MESKIPUN kira-kira dua bulan lagi mahu meraikan Ramadan dan Syawal, nampaknya sana sini orang bercakap tentang raya.

Antara yang paling diperkatakan selain tanda tanya dapat pulang ke kampung disebabkan kes Covid-19 semakin tinggi ialah hal tentang pembuatan biskut raya.

Okey, pada hari ini, SinarPlus mahu kongsikan sejenis biskut yang enak dinikmati bersama keluarga iaitu Nougat Butter Cookies.

Baca juga Dulu baju, kuih, duit raya, kini dos penggalak termasuk persiapan Aidilfitri, langkah terbaik lindung diri, keluarga

Apa yang SinarPlus difahamkan, biasanya, segelintir orang menghasilkan kuih itu tanpa meletakkan sebarang perasa, tetapi resipi kali ini mempunyai kelainan.

Mana tidaknya, ada empat perasa diletakkan! Wow, menarik, bukan?

Jom, kita lihat resipi yang dikongsi oleh Kak Wan (@citarasawan) di laman Facebook, Masak Apa Hari Ini.

BAHAN ADUNAN MENTEGA
300 gram mentega tawar
120 gram gula kastor
1 biji telur gred A
1/4 sudu teh garam
1 sudu kecil esen vanilla

PERISA VANILLA
87 gram tepung gandum

PERISA STRAWBERI
80 gram tepung gandum
7 gram serbuk strawberi

PERISA MATCHA
80 gram tepung gandum
5 gram serbuk teh hijau (matcha)

PERISA COKLAT
80 gram tepung gandum
7 gram serbuk koko

Iklan

BAHAN ALMOND NOUGAT
100 gram kepingan Almond
70 gram mentega tawar
70 gram gula pasir
70 gram madu

Cara penyediaan:

1. Kacau mentega dan gula sehingga sebati.
2. Tambahkan telur, garam dan esen vanilla.
3. Gaul sehingga adunan menjadi lembut.
4. Bahagikan adunan kepada empat bahagian (115 gram setiap satu).
5. Campurkan adunan mentega kepada empat perasa tadi iaitu vanilla, coklat, matcha dan juga strawberi.
6. Masukkan setiap adunan ke dalam beg piping.
7. Kemudian, putarkan adunan itu menjadi bentuk cincin menggunakan nozel berbentuk bintang bersaiz 5 sentimeter.
8. Selepas itu, untuk nougat pula, masak gula ke dalam periuk sehingga menjadi karamel.
9. Masukkan mentega dan madu, kacau sehingga sebati.
10. Kemudian, masukkan kepingan almond ke dalam adunan dan kacau lagi sekali.
11. Setelah adunan sebati, tunggu sehingga sejuk dan bulatkan nougat (3 gram setiap satu).
12. Letakkan nougat di bahagian tengah biskut mentega tadi.
13. Panaskan ketuhar dan bakar biskut itu selama 15 minit pada suhu 150 darjah celcius menggunakan api bawah.
14. Alihkan biskut ke bahagian atas pula dan bakar lagi selama lima minit.

Iklan

Dalam pada itu, Kak Wan turut berkongsi tip supaya biskut tidak melekat. Berikut perinciannya:

i. Gunakan alas silikon atau lapisan tidak mudah lekat.
ii. Gunakan sudip rata untuk mengeluarkan biskut apabila ia telah suam.
iii. Jangan biarkan biskut terlalu sejuk kerana mudah patah bila diangkat.

Hmmm… kena cuba ini. Apa kata anda cuba dulu sementara masih belum berpuasa ini. Mana tahu skil dapat ‘diupgrade’ ketika Ramadan nanti.

Selamat mencuba!