BAGI para ibu yang ketandusan idea untuk memasak hidangan untuk anak-anak, apa kata cuba resipi sizzling spageti buttermilk bersama ayam popcorn.

SinarPlus yakin bahawa si kecil akan begitu teruja untuk mencuba hidangan berkenaan kerana ia sememangnya lain daripada pasta yang dijual di kedai.

Jarang untuk kita temui pasta yang dimasak di dalam plat panas (hot plate). Bagaimana agaknya rasa dan rupa setelah ia siap dihidangkan? Membayangkan sajian itu sahaja boleh bikin kecur air liur.

Jadi apa tunggu lagi, jom cuba resipi yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial, Facebook, Nurha Muhammad yang berkongsikan resipi pasta yang lazat itu.

Berikut bahan dan cara penyediaan:

Bahan-bahan kuah buttermilk

– 1 paket spageti
– 9 ulas bawang putih (dicincang halus)
– 3 tangkai daun kari
-4 biji cili padi merah (dihiris halus)
– 10 gram mentega
– 1 tin susu cair
– 1 cawan susu lemak berkrim
– 2 sudu teh serbuk pati ayam
– 2 sudu teh garam
– Sedikit lada sulah dan lada hitam berperisa
– 2 keping keju

Baca juga: Resipi Ayam Goreng Pandan yang memang ‘terangkat’ habis. Senang saja, kena cuba masak dulu, baru tahu

Cara penyediaan:

1. Didihkan air terlebih dahulu, kemudian masukkan garam ke dalam air dan rebus spageti sehingga lembut dan masak.
2. Setelah masak, tos dan ketepikannya.
3. Seterusnya, panaskan kuali dan cairkan mentega. Kemudian tumis bawang putih, cili padi merah dan daun kari sehingga naik bau.
4. Masukkan susu cair dan susu lemak berkrim ke dalam masakan, kemudian perisakan dengan serbuk pati ayam, lada sulah dan lada hitam berperisa.
5. Apabila masakan mendidih, masukkan pula kepingan keju dan kacau sehingga mencapai kepekatan yang diinginkan.
6. Siap dan tutup api dapur.

Bahan-bahan ayam popcorn

– 2 keping dada ayam (hiris halus)
– 2 sudu besar tepung goreng ayam pedas
– 3 sudu besar tepung goreng ayam asli
– 1 sudu besar tepung jagung
– 2 sudu besar tepung beras

Baca juga: Mudah disediakan, resipi ayam masak Thai ringkas pasti sekeluarga berselera

Cara penyediaan:

1. Larutkan satu sudu tepung goreng ayam pedas dengan sedikit air, kemudian perap ayam dalam adunan selama 30 minit.
2. Di dalam bekas yang berasingan, satukan baki tepung ayam pedas, asli, tepung jagung dan tepung beras. Kacau sehingga sebati.
3. Panaskan minyak, kemudian celup isi ayam ke dalam adunan tepung kering dan goreng sehingga masak.

Cara menghidang:

1. Panaskan kuali hot plate.
2. Masukkan spageti untuk seorang makan ke dalam plat panas.
3. Tuang kuah buttermilk ke atas spageti.
4. Sedia dihidang bersama ayam popcorn.

Haa… walaupun proses penyediaannya agak panjang namun ia sangat mudah untuk dimasak.

Gerenti anak-anak pasti akan menyukai pasta itu, jadi apa tunggu lagi, jom cuba!

Baca juga: Ringkas tapi enak, ayam sos tiram wajib dicuba

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.