PANI puri mungkin kedengaran agak asing bagi sesetengah individu kerana ia merupakan sejenis makanan yang berasal dari India.

Bagi mereka yang belum pernah makan, apa kata cuti hujung minggu ini, kita cuba buat kelainan dengan memasak sajian tersebut.

Bukan sahaja sesuai untuk dijadikan sarapan, malah enak dijadikan sebagai kudapan pada waktu petang.

Usah khuatir, bahan-bahan yang digunakan kebanyakannya tersedia di dapur. Cuma tinggal beli sahaja kulit pani puri. Namun, jika rajin boleh juga buat sendiri.

Daripada banyak perkongsian, resipi yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Uwan Nolly Epin rasanya paling mudah dilakukan.

Baca juga: Ikan bakar berempah, menu sihat, ini resipi paling ringkas disediakan

Uwan Nolly berkata, resipi yang dikongsinya itu adalah hasil carian daripada internet dan diolah mengikut cita rasa sendiri.

Berikut bahan-bahan dan cara penyediaan:

Bahan-bahan kulit pani puri

– 1 cawan tepung semolina
– 2 sudu besar tepung gandum
– 1 ½ sudu teh minyak masak
– ¼ sudu teh garam
– ½ sudu besar serbuk penaik
– Air secukupnya

Cara penyediaan:

1. Campurkan kesemua bahan kecuali air dan gaul sehingga sebati.
2. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sehingga doh menjadi lembut.
3. Biarkan doh selama 20 minit dan seterusnya canaikan doh sehingga nipis, kemudian tekap dengan acuan berbentuk bulat dan kecil.
4. Panaskan minyak dan goreng sehingga puri menggelembung dan kuning keemasan.

Bahan-bahan inti pani puri

– 3 biji kentang (siap direbus)
– ½ sudu teh serbuk lada hitam
– ¼ sudu teh serbuk jintan putih
– ½ sudu besar serbuk cili
– Daun ketumbang (dicincang)
– Garam secukupnya

Cara penyediaan:

1. Lenyekkan kentang yang telah direbus.
2. Kemudian gaul bersama serbuk cili, garam, serbuk lada hitam dan jintan putih serta daun ketumbar.

Bahan-bahan kuah pani puri

– ½ cawan daun ketumbar
– ½ cawan daun pudina
– ½ inci halia
– 4 tangkai cili padi
– ½ sudu teh serbuk jintan putih
– 3 sudu besar air asam jawa
– Garam secukupnya
– 4 cawan air

Cara-cara penyediaan:

1. Masukkan kesemua bahan kecuali air ke dalam pengisar dan kisah sehingga lumat.
2. Kemudian tapi dan ambil airnya sahaja.
3. Selepas itu masukkan air dan perasakan mengikut cita rasa.

Iklan

Bahan-bahan kuah asam jawa

– 2 cawan air asam jawa
– 1 keping gula Melaka
– ½ sudu teh serbuk cili
– ½ sudu teh jintan manis
– ½ sudu teh jintan putih
– Garam secukup rasa

Cara-cara memasak:

1. Campurkan kesemua bahan dan perasakan mengikut cita rasa masing-masing.

Bahan-bahan tambahan

– Mayonis
– Yogurt
– Kacang kuda
– Cili potong
– Bawang besar yang dipotong dadu

Iklan

Cara makan pani puri:

1. Pecahkan bahagian atas puri, kemudian masukkan kentang lenyek.
2. Selepas itu, masukkan bawang potong dadu, cili, kuah pani puri hijau dan air asam jawa.

Haa… walaupun cara pembuatannya agak panjang, tapi ia tidaklah terlalu leceh untuk disediakan.

Pastikan kalian mengikut langkah-langkah penyediaan yang betul supaya hasil hidangan memuaskan. Selamat mencuba!

Baca juga: Ikan Siakap Tiga Rasa Sempoi yang senang sangat nak masak. Kena cuba masak hujung minggu ini

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan