APABILA bercerita tentang menu lemang periuk kera, anak saudara penulis tercengang.

Reaksi itu sebenar sudah dapat diagak memandangkan resipi tersebut memang jarang diketahui dan nama hidangan itu juga agak unik.

Biasanya, lemang periuk kera hanya ‘muncul’ ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ataupun Aidiladha. Jika berpeluang menjamahnya di luar musim perayaan, kira bertuahlah.

Mengiakan fakta itu, pembikin sajian tersebut, Norjalilati Mohd Moktor, 44, atau mesra disapa Kak Atie terus bercerita.

lemang periuk kera

Kata wanita itu, lemang periuk kera hanya boleh dinikmati setahun sekali atau bergantung kepada stok periuk kera yang dijual di pasar tani berhampiran atau daripada orang perseorangan.

“Saya selalu dapatkan daripada orang Asli sahaja yang menjual kulit periuk kera ini pada harga 30 sen hingga 40 sen setiap satu bergantung kepada saiz. Saya sendiri pun tidak pasti sama ada mereka tanam sendiri atau diambil dari sumber hutan.

Baca juga Inovasi pasangan suami isteri ini buat lemang sushi inti rendang, durian D24 memang luar biasa

“Susah sebenarnya nak jumpa periuk kera ini kalau bukan musim hari raya. Jadi kalau terjumpa, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membelinya,“ ujarnya yang menetap di Muadzam Shah, Pahang.

lemang periuk kera

SinarPlus difahamkan, dalam pembuatan lemang periuk kera, pemilihan jenis dan warna periuk kera sangat penting kerana ia menentukan masakan lebih beraroma atau sebaliknya.

Ketika hal berkenaan diajukan kepada Kak Atie, beliau berpendapat, periuk kera yang berwarna merah dikatakan lebih wangi berbanding warna hijau.

lemang periuk kera

“Periuk kera warna hijau pula difahamkan lebih liat, tetapi tahan lasak. Namun bagi saya, semua itu kurang diambil peduli asalkan saiznya besar dan tidak rosak. Apa yang penting lagi, pulut dapat dimasak di dalam bekas dengan sempurna,“ katanya.

RENDAM TIGA HARI

Tidak pasti bagaimana cara orang lain, Kak Atie berkata, beliau akan merendam periuk kera di dalam bekas lebih kurang tiga hari lamanya bagi memastikan kelongsong menjadi lembut dan bersih.

“Kemudian, saya akan berus lembut bahagian dalam menggunakan berus gigi supaya kotoran dapat dibersihkan betul-betul. Perlu buat dengan berhati-hati kerana daun ini mudah rosak,“ kongsi pemilik Sweet Chocolate Bakeries itu.

lemang periuk kera

Iklan

Bagi menghasilkan pulut yang sempurna, Kak Atie memberitahu, tip yang diajar oleh arwah ibunya, Norpisah Ahmad cukup mudah iaitu hanya menggunakan pulut, santan segar, garam dan gula sahaja.

“Namun, pastikan rendam pulut terlebih dulu dengan daun pandan sebelum dibubuh ke dalam periuk kera. Aroma daun pandan sudah cukup untuk menjadikan pulut bertambah wangi,“ kongsi ibu kepada empat anak itu.

Baca juga Lemang tak habis boleh buat keropok rangup, kudapan sekeluarga!

Selain enak dimakan bersama rendang dan serunding, lemang periuk kera turut sesuai dinikmati bersama lauk lain seperti kari ayam atau daging masak lada hitam.

RESIPI LEMANG PERIUK KERA

Iklan

BAHAN-BAHAN
40 biji periuk kera (bergantung pada saiz)
1 kilogram beras pulut
2 biji santan pekat
1 hingga 2 cawan air
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam

lemang periuk kera

Cara penyediaan:
1. Rendam dahulu periuk kera selama dua hingga tiga hari.
2. Rendam beras pulut lebih kurang 30 minit hingga 1 jam.
3. Sementara itu, gunting keliling mulut, bulu dan ekor periuk kera.
4. Bersihkan keseluruhan periuk kera menggunakan berus gigi dengan perlahan supaya kulitnya tidak terkoyak.
5. Toskan air rendaman beras pulut kemudian masukkan santan, air, gula dan garam.
6. Masukkan beras pulut 3/4 bahagian periuk kera, bubuh sekali air santan sehingga sama paras pulut.
7. Susun kesemuanya dalam dulang dan kukus selama 45 minit.
8. Semasa proses mengukus, boleh ditambah santan lebihan ke dalam periuk kera.
9. Siap sedia dimakan bersama menu sampingan seperti rendang, serunding, kari ayam atau daging masak lada hitam.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan