RENDANG tok memang cukup istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu terutama di negeri Perak.

Daging segar yang dipotong dadu dengan ramuan yang menggunakan pelbagai rempah, menjadikan sajian tradisional itu menjadi pilihan tidak kira pada musim perayaan atau hari biasa.

Jangan mengeluh sekiranya harga jualan untuk sebekas rendang tok mencecah ratusan ringgit.

Ini kerana teknik pembikinannya bukan mudah dan memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi untuk mendapatkan kesedapan yang optimum.

Mengambil inspirasi kaedah masakan zaman silam, seorang cef instafamous, Nur Hayati Zainol Abidin, 42, berkongsi kepakaran memasak masakan itu dengan caranya.

rendang tok

Nur Hayati yang mesra disapa Kak Yatie berkata, kecintaannya dalam bidang masakan mendorong beliau mengkaji secara mendalam tentang resipi berkenaan.

Selain itu, beliau juga sanggup bertanya rakan-rakan yang berasal dari negeri Perak tentang bagaimana menghasilkan rendang tok yang terbaik.

“Saya banyak membaca dan bertanya kerana bagi saya, rendang tradisi ini sangat istimewa.

Saya sangat mengagumi resipi unik yang dikongsikan kerana selain menggunakan variasi rempah-ratus, ia juga menggunakan daun salam yang segar ditambah cara memasaknya sangat berbeza berbanding dengan rendang lain,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Guna bahan organik

Kak Yatie berkata, cara pembuatan rendang toknya terdapat sedikit kelainan.

“Istimewanya rendang tok yang dimasak dengan cara Kak Yatie adalah ia (masakan) tidak perlu ditumis,” katanya.

rendang tok

Menjadikan air tangannya bertambah lazat, beliau akan menghiris isi kelapa dan menggorengnya terlebih dulu. Tujuannya adalah untuk menaikkan rasa kelapa dan aroma sajian ketika dimasak.

Ternyata olahan masakan Kak Yatie cukup unik. Beliau berkata, rahsia kesedapan rendang toknya adalah beliau memilih menggunakan bahan organik iaitu perasa ekstrak cendawan.

Hal itu diakui oleh rakan-rakan penulis yang pernah mencuba resipi berkenaan yang dimuat naik menerusi laman Instagram Kak Yatie.

“Itu sebabnya, rendang tok ini walaupun ia satu hidangan kering tapi lazat dan berkhasiat. Ia juga sihat kerana menggunakan bahan asli tanpa pengawet,” tuturnya yang juga penulis buku bertajuk Koleksi Resipi dan Tip Masakan Yatie Kitchen.

rendang tok

Tatkala ramai merungut daging yang dimasak tidak empuk dan liat, Kak Yatie ada petua yang boleh membantu.

Iklan

“Ya, saya selalu dengar keluhan yang mengatakan daging masih liat walau dimasak dalam tempoh yang lama, tapi ada cara untuk mengatasi masalah itu.

Selain tutup kuali atau periuk rebusan ketika memasak, daging haruslah dipotong secara melawan urat dan masukkan sudu dalam masakan,” katanya sambil memberitahu, rendang tok paling enak dimakan dengan ketupat nasi atau ketupat palas.

rendang tok

Kepada mereka yang mengikuti Instagram beliau, @yatiekitchen yang mempunyai lebih setengah juta pengikut, umum mengetahui bahawa Kak Yatie memang seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu masakannya.

Seperti katanya: “Kita kena banyak belajar demi menimba ilmu masakan. Jika ada petua yang baik, elok dikongsikan supaya ia dapat membantu orang lain yang barangkali baru berjinak-jinak untuk belajar masak.”

RESIPI RENDANG TOK ASLI

Iklan

Bahan-bahan

  • 1 kilogram (kg) daging dipotong dadu mengikut saiz dikehendaki
  • 2 kotak santan Adabi
  • 2 cawan kerisik
  • 2 helai daun kunyit dihiris halus
  • 3 helai daun salam segar
  • 1 helai daun pandan
  • 2 batang serai dititik
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 4 biji bunga lawang
  • 10 biji bunga cengkih
  • 5 biji buah pelaga
  • 1 1/2 keping gula nipah/kabung/melaka
  • Garam secukup rasa
  • Bahan perasa cendawan Love Earth
  • Isi kelapa dihiris halus, digoreng dan masuk dalam rendang

rendang tok

Bahan-bahan disangai (goreng tanpa minyak dan dikisar halus)

  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 2 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu besar lada hitam

Bahan-bahan kisar

  • 2 cawan cili kering
  • 10 biji bawang merah (kecil)
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 sentimeter (cm) lengkuas
  • 5 batang serai
  • 5 cm halia
  • 3 cm kunyit hidup

Cara-cara:

  1. Bahan yang disangai dikisar halus sebelum digaulkan ke dalam daging.
  2. Kemudian masukkan serai yang sudah dititik dan bahan kisar. Gaul sebati.
  3. Simpan daging semalaman dalam bekas bertutup.
  4. Kemudian panaskan kuali tanpa minyak dan masukan bahan yang diperap semalaman itu.
  5. Masukkan rempah empat sekawan, kerisik dan gula nipah/kabung/melaka.
  6. Selepas mendidih, masukkan pes asam jawa.
  7. Kemudian masukkan daun pandan, daun salam dan hirisan daun kunyit.
  8. Selepas sebati, masukkan santan.
  9. Masukkan garam dan perasa cendawan.
  10. Perlahankan api, tutup dan biarkan kering.
  11. Kemudian masukkan 1 cawan air panas.
  12. Biarkan masak selama dua hingga tiga jam dengan api kecil sehingga daging masak.