SEKIRANYA soalan rambang diajukan mengenai kuih getas kepada orang awam, SinarPlus percaya, ramai yang tidak sedar akan kewujudan sajian itu, apatah lagi membayangkan bagaimana ‘rupanya’.

Menurut salah seorang pembikin kulinari tradisional berkenaan, Zaidah Ibrahim, 61, hidangan klasik itu amat digemari oleh kanak-kanak lantaran rasanya yang lemak manis.

Kata Zaidah, beliau mempelajari membuat resipi berkenaan ketika berada di Indonesia.

“Di sana pun ada kuih getas dan saya sempat menikmati dan mempelajarinya cara nak buat. Selepas melihat kaedah mereka, saya menambah bahan lain iaitu tepung pulut hitam ke dalam adunan. Keistimewaan tepung ini adalah tekstur kuih akan lebih kenyal dan tidak keras,” ujarnya.

Beritahu Zaidah, beliau tidak membeli tepung berkenaan, tetapi menghasilkannya sendiri.
“Saya menggunakan beras pulut hitam dan kisar sehingga menjadi debu seperti tepung. Hasil kuih itu nanti akan jadi lebih cantik.

“Daripada pengamatan saya, kebanyakan tepung pulut hitam di pasaran ada campuran bahan lain. Jadi, teksturnya akan berlainan sedikit berbanding menggunakan beras pulut hitam biasa,” terangnya.

Baca juga: Mudah disediakan, resipi ayam masak Thai ringkas pasti sekeluarga berselera

Ujar wanita itu lagi, seperti kuih getas dan rata-rata kulinari tradisi lain, kebanyakannya menggunakan bahan-bahan yang hampir serupa.

Namun, teknik penyediaan akan menjadi penentu kepada kelazatan hidangan.
Sama juga dengan proses menyira gula kuih getas. Jelasnya, kebanyakan langkah yang dilakukan oleh kebanyakan orang tidak berapa tepat.

“Ada yang buat gula tidak kering dan berketul-ketul, ada pula sebahagian gula cair semula setelah kuih getas sejuk.

“Kalau ikut tatacara yang betul, air gula perlu dimasak menggunakan api yang sederhana.

“Selepas itu, perlahankan api dan ratakan seluruh kuih sehingga gula benar-benar kering serta melekat atas kuih,” katanya sambil menambah air gula akan lambat keras sekiranya api ditutup semasa proses meratakan kuih tersebut.

Iklan

Baca juga: Resipi Ayam Goreng Pandan yang memang ‘terangkat’ habis. Senang saja, kena cuba masak dulu, baru tahu

BAHAN-BAHAN

  • 100 gram (g) tepung pulut hitam
  • 300g tepung pulut
  • 150g kelapa parut
  • 1 sudu kecil garam
  • 300g santan

BAHAN SIRA GULA

Iklan
  • 200g gula
  • 50 mililiter air
  • 2 helai daun pandan

Cara penyediaan:

  1. Pertama, masukkan tepung pulut putih, tepung pulut hitam, kelapa parut dan garam. Gaul sehingga sebati.
  2. Masukkan separuh santan dahulu ke dalam adunan. Uli sehingga rata.
  3. Kemudian, masukkan baki santan dan uli sekali lagi sehingga adunan menjadi doh yang lembut.
  4. Selepas itu, bentukkan doh menjadi bujur leper bersaiz sederhana.
  5. Panaskan minyak. Goreng kuih getas menggunakan api sederhana.
  6. Setelah kuih garing, toskan dan ketepikan.
  7. Untuk sira gula pula, masukkan air, gula dan daun pandan ke dalam kuali menggunakan api kecil. Masak sehingga likat.
  8. Kemudian masukkan kuih getas ke dalam kuali sehingga rata.
  9. Tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Baca juga: Ringkas tapi enak, ayam sos tiram wajib dicuba

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.