BIASANYA, kita akan menikmati rendang ayam, daging, udang atau sotong. Kalau di kampung-kampung pula, rendang kerbau akan menjadi pilihan terutama pada musim perayaan. Namun, itu pun jarang sekali.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha nanti, SinarPlus membawa kelainan dengan menemubual seorang pengusaha yang menjual rendang daging landak, Rozipah Mat Desa.

Seperti kata Rozipah, daging eksotik itu memang sangat sukar untuk ditemui dan memerlukan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Semenanjung Malaysia.

Usahawan itu yang juga pemilik Restoran Rumah Makan Rusa Lenggong, Perak berkata, stok daging landak memang terhad dan hanya beberapa lokasi sahaja yang menjualnya secara sah.

Baca juga Daging masak ‘ungkep’ sedap, pembuka selera. Ibu dalam pantang pun boleh makan

Beliau sendiri mendapatkan bekalan di sekitar Pengkalan Hulu.

“Biasanya, saya beli secara borong iaitu antara tiga hingga lima ekor landak sekali gus,” katanya yang mula berjinak-jinak dalam perusahaan makanan eksotik itu sejak setahun lalu.

Beritahu usahanita berusia 47 tahun itu, rendang daging landak dijual pada harga RM50 untuk hidangan seorang makan. Harga tersebut dikira sebagai premium kerana sekilogram daging landak sudah mencecah RM150.

“Untuk tempahan, pelanggan perlu membuat pesanan sehari awal kerana penyediaannya mengambil masa agak lama,” katanya.

Kepada SinarPlus, Rozipah memberitahu, ramuan untuk memasak menu berkenaan sama sahaja seperti rendang lain, cuma berbeza dari segi daging.

“Apa yang selalu kami praktikkan adalah menumis bahan masakan sehingga pecah minyak. Bukan itu sahaja, penting untuk memastikan daging landak benar-benar empuk. Saya mengambil masa lebih dua jam untuk memasak sajian itu,” kongsinya.

Bagi memastikan kelazatan sajian tersebut lebih terserlah, Rozipah hanya menggunakan bahan-bahan yang segar dan berkualiti.

“Halia, kunyit dan serai saya ambil dari kebun kecil saya. Begitu juga santan dan kerisik. Saya hanya memetik kelapa yang ditanam di rumah. Hanya jika bekalan tidak mencukupi, barulah saya beli di kedai. Namun paling penting sekali, saya tak pakai santan yang siap diproses,” katanya.

Wanita itu menambah, biasanya beliau akan menumis daging landak serentak dengan bahan-bahan lain bagi memastikan semua rempah sebati.
Pun demikian, jika dagingnya terlalu keras, beliau mengambil pendekatan untuk merebus daging dahulu.

Iklan

Rozipah sempat bercerita, cara penyediaan rendang menggunakan daging eksotik dipelajarinya daripada ahli keluarga yang mewarisi resipi itu kira-kira 40 tahun yang lalu.

Baca jugaRahsia resipi char kuetiau sedap persis di kedai, mudah je buat

“Dulu ketika kecil, kami selalu masak bersama-sama terutama pada hari raya. Selain saya, arwah ibu turut mengajar adik beradik lain untuk memasak masakan enak itu,” katanya.

RESIPI RENDANG DAGING LANDAK

BAHAN-BAHAN
1/2 kilo daging landak
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
1 inci halia
1 sudu kecil serbuk kunyit
6 batang serai
Cili kering
1 paket kecil kerisik
1 cawan santan
1 sudu teh gula
Garam
Daun kunyit

Iklan

Cara Penyediaan:
1. Kisar halus bawang merah, bawang putih, halia, kunyit dan serai.
2. Masukkan sedikit minyak.
3. Tumis cili kering dan bahan kisar tadi sehingga pecah minyak.
4. Kemudian, masukkan daging landak yang telah siap dipotong kecil.
5. Masak landak sehingga empuk menggunakan api yang perlahan.
6. Selepas itu, masukkan santan dan biarkan sehingga mendidih.
7. Setelah itu, masukkan kerisik ke dalam masakan.
8. Tambahkan air jika masakan hampir kering.
9. Masukkan garam, gula dan sedikit perasa ke dalam masakan.
10. Tunggu sehingga mendidih dan masukkan daun kunyit yang dicincang halus.
11. Akhir sekali, siap untuk dihidang.

Sumber Rozipah Mat Desa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan