Hanya 90 sen, Sate Legend saiz jumbo memang puas makan       

sate legend
November 8, 2020
Oleh Arziana Mohmad Azaman

SEPERTI roti john, sate juga memang mudah diperoleh di mana-mana. Bezanya, sama ada sedap atau tidak sahaja.

Di Sate Legend yang terletak di Kawasan Perindustrian Tasek IGB, Ipoh, Perak menawarkan kelainan selain dijamin sedap.

Meskipun hanya sebuah gerai, pemiliknya, Zuni Azma Zulkifli berkata, beliau tidak menang tangan melayani para pelanggan yang datang bertali arus ke premisnya.

sate

Apa istimewanya Sate Legend? Kata Zuni Azma, ia terletak pada satenya yang bersaiz jumbo dan ditambah dengan aroma perapan rempah-ratus pada setiap gigitan.

”Saiz sate kami memang lebih besar berbanding di tempat lain dan faktor itu antara sebab ramai orang datang beli. Saya jamin, lima cucuk Sate Legend sudah cukup mengenyangkan perut yang lapar,” kata wanita berusia 43 tahun itu ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

sate legend

Selain itu, harga sate yang dijual juga cukup berbaloi. Satu cucuk sate ayam cuma 90 sen. Sementara sate daging batang pinang, kambing dan paru berharga RM1.50.

Menariknya lagi, Sate Legend juga menawarkan sate daging rusa dan daging itik yang cukup mengiurkan. Sebatang cuma RM2.

Bagaimanapun, kata Zuni Azma, kuah sate hasil resipi turun temurun arwah ibu mertuanya, Latifah Abdul Latif juga antara justifikasi utama mengapa Sate Legend menjadi kesukaan ramai.

”Cara perapan pun lain daripada lain. Kalau biasanya kita guna jintan manis, ketumbar dan jintan putih dalam ramuan perapan, resipi ini tidak menggunakan jintan putih langsung. Lagi satu, masa perapan juga lebih lama iaitu empat jam ke atas. Teknik ini akan menjadikan daging lebih enak.

Iklan

sate legend

”Satu lagi, kami juga menambah sedikit udang kering dan ia memang menjadikan rasa kuah itu bertambah power. Saya tidak sedikit pun ubah resipi legenda ini sebab bagi saya sudah cukup sempurna,” tuturnya penuh semangat.

Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, jika sebelum ini, beliau mencari rezeki lebih 14 tahun sebagai kerani di sebuah kilang, namun kini, perniagaan sate memberi sinar baharu dalam kehidupannya bersama suami tercinta, Saiful Anuar Umar, 43.

”Memang tidak dinafikan dugaan jatuh bangun kami dalam perniagaan ini cukup besar, tetapi berkat usaha gigih dan kesabaran, akhirnya kami dapat memperkembangkan rangkaian gerai kami,” katanya yang turut membuka gerai jualan di sekitar Ipoh seperti di Angsana Mall, Meru Permai dan Kampung Tawas.

sate legend

Iklan

Sate Legend

  • Alamat: Kawasan perindustrian Tasek IGB, Ipoh, Perak
  • Cawangan lain: Angsana Mall, Meru Permai dan Kampung Tawas, Ipoh, Perak
  • Waktu operasi: Bermula jam 5 petang hingga 10 malam
  • Harga: 90 sen hingga RM2

Saiz sate yang besar dengan rasa yang menyelerakan menjadi magnet tarikan buat pengunjung setia Sate Legend yang terletak di Ipoh, Perak, namun SinarPlus percaya, pengusaha sate lain juga tidak kurang hebatnya.

Di Muar, Johor misalnya, sate dijadikan menu minum pagi sementara di negeri-negeri lain seperti di Kelantan dan Selangor, ramai menikmati pada waktu malam.

Jika pembaca SinarPlus singgah ke negeri Selangor, Kelantan dan Johor, apa kata singgah di tiga ‘port’ sate terkenal di sana.

sate

Satay Hut

  • Alamat: Lot 74, Jalan Besar Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 10 malam
  • Harga: RM1.10 hingga RM2.20
  • Facebook: SATAY HUT Tanjong Karang
  • Instagram: @satayhut_official

sate

R&H Sate Maharani Muar

  • Alamat: No 15, Jalan Seri Temenggung, Muar, Johor
  • Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari
  • Harga: 80 sen
  • Facebook: R&H Cafe

sate

Warisan Sate Baung

  • Alamat: Lot 3182, Kampung Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Kelantan
  • Waktu operasi: 3.30 petang hingga 10.30 malam
  • Harga: Bermula RM1 hingga RM1.80
  • Facebook: Warisan Sate Baung Kelantan

About Arziana Mohmad Azaman