SEKARANG ini, SinarPlus yakin ramai yang sudah pulang dari kampung dan sudah bekerja seperti biasa.

Barangkali, dalam minggu sepanjang Syawal, ada yang merancang untuk buat rumah terbuka.

Jika anda terfikir untuk berbuat demikian, apa kata kali ini kita belajar bagaimana untuk membuat sajian kerutuk daging yang sangat popular di negeri Pantai Timur.

Menariknya tentang hidangan tersebut, ia boleh dipadankan dengan variasi nasi seperti nasi hujan panas, nasi minyak, nasi beriani waima nasi putih pun.

Justeru, SinarPlus kongsikan resipi seorang pengguna Facebook, Jamaliah Samsudin yang menarik perhatian warga maya.

Berikut merupakan bahan-bahan dan cara penyediaannya:

BAHAN-BAHAN

Daging
1 biji bawang besar (kisar)
3 ulas bawang putih (kisar)
5 batang serai (kisar)
1 inci halia (kisar)
6 tangkai cili kering (kisar)
1 inci lengkuas (pilihan)
Jintan manis (kisar)
Kerisik (pilihan)
1 bungkus rempah kerutuk
½ kotak santan
Gula
Serbuk perasa
Garam
Kayu manis
Bunga lawang

Cara penyediaan

1. Kisar bahan-bahan bersama dengan air dan minyak.
2. Kemudian, masukkan minyak ke dalam kuali. Tumis kayu manis dan bunga lawang.
3. Selepas itu, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing.
4. Masukkan serbuk rempah kerutuk sehingga pecah minyak.
5. Kemudian, masukkan daging, santan dan kerisik. Masak sehingga daging empuk.
6. Akhir sekali, masukkan gula, garam dan serbuk perasa ke dalam masakan. Untuk kepekatan kuah, ikut selera masing-masing. Boleh tambah air jika suka berkuah.
7. Siap untuk dihidang!

Satu perkara yang SinarPlus nak ingatkan, jangan lupa rebuskan daging terlebih dulu, kalau tidak mahu terlalu lama mereneh di dalam kuali. Bukan apa, takut kering sangat.

Kalau tak mahu merebus, gunakan pressure cooker yang lebih cepat dan mudah. Pasti daging jenis apa pun akan lembut ketika dikunyah.

Sesekali menjamu tetamu dengan masakan tradisi zaman berzaman memang menarik dan sebenarnya ramai yang suka. Cubalah!

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI