga emas.

telaga emas

“Jika mengikut resipi yang saya belajar daripada saudara-mara di Sarawak, adunan hijau berasaskan tiga tepung sahaja (tepung pulut, jagung dan gandum).

“Namun, di Kelantan, mereka letak tiga tepung itu dan ditambah dengan telur dan sedikit santan, itu sebab lebih rasa lemak. Ada sesetengah tempat pula, pembikin kuih menggunakan tepung pulut, telur dan tepung gandum sahaja untuk membuat telaga emas,“ jelasnya.

Pun demikian, ujar Fatin Damia, teknik membuat sajian versi Kelantan tidaklah susah seperti yang dibayangkan.

“Kesemua bahan hanya perlu dicampur sebati,“ katanya.

Tip kuih cantik

Setiap masakan ada ‘peraturannya‘. Begitu juga dengan kuih berkenaan yang selalu menjadi pilihan menu petang.

Kata gadis itu, bagi memastikan sajian berkenaan nampak elok dan tiada cela, pastikan bahagian penutup kukusan dilapik dengan kain terlebih dahulu bagi mengelakkan air menitik ke atas adunan.

“Api juga perlu sederhana sepanjang tempoh kukusan. Jika api dibuka agak besar sepanjang tempoh mengukus, permukaannya tidak licin manakala bahagian tengahnya akan berkedut dan membentuk lubang atau berlesung pipit seperti kuih lompang.

telaga emas

Iklan

“Lagi satu, untuk mendapatkan bahagian tengah yang mulus, adunan mesti ditapis terlebih dahulu sebelum dituang ke dalam bekas,“ ujar lulusan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Selain itu, sebelum proses memasak bermula, Fatin Damia menyarankan agar acuan disapu dengan sedikit minyak.

“Ia bagi memastikan kuih yang sudah masak nanti mudah dikeluarkan dan tidak pecah. Satu lagi, pastikan tempoh kukusan tidak lebih dari 15 minit.

“Jangan kukus terlalu lama kerana ia akan menyebabkan kuih menjadi keras,“ ungkapnya yang selesa menggunakan cawan semasa menyediakan beberapa resipi termasuk kuih telaga emas.

telaga emas

Iklan

Resipi Kuih Telaga Emas

Bahan-bahan bahagian luar

  • 1 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 1/4 cawan air pandan
  • Sedikit pewarna hijau jika suka

Bahan-bahan bahagian tengah

  • 1 cawan santan
  • 1 cawan air suam
  • 2 biji telur gred A
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 1/4 cawan tepung gandum
  • 1/3 cawan gula (tambah jika suka lebih manis)
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Campurkan semua bahan untuk membuat bahagian luar dan masukkan air pandan sedikit demi sedikit lalu diuli sehingga doh tidak melekat di jari.
  2. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan masukkan ke dalam acuan lompang yang telah disapu dengan sedikit minyak.
  3. Setelah dimasukkan ke dalam acuan lompang, tekan adunan tadi sehingga mengelilingi keliling acuan. Bentukkannya secara tipis dan ketepikan.
  4. Kemudian campurkan bahan-bahan untuk membuat bahagian tengah kuih ke dalam bekas dan gaul rata.
  5. Setelah digaul rata, tapiskan sebelum dituang masuk ke dalam acuan lompang tadi.
  6. Panaskan periuk kukusan dan kukus lebih kurang 12-15 minit menggunakan api sederhana sehingga masak.
  7. Sejukkan dahulu sebelum dihidangkan.