SAMBUTAN perayaan Deepavali memang terasa. Sana sini penulis sudah dengar dentuman bunyi bunga api. Meriah sungguh!

Seperti biasa, kalau dah beraya, pastinya sajian yang lazat akan dihidangkan untuk keluarga tercinta termasuk sanak saudara yang akan datang bertandang.

Memang dalam perancangan penulis untuk menziarahi rakan yang meraikan Diwali nanti.

Dalam fikiran penulis, kuih muruku dan tose antara yang menjadi kegemaran dan rebutan ramai.

Kredit foto: Yan Krukov

Pun demikian, sebenarnya banyak lagi makanan-makanan tradisi orang India yang tidak diketahui umum seperti Kentang Varuval.

Buat mereka yang tidak makan daging atau ayam, boleh cuba resipi yang dikongsikan oleh Suriakumari Perumal menerusi laman sosial, Facebook miliknya.

Beritahu Suriakumari, biasanya varuval akan dimasak bersama ayam atau kambing, namun ia juga sebenarnya boleh dimasak dengan menggunakan kentang atau bahan mentah yang lain.

“Orang ramai boleh cuba masak dan makan dengan nasi panas, rasam atau kuah dal,” ujarnya.

Berikut bahan dan cara penyediaan:

Bahan-bahan

– Kentang
Serbuk kunyit
– Kayu manis
– Bunga lawang
– 1 biji bawang merah
– 1 sudu besar bawang putih (dicincang halus)
– 1 sudu besar halia (dicincang halus)
– 5 tangkai cili kering (potong kasar)
– 1 tangkai daun kari
– 1 sudu besar serbuk cili
– 1 sudu besar serbuk kari ayam
– 1 sudu kecil garam masala
– Garam

Cara penyediaan:

Iklan

1. Kupas dan rebus kentang sehingga kelihatan masak, kemudian toskan dan gaul bersama kunyit sebelum digoreng.
2. Seterusnya goreng kentang sehingga masak dan kekuning-kuningan dan biarkan sebentar.
3. Kemudian, masukkan sedikit minyak ke dalam kuali. Tumis kayu manis dan bunga lawang sehingga naik aroma.
4. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia, cili kering dan daun kari, masak sehingga naik bau.
5. Seterusnya, letakkan pula serbuk cili, kari ayam dan garam masala. Tumis sehingga pecah minyak.
6. Akhir sekali, masukkan kentang yang telah digoreng dan kacau sehingga sebati selama lima minit.
7. Siap untuk dihidangkan.

Nampak macam senang saja resipi Kentang Varuval itu. Semua bahan biasanya sudah tersedia di dapur.

Jadi apa tunggu lagi, jom cuba hidangan tradisi itu, SinarPlus gerenti rasanya memang menggiurkan!

Baca juga: Hanya guna 1 cawan cip coklat boleh hasilkan mufin gebu

Iklan

Baca juga: Pani puri masakan tradisi India sesuai untuk kudapan petang. Ini cara penyediaan paling senang

Kredit foto: Suriakumari Perumal

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi