PADA asalnya, penulis fikirkan Fazidatul Laily Sokeman, 37, melakukan inovasi terhadap juadah laksamnya daripada warna kebiasaan putih kepada ungu dan merah jambu.

Namun sangkaan penulis meleset! Kata Fazidatul itu ialah kuih tepung puli!

Kuih berkenaan begitu terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di Melaka. Lazimnya ia dijadikan menu santai pada waktu petang dan enak disajikan bersama kopi O.

Kepada SinarPlus, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, kuih tepung puli sangat kenyal dan elastik seperti laksam. Cara pembuatannya juga terdapat sedikit persamaan.

Tidak seperti laksam, sajian kegemaran ramai itu diwarnakan secara berlapis.

“Nampak seperti kuih lapis tapi bentuknya macam laksam yang digulung kemudian dipotong. Ada yang pilih padanan warna merah jambu dan putih.

“Kepada yang rajin, ada yang pilih warna pelangi. Tapi tidak kira apa juga warna, kuih yang berasaskan tepung pulut dan ubi itu memang sedap, rasanya manis,“ kata anak jati Perak itu baru-baru ini.

Fazidatul Laily Sokeman

Tanya penulis kepada wanita itu, bagaimana dan dengan siapa beliau ‘berguru‘ untuk membuat kuih tepung puli?

“Cikgu saya ialah sahabat dalam grup masak-masak di Facebook.Disebabkan saya memang sukakan kuih warisan, saya tambah ilmu membuatnya melalui YouTube dan laman web masakan.

“Kemudian, saya olah sendiri ikut kesesuaian selera. Antaranya, saya tak guna bahan pewarna sebaliknya guna bunga telang dan ubi bit sebagai pewarna semula jadi,“ katanya.

Leceh

Ironinya, sekali imbas, sesiapa pun dapat mengagak cara pembuatan kuih tepung puli agak leceh dan memakan masa berjam-jam lamanya.

“Ya, betul. Kena sabar buat kuih ini. Namun barangkali disebabkan saya seorang yang minat memasak dan suka mencuba sesuatu lain daripada lain, semuanya jadi mudah.

tepung puli

“Jika orang yang jenis tak sabar, memang tak akan jadi. Ini kerana langkah paling mencabar adalah masa nak gulung. Kena gulung cepat-cepat ketika masih panas seperti buat laksam,“ ujarnya.

Iklan

Fazidatul berkata, seboleh-bolehnya beliau mahu terus menambah pengetahuan untuk membuat variasi kuih tradisional jenis lain dari pelbagai negeri, bangsa mahupun agama.

Artikel berkaitan: Kimchi isi cencaluk pun sedap weh… Cubalah!

“Saya bersyukur ‘keghairahan‘ saya itu diwarisi daripada mak yang selalu dedahkan tentang warisan kuih zaman silam. Sekarang saya dalam proses untuk simpan resipi lama,“ katanya penuh teruja.

Sebagai tambah nilai, lulusan Universiti Antarabangsa Unitar ini berkata, beliau akan cuba memberi sedikit nafas baharu kepada mana-mana kuih tradisional namun tidak sesekali menjejaskan keasliannya,“ katanya.

tepung puli

Iklan

Resepi Kuih Tepung Puli

Bahan-bahan:

  • 250 gram tepung pulut
  • 1 1/3 cawan tepung ubi
  • 2 1/2 cawan santan
  • 1 cawan dan dua sudu besar gula
  • 1/2 sudu teh garam
  • Pewarna (ekstrak bunga telang)
  • Daun pisang yang sudah dilayur

Cara-caranya:

  1. Satukan tepung pulut, tepung ubi, gula, santan dan garam.
  2. Kacau sehingga gula larut.
  3. Tapis dan bahagikan kepada empat bahagian (200ml setiap bahagian).
  4. Dua bahagian berwarna putih dan dua lagi berwarna.
  5. Sapu penutup periuk dengan sedikit minyak.
  6. Sendukkan sedikit adunan berwarna, tuang dan ratakan.
  7. Kukus adunan selama lima minit dan tuang adunan warna putih ke atasnya.
  8. Kukus selama lima minit. Kemudian angkat dan gulung kemas.
  9. Guna daun pisang sebagai balutan

Tip: Potong menggunakan pisau plastik yang sudah disapu minyak supaya keratan cantik dan tidak melekit.