Inovasi pasangan suami isteri ini buat lemang sushi inti rendang, durian D24 memang luar biasa

lemang sushi
May 23, 2021
Oleh Arziana Mohmad Azaman

LEMANG sememangnya sajian cukup sinonim dan paling dicari ketika Aidilfitri. Juadah itu akan lebih enak jika dinikmati bersama rendang ayam atau daging selain serunding.

Disebabkan populariti juadah yang laris setiap kali Hari Raya itulah telah  mendorong Zuriati Sulaiman, 54, dan suaminya, Azizi Abdul Muin, 59, membawa sesuatu kelainan buat peminat sajian tersebut.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, inovasi produk lokal yang diusahakan pasangan suami isteri itu memang lain daripada yang lain.

lemang sushi

Mereka menawarkan lemang berintikan pelbagai perisa seperti serunding ikan bilis, ayam, daging, rendang daging minang dan durian.

Menurut Zuriati, idea yang dicetuskan suaminya itu ternyata memberi impak kepada perusahaan produk makanan yang dibina sejak tahun 2005.

"Sambutan yang diterima cukup luar biasa dalam kalangan peminat lemang.

"Pada mulanya kami hanya menjual lemang biasa pada tahun 2017 selepas menerima bantuan mesin pembakar lemang daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sejak detik itu, idea untuk memasukkan inti di dalam lemang bagi memudahkan pelanggan untuk makan dilakukan.

lemang sushi

Iklan

"Lebih sebulan juga kami mencari cara terbaik untuk menghasilkan lemang sushi tersebut dan alhamdulillah ia menjadi. Hanya bermula daripada lemang berintikan serunding ikan bilis, ayam dan daging, kini ditambah kepada rendang daging minang dan durian D24,” ceritanya.

Ujar wanita itu lagi, lemang yang disumbat dengan pelbagai inti lazimnya akan dikukus selama 25 minit sehingga lembut.

"Antara yang paling laris adalah lemang berintikan rendang minang. Untuk mempelbagaikan variasi lemang kami, saya juga sedang menyiapkan resipi rendang maman.

Iklan

lemang sushi

"Saya gembira kerana semua lemang ini adalah 100 peratus daripada air tangan saya sendiri. Apabila orang makan dan kata sedap, memang hati ini cukup berbunga-bunga," katanya kepada SinarPlus.

Meskipun tempahan untuk lemang sushi sudah ditutup sejak 11 Mei lalu, bekas kerani akaun itu memaklumkan, tempahan untuk perayaan Aidiladha sudah dibuka selepas dua minggu raya.

Sebagai tambah nilai, pasangan usahawan tersebut turut mengusahakan pelbagai jenis rendang seperti rendang ayam cili api, rendang itik dan daging salai masak lemak cili padi yang menggunakan teknologi retort.

lemang sushi

Lemang Sushi

  • Alamat: Pusat Pemprosesan Makanan Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 5 petang
  • Menu signatur: Lemang inti rendang daging minang
  • Harga: Bermula RM20 hingga RM28
  • Facebook: Zuriati Sulaiman

Benarlah orang kata, tidak sempurna suasana Aidilfitri tanpa sajian tradisi lemang yang menjadi signatur menu zaman berzaman.

Lari daripada kebiasaan, ramai pengusaha kreatif mengimplemenkan resipi tersendiri bagi menarik perhatian pelanggan.

Bukan sekadar lemang biasa, ada juga yang menambah baik inti durian selain jagung dan pulut hitam bagi membangkitkan selera.

Nah! Berikut empat lagi destinasi lemang tepi yang boleh dipertimbangkan untuk anda dikunjungi. Apa yang penting, jaga prosedur operasi standard yang ditetapkan.

lemang

Lemang Daun Lerek Greenwood

  • Alamat: Jalan Batu Caves, Kampung Tengah Lembah Gombak, Batu Caves, Selangor
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 12 malam
  • Harga: Bermula RM16 hingga RM20
  • Facebook: Lemang Daun Lerek Greenwood
  • Instagram: @lemangdaunlerek

lemang

Lemang Panjang

  • Alamat: Sungai Ramal, Persiaran Jaya, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 12 malam
  • Harga: RM14 hingga RM20
  • Facebook: Lemang Panjang
  • Instagram: @lemangpanjang

lemang

Lemang Top Bigmouth

  • Alamat: No 5, Jalan Pekaka 8/15H, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor
  • Menu signatur: Lemang Rendang Daging Minang, Durian D24 dan Serunding Ikan Bilis
  • Harga: Bermula RM28 hingga RM135 (pakej kombo)
  • Facebook: Big Mouth HQ
  • Instagram: @officialbigmouthhq

lemang

Lemang Periuk Kera Ampang

  • Alamat: Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 10 malam
  • Harga: RM20 (1/2kg) hingga RM35 (1kg)
  • Facebook: Lemang Periuk Kera Ampang

About Arziana Mohmad Azaman