PERTAMA kali mendengar nama Nasi Lemak Depan Kubur, mungkin boleh berasa seram dan membuatkan bulu roma merinding.

Tetapi disebabkan nama yang digunakan agak menyeramkan itu juga membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar pasti mahu berkunjung ke situ semata-mata hanya ingin mencuba keenakan makanan di situ.

Kepada penduduk Port Dickson, Negeri Sembilan, barangkali sudah cukup arif dengan lokasi di situ.

Namun, kepada yang tidak tahu, Nasi Lemak Depan Kubur merupakan lokasi terbaik menikmati nasi lemak yang enak.

Penulis bertanya kepada pemiliknya, Salmi Osman, bagaimana muncul idea menamakan premis itu sedemikian rupa? Bukankah dulu, warung nasi lemak itu dikenali sebagai Kedai Makan Kak Ann?

nasi lemak depan kubur

“Sebab lokasi kedai saya terletak berdekatan dengan Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Kemang yang membuatkan nama kedai diubah. Memang tak dinafikan nama depan kubur ini agak seram tapi jangan bimbang, saya buka kedai sebelah pagi sahaja.

“Ada perancangan nak buka sampai malam tapi buat masa sekarang ini kita masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, kami fokus operasi sebelah pagi sahaja,” katanya.

Masak guna kayu api

Selain nama kedainya yang catchy, ada sebab lain mengapa premis itu tidak putus-putus dibanjiri orang ramai setiap kali dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 11.15 pagi.

“Jika datang lambat, mesti habis punya,” kata anak jati Kampung Teluk Kemang itu spontan.

Jika bertanya kepada para pelanggan Nasi Lemak Depan Kubur apa istimewanya premis itu, rata-ratanya akan menjawab, sambal nasi lemaknya yang lazat.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, sambal berkenaan dimasak dengan kayu api dengan durasi lebih kurang enam jam lamanya.

“Hasil masakan (guna kayu api)memang lebih sedap dan lain daripada yang lain. Resipi sambal juga adalah warisan keluarga turun-temurun. Saya memang sudah diajar dari kecil untuk memasak sambal nasi lemak ini secara tradisional menggunakan kawah gergasi dan kayu api bagi mendapatkan rasa yang membuatkan orang teringat,” katanya.

nasi lemak depan kubur

Bukan itu sahaja, Salmi turut menyediakan lebih 10 lauk yang dimasak seawal jam 4 pagi.

“Kami biasanya akan masak ayam goreng berempah, sambal sotong power, sambal udang, sambal ikan bilis, ayam masak merah, rendang, bergedil dan macam-macam lagi,” katanya.

Ujar Salmi, nasi lemak air tangannya juga bukan biasa-biasa kerana beliau akan menggunakan 3 kilogram pati santan segar yang pekat untuk mendapatkan rasa yang lebih berlemak ditambah aroma daun pandan yang wangi.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, selain nasi lemak, kedai Nasi Lemak Depan Kubur itu juga menawarkan juadah lain seperti bakso berasap, soto, lontong, mi sup dan mi kari.

Iklan

ANEKDOT

Nasi Lemak Depan Kubur

  • Alamat: Jalan kemang 6, Batu 7, Port Dickson, Negeri Sembilan (berhadapan Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Kemang)
  • Waktu operasi: 6.30 pagi hingga 11.15 pagi
  • Menu signatur: Nasi lemak
  • Harga: RM1 sehingga RM12
  • Facebook: Nasi Lemak Depan Kubur
  • Instagram: @nasilemakdepankubur

Kedai dengan nama misteri seperti Nasi Lemak Depan Kubur memang menjadi daya penarik untuk pelanggan singgah.

Bukan setakat itu sahaja, sajian yang sedap juga memainkan peranan penting. Selain Nasi Lemak Depan Kubur yang terletak di Negeri Sembilan, sebenarnya terdapat banyak lagi premis yang mempunyai nama yang berunsurkan mistik dan menyeramkan.

SinarPlus baru-baru ini menghubungi beberapa premis yang masih boleh dikunjungi oleh pelanggan sekiranya anda secara kebetulan berada di kawasan berkenaan. Nah! Berikut tiga lagi destinasi yang boleh dicuba:

asam pedas bunian

Iklan

Asam Pedas Bunian

  • Alamat: Jalan BKI 3, Taman Bukit Katil Indah, Bukit Katil, Melaka
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 3 petang
  • Menu signatur: Gerang asam tetel dan ikan siakap
  • Harga: RM5 hingga RM15
  • Facebook: Warung Bukit Katil Indah (BKI)

warung bunian

Warung Bunian

  • Alamat: Jalan Jamaludin, Kampung Sungai Merab, 43000 Kajang, Selangor
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 10.30 pagi dan 12 tengah hari hingga 2 petang
  • Menu signatur: Nasi lemak telur bungkus
  • Harga: RM3.50 dan ke atas
  • Facebook: Warung Bunian

nasi kambing atas kubur

Nasi Kambing Atas Kubur

  • Alamat: Solok Duku, Alor Gajah, Melaka
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6.30 petang
  • Menu signatur: Nasi Arab kambing
  • Harga: RM8.90
  • Facebook: Nasi Kambing Atas Kubur
  • (Cawangan kedua di Astana Putra, Serdang, Selangor)