SIAPA kata generasi muda tidak pandai membuat kuih tradisional? Puteri Anis Sa’adah Sahar Sa’di mampu buktikan apabila pandai menyediakan pelbagai juadah hidangan pemanis mulut warisan Pantai Timur.

Siapa gerangan si gadis manis ini? Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni kulinari itu pandai mengolah resipi kuih tradisi sehingga mampu memikat hati calon mentua.

Bermula daripada berniaga kuih tradisi di pasar malam sehingga membuka kiosk di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di ibu negara, anak sulung daripada empat beradik itu percaya kuih warisan masih ada peminatnya sendiri.

“Saya lihat ramai yang sukakan menu luar seperti masakan hipster dan sebagainya. Kenapa tidak untuk saya memilih menu warisan supaya juadah turun-temurun tidak lenyap ditelan zaman?

“Bermula daripada misi jualan di pasar malam dengan masak terus di lokasi, saya perhatikan sebenarnya ramai yang masih mencari kuih tradisional dan sambutan cukup luar biasa,“ ungkapnya kepada Sinar Plus.

kuih tradisi
PUTERI Anis Sa’adah Sahar Sa’di berkongsikan resipi kuih tepung bunga.

Tidak lokek dengan ilmu, gadis berusia 24 tahun itu sudi berkongsikan resipi kuih tepung bunga yang sangat mudah cara penyediaannya dengan menggunakan empat bahan utama seperti tepung pulut, santan, garam dan telur.

“Uniknya kuih ini ialah senang dibuat dengan bahan mudah didapati. Goreng dan hidang sahaja bersama gula kastor yang ditaburkan di atasnya.

“Tepung pulut hanya diuli dengan santan dan air. Jika mahu cantikkan kuih, boleh tambah pewarna kuning supaya tepung lebih kekuningan,“ ujarnya.

Menyingkap lebih lanjut mengenai sejarah nama kuih tersebut, kata Puteri Anis Sa’adah, barangkali gelaran nama tepung bunga diberikan disebabkan buih telur yang membentuk seperti bunga.

“Apabila tepung pulut yang sudah diuli dicelup dengan telur sebelum digoreng, ia membentuk seolah-olah kelopak bunga di sekeliling tepung dan berwarna kekuningan cantik.

kuih tradisi
BUIH tepung yang mengembang cantik menjadi seolah-olah kelopak bunga di sekeliling tepung pulut yang digoreng garing.

“Barangkali disebabkan ‘kelopak’ bunga yang muncul di sekeliling tepung menjadikan namanya si tepung bunga,“ katanya yang sudi berkunjung ke Studio F Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini.

Iklan

Menyimpan impian untuk membina perusahaan kuih tradisional pada masa akan datang, gadis kelahiran Terengganu tersebut nekad mempelajari ilmu baharu dari masa ke masa.

“Harapan saya untuk menaikkan martabat kuih tradisional melalui jualan yang lebih meluas. Bukan sahaja tepung bunga, tapi onde-onde, puteri mandi, asam gupal atau kuih warisan lain, saya ingin perkenalkannya kepada dunia.

“Bukannya rumit membuat kuih ini. Dengan minat mendalam, semuanya nampak mudah. Jika dibandingkan masak lauk tradisional, buat kuih bagi saya lebih senang,“ katanya tersenyum.

Resipi kuih tepung bunga

Iklan

Bahan-bahan:

  • Dua cawan tepung pulut
  • Satu sudu besar santan pekat
  • Satu gelas air
  • Secubit garam
  • Setitik pewarna kuning
  • Dua biji telur
  • Satu cawan gula kastor
  • Minyak masak untuk menggoreng

Caranya:

  1. Satukan tepung pulut, santan, secubit garam dan air.
  2. Uli tepung sehingga menjadi doh sebati.
  3. Ambil sedikit bahan ulian dan bentukkan menjadi bulat.
  4. Tekan bahagian tengah dan biarkan seketika.
  5. Ulang langkah sama sehingga doh habis.
  6. Panaskan minyak dengan api kecil.
  7. Celup tepung dengan telur yang sudah dikacau.
  8. Goreng tepung sehingga naik buih telur dan berwarna kekuningan.
  9. Angkat dan tos tepung yang sudah digoreng.
  10. Hidang kuih tepung bunga dengan taburan gula kastor.