KUIH kapit antara kuih tradisional yang popular pada musim perayaan terutama pada Hari Raya Aidilfitri.

Di sesetengah tempat, ada yang menamakan kulinari berkenaan sebagai kuih semprong, kuih sapit, kuih gulung, kuih belanda ataupun kuih rokok arab. Bukan sahaja orang Melayu, malah kebanyakan rakyat Malaysia memang menggemarinya.

Sedikit mengenai sejarah menu berkenaan, ia dikatakan mula dikenali dalam kalangan penduduk Inggeris dan Belanda yang menjajah negara ini.

Baca juga Nasi beriani resipi original dari jiran asal Pakistan, juadah enak di hari raya

Kaum Baba Nyonya difahamkan telah mempelajarinya dan kemudian mempopularkan sajian tersebut kepada masyarakat tempatan.

Seorang peniaga, Nor Hamida Hamdi berkata, sejak kecil beliau dan ayahnya merupakan peminat kuih kapit sebelum membuka perusahaan menjual kuih itu bermula pada tahun 2015.

“Ketika mahu buka bisnes, saya terlebih dulu minta ahli keluarga dan jiran untuk rasa air tangan saya. Selepas menerima maklum balas positif, barulah saya yakin nak buka perniagaan jual kuih kapit di bawah jenama Along Cookies,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar Nor Hamida lagi, dirinya rasa sangat bertuah kerana dapat mewarisi resipi yang diperturunkan oleh arwah nenek tersayang.

Pun demikian, seiring dengan putaran waktu, beliau mengolah sedikit resipi itu dengan cita rasa moden, di samping peka dengan komen dan maklum balas daripada para pelanggan.

“Itu sebab, kuih kapit air tangan saya mempunyai rasa tersendiri dan mudah diingati oleh orang ramai. Kalau mahu tahu kelainan, kena cuba,“ katanya berseloroh.

Bercerita tentang proses pembuatan sajian berkenaan, wanita itu memberitahu, kesemua ramuan yang digunakan adalah berkualiti dan inti seperti coklat, mentega kacang, durian juga dibeli daripada produk bertaraf premium.

“Apabila guna bahan-bahan yang bagus, coklat atau mentega akan kekal cair dan tidak beku walaupun disimpan dalam jangka masa yang lama iaitu lebih enam bulan.

“Kuih kapit kami juga mempunyai tekstur yang lebih rangup, nipis dan rasa lemak santannya menambahkan lagi keenakan kuih ini,“ katanya.

Menurut Nor Hamida, pada mulanya, pembikinan kuih kapit dilakukan menggunakan kaedah tradisional.

Pun begitu, disebabkan permintaan yang tinggi daripada para pelanggan, beliau terpaksa bertukar menggunakan mesin kuih kapit elektrik.

Iklan

“Ada pro dan kontranya. Jika menggunakan mesin, kuih kapit akan lebih rangup dan kurang berminyak,“ kongsinya.

Setiap bulan, wanita itu bersama para pekerjanya akan menghasilkan 2,000 balang dan pengeluaran akan bertambah menjadi 8,000 balang pada musim perayaan.

Sebelum menutup bicara, wanita peramah itu berkongsi petua berguna kepada orang ramai yang berhasrat untuk membikin kuih kapit sendiri.

“Selain menggunakan bahan-bahan daripada sumber yang berkualiti, pastikan kuih kapit terus dimasukkan ke dalam balang setelah siap digoreng bagi mengekalkan kualiti kerangupannya,“ katanya.

RESEPI KUIH KAPIT

Iklan

BAHAN-BAHAN
15 biji telur
2 kilogram gula
2 kilogram tepung gandum
1 kilogram tepung beras
1 kilogram santan
3 mililiter air
Garam

Cara penyediaan:
1. Masukkan telur dan gula ke dalam mangkuk kemudian pukul sehingga kembang.
2. Selepas itu, masukkan garam, tepung beras dan santan ke dalam adunan tadi.
3. Pukul adunan sehingga rata.
4. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga habis.
5. Kemudian, masukkan air dan pukul adunan sehingga sebati.
6. Panaskan mesin kapit dan sapukan sedikit minyak.
7. Setelah mesin panas, masukkan adunan.
8. Masak sehingga lampu mesin tidak menyala.
9. Akhir sekali, lipat kapit dan masukkan inti.
10. Kuih kapit siap untuk dihidangkan.

Sumber Nor Hamida Hamdi

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI