RESIPI kuih putu kacang hanya menggunakan dua bahan sahaja iaitu kacang hijau dan gula pasir.

Ya, ia bukan sekadar cakap. Pun demikian, cara pembuatannya tidak mudah seperti yang disangka dan ia diakui sendiri oleh salah seorang pembikin kuih tersebut, Sabanisham Dali.

Sabanisham yang merupakan pengusaha kecil-kecilan makanan berkenaan berkata, beliau masih mengekalkan pendekatan tradisional, meskipun terdapat stail lebih moden untuk menyiapkan kuih yang menjadi kegemaran nenek moyang kita.

Ujar beliau lagi, faktor cuaca memainkan peranan yang sangat penting dalam pembikinan kulinari itu.

“Untuk membuat kuih ini, kita perlukan suhu yang panas. Kalau cuaca panas terik memang bagus sangat, dua hingga tiga jam sudah selesai. Namun, kalau hujan, memang bermasalah sedikit kerana durasi masa untuk mengeringkan kuih akan jadi lebih panjang.

“Sebenarnya, terdapat cara lain untuk keringkan (kuih) iaitu membakar dengan menggunakan ketuhar, tetapi kuih putu kacang akan menjadi lebih keras dan bau aroma yang enak akan hilang,” ujarnya yang mengusahakan perniagaan Putu Kacang Ori Perlis bersama ibu dan isterinya.

Tidak hanya itu, proses membuang kulit kacang hijau juga memakan masa. Masakan tidak, setiap hari lebih 20 kilogram kekacang tersebut akan digunakan.

“Kacang juga perlu kering sebelum dikisar menjadi tekstur seperti tepung. Untuk menghasilkan produk yang lebih asli dan menarik, kacang hijau (yang telah dibuang kulit) disangai sehingga garing dan kekuningan di atas api kecil,” katanya sambil menambah, adakalanya proses pembikinan putu kacang boleh memakan masa dua hingga tiga hari lamanya.

Ditanya apakah keistimewaan air tangannya, Sabanisham tertawa kecil. Dengan rasa rendah diri, beliau berkata: “Hasil maklum balas pelanggan, mereka berpuas hati kerana kuih kami lebih ranggup, peroi dan kurang manis.

“Selain itu, kami juga tidak menggunakan air gula dalam penyediaan sajian itu kerana ia akan menghasilkan kuih yang keras. Kami menggunakan gula kasar dan mengisarnya sehingga menjadi halus.”

Mewarisi resipi dan cara pembuatan yang daripada ibu tercinta hampir tiga dekad lamanya, putu kacang Sabanisham akan laku keras terutama pada musim perayaan.
Lazimnya, pada Hari Raya, lebih 4,500 biji kuih dihasilkan dan dijual pada harga cukup murah iaitu RM18 satu pek.

Baca juga: Resipi Tat Telur ‘macam kedai’ sukatan cawan, rangup di luar, lembut di dalam

“Alhamdulillah, bisnes kami semakin berkembang. Sebelum ini hanya mereka yang tinggal berdekatan sahaja yang boleh beli produk kami, tetapi sejak kami wujudkan platform Shopee dan Facebook, semua orang boleh membelinya,” katanya.

BAHAN-BAHAN

  • 1 kilogram kacang hijau
  • 1/2 kilogram gula (kisar halus)

Cara penyediaan:

1. Sangai kacang hijau dalam kuali menggunakan api sederhana sehingga kekuningan.

2. Kemudian, kisar kacang hijau untuk dibuang kulitnya.

Iklan

3. Selepas itu, basuh dan toskan. Tunggu dua atau tiga jam sehingga kering sedikit.

4. Kisar kacang hijau hingga hancur, halus dan berdebu. Ayak hingga menjadi tepung.

5. Campur gula dan kacang hijau. Kacau sehingga sebati.

6. Kemudian, kepalkan adunan dan tekan dalam acuan putu plastik atau kayu.

7. Ketuk acuan tadi untuk mengeluarkan kuih itu.

8. Susun dalam talam dan jemur selama satu atau dua jam di bawah panas matahari.

Iklan

9. Keringkan dan tutup menggunakan kain kasa atau selendang jarang untuk menghalang habuk.

10. Akhir sekali, masukkan kuih ke dalam balang.

Baca juga: Paling senang nak buat, ini teknik buat kek batik ‘legend’ dengan limpahan badam dan coklat. Gerenti sedap!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.