RASANYA memang ramai yang tidak mengenali kuih sawalla. Namun, dalam kalangan masyarakat Bugis, ia bukan hidangan yang asing lagi.

Hamidah Laudin, 34, yang mahir membuat pencuci mulut itu berkata, segelintir orang memanggilnya sebagai getas atau gegantas.

“Namun, terdapat perbezaan antara kuih getas dan sawalla. Sawalla biasanya berbentuk bujur, sementara getas lebih leper dan dibulatkan.

Hamidah yang merupakan anak kelahiran Tuaran, Sabah berkata, beliau mempelajari membuat sawalla daripada keluarganya yang berketurunan Bugis.

“Dulu, ibu membuat kuih ini untuk berniaga, jadi saya memang meluangkan banyak masa membantunya. Bila sudah tinggal berjauhan, terpaksalah saya buat sendiri,” selorohnya ketika dihubungi.

 

Kepada kita semua yang mungkin langsung tiada pengetahuan tentang sajian berkenaan, beritahu Hamidah, kuih itu rasanya lemak-lemak manis.

Lazimnya, ia dijadikan pelengkap untuk sarapan pagi dan enak dinikmati bersama teh tarik atau kopi O.

Kelebihan yang dimiliki ibu kepada dua anak itu tidak disia-siakan. Seperti ibunya, wanita tersebut menjual juadah berkenaan, namun dengan resipi yang ditambah nilai.

“Sebelum ini, kami kekalkan sawalla dengan perisa asli, tapi saya olah dengan meletak perisa pandan. Bukan sahaja warna kuih menjadi lebih menarik, aroma daun pandan juga membangkitkan rasa kuih ini,” katanya.

Berkongsi tentang kaedah untuk menyediakan kulinari tersebut, suri rumah itu berkata, proses pembuatannya sangat mudah. Ia hanya menggunakan tepung pulut, tepung gandum dan kelapa parut sebagai bahan utama.

Baca juga:Swiss roll mini dengan warna ceria. Lembut, sedap dan padu. Ini resipi senang nak buat

“Kelapa parut adalah ‘heronya’ dan untuk mendapatkan rasa yang lebih enak, ia mesti menggunakan kelapa muda.

“Paling penting, jangan kurangkan sukatan parutan kelapa muda tersebut.Jika tidak, kuih yang dihasilkan kurang berlemak dan hanya mempunyai rasa tepung pulut sahaja,” ujarnya.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan sentiasa berada pada tahap tertinggi, Hamidah mengakui, beliau hanya menambah sedikit tepung gandum bagi memastikan kuih sawalla tidak terlalu liat dan setiap gigitan lebih sempurna.

“Namun, pastikan semasa menggaul adunan, ia tak begitu lembik untuk dikepal.
Biarkan ia masih mempunyai tekstur yang berderai seperti ‘crumb’,” katanya lagi.

Justeru, nasihat Hamidah, air pandan perlu ditambah sedikit demi sedikit sehingga mendapat adunan yang dimahukan.

Ketika menggoreng pula, pastikan api dipasang sederhana dan kuih diangkat apabila warna sudah sedikit keemasan.

Iklan

Beliau memberitahu, sawalla air tangannya menggunakan sira campuran gula merah dan gula putih.

“Setelah air gula memekat dan bertali, kuih yang telah disejukkan boleh dimasukkan ke dalam kuali dan dikacau sehingga menjadi kering dan berkilat,” katanya.

Daripada penyediaan bahan hingga proses menyira, sajian itu hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk disiapkan, ujar Hamidah.

RESIPI SAWALLA PANDAN

Bahan-bahan
500 gram tepung pulut
4 sudu besar tepung gandum
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
2 1/2 cawan kelapa parut (kelapa muda)
2 cawan air daun pandan
1 cawan gula
1/2 cawan gula merah
Sedikit air

Iklan

Baca juga: Resipi kek coklat cheese mini mudah & sedap, ini sukatan untuk 30 biji. Buat sendiri, puas hati makan

Baca juga: Kreatifnya ‘abang polis’ cipta resipi Cream Puff Cendol. Sebiji macam rasa cendol asli

Cara penyediaan:

  1. Masukkan kelapa parut ke dalam bekas bersama tepung pulut, tepung gandum dan garam. Gaul hingga sebati.
  2. Tambahkan air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh.
  3. Bentukkan adunan menjadi bentuk bujur menggunakan tangan.
  4. Selepas itu, panaskan minyak dan goreng adunan tadi sehingga kekuningan. Ketepikan.
  5. Panaskan kuali dan masukkan satu cawan gula bersama setengah cawan gula merah serta sedikit air.
  6. Masak air gula hingga pekat. Kemudian, masukkan kuih yang sudah digoreng tadi dan gaul sebati.
  7. Matikan api dan teruskan menggaul hingga gula kering dan sebati.
    Siap dan sedia untuk dihidang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!