ROTI CANAI dan nasi lemak merupakan antara sajian yang cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia.

Disebabkan dua menu itu cukup popular, seorang usahawan dari Negeri Sembilan tampil dengan kelainan yang telah membuatkan premisnya sentiasa dipenuhi pelanggan.

Kamarul Rizal Kamarudin ketika dihubungi berkata, tidak seperti orang lain, beliau mengambil pendekatan dengan membalut roti canai dengan nasi lemak. Bagi membangkitkan lagi aroma, menu itu akan disalut lagi dengan daun pisang.

Ternyata, hidangan kreatif yang dinamakan Roti Canai Wrap Nasi Lemak pantas mencuri tumpuan ramai.

Pemilik gerai Abang Terbang itu berkata, pada asalnya kulinari tersebut dibuat sekadar suka-suka demi memenuhi permintaan pengikut TikTok yang suka berkongsi idea masakan yang ‘gila-gila’.

“Bagi menyemarakkan konten, saya pun cuba buat roti canai untuk membalut nasi lemak. Kemudian, saya gandingkan pula dengan kari sardin.

“Kiranya, memang kena dengan tekak orang Melayu. Saya cakap begitu kerana pelanggan yang bertandang ke gerai saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan kebanyakannya mahu mencuba sajian itu. Sampai tak cukup kerusi dan meja,” katanya seraya tertawa besar.

Membuktikan Roti Canai Wrap Nasi Lemak laku keras, dalam masa sejam, kira-kira 100 bungkus habis terjual.

Kamarul Rizal yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan roti canai berkata, menu Roti Canai Berlauk juga diminati ramai.

“Bukan sahaja ada pelbagai jenis roti canai, malah kami turut menyediakan banyak lauk-pauk untuk dipilih mengikut selera masing-masing. Antaranya seperti rendang ayam dan daging, kari kambing, paru berlada, sambal sotong serta banyak lagi.

Selain itu, hidangan Roti Canai Biawak turut menjadi pilihan para pelanggannya.
Melihat kepada persembahan roti canai yang dibentuk seperti haiwan itu boleh membuatkan kita putus selera, namun apa kata abaikan sahaja perasaan itu.

Baca juga: Percutian atas kapal mewah Resort World Cruises, ini 8 perkara menarik yang boleh dilakukan

Ini kerana Roti Canak Biawak yang dilengkapi dengan dua set telur separuh masak sememangnya sedap. Ditambah lagi dicecah dengan kuah dal sambal atau kari sardin pekat.

Kamarul Rizal yang mendapat jolokan dengan nama Abang Terbang berkata, sejak tular di media sosial disebabkan keunikan menunya, orang ramai sudah membanjiri premis itu sejak awal pagi.

“Maaflah jika layanan dan servis agak lambat kerana permintaan yang tinggi terutamanya pada hujung minggu. Tiga orang penebar roti canai yang saya gajikan pun masih tidak cukup, tapi apa-apapun, saya akan sentiasa cuba memperbaiki mutu perniagaan saya,” katanya.

Roti Canai Wrap Nasi Lemak

Alamat: Gerai Abang Terbang, No 5, Gerai MDKP, Jalan Bahau, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Waktu operasi: 6.30 pagi hingga 12 tengah hari
Menu signatur: Roti Canai Berlauk, Roti Canai Wrap Nasi Lemak dan Roti Canai Biawak
Harga: Bermula RM1.90
hingga RM6
Facebook: Abang Terbang
Tiktok: @abangterbang

Iklan

PENDEKATAN berani Abang Terbang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan tidak sia-sia. Sekeping roti canai yang ‘ditransisikan’ membuatkan para peminat kulinari berkenaan tidak kisah beratur panjang.
Namun, bukan sahaja Abang Terbang, malah beberapa pengusaha lain turut memperkenalkan menu sama dengan cara masing-masing. Berikut antara lokasi-lokasinya:

Roti Canai Ular

Alamat: Jalan Kubur Kuda, Kampung Sirih, Kota Bharu, Kelantan
Waktu operasi:n8 pagi hingga 8 malam
Menu signatur: Roti canai ular
Harga: Bermula RM1.50

Roti Canai Pattaya

Alamat: 43, Jalan Taiping, Kuala Kangsar, Perak
Waktu operasi: 8 pagi hingga 10 malam
Menu signatur: Roti Canai Pattaya Keju Leleh
Harga: RM6
Facebook: Kedai Makan A & Z Laksa Power

Roti Canai Pelangi Kuah Ceker

Alamat: Lot 2430, Batu 3, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor, Selangor
Waktu operasi: 7 pagi hingga 12 tengah hari
Menu signatur: Roti canai pelangi perisa durian
Harga: Bermula RM1
Facebook: Roti Canai Pelang

Iklan

Roti Canai Terbang Sarang Burung

Alamat: Bersebelahan Balai Polis Pokok Sena, Pokok Sena, Kedah
Waktu operasi: 7 pagi hingga 1 petang
Menu signatur: Roti canai terbang
Harga: RM6
Facebook: Roti Canai Terbang Pokok Sena

Baca juga: Satu-satunya di Malaysia, hotel dalam jet peribadi suntik kelainan. Ini fasiliti yang disediakan

Baca juga: Mudah rupanya buat ‘mushroom seasoning’, hanya 3 bahan, menjimatkan daripada beli kedai

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi