BAGI peminat ikan bakar, penentu keenakan sajian itu tentulah terletak pada gandingan pes dan sambal atau air asamnya. Lazimnya, itulah jua yang menjadi tarikan buat pelanggan untuk terus berkunjung.

Pasti ramai yang tahu, beberapa lokasi popular juadah itu dan sering dikunjungi. Antaranya, Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy, Pak Din Ikan Bakar Tanglin dan Mat Teh Ikan Bakar di ibu kota.

Pun begitu, ada lagi destinasi makanan ikan bakar yang tidak kurang hebat seperti Tok Ma Ikan Bakar Original yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor.

tok ma ikan bakar original

Terkenal dengan keenakan sambal padu dan air asam power, boleh ‘terangkat’ dibuatnya dek resipi yang lain daripada lain. Bukan setakat set bakar, masakan panas pun ada.

Terpulang kepada pelanggan sama ada mahukan menu masakan kampung seperti masak lemak cili padi, pindang rebus atau asam rebus dengan sumber laut yang segar.

Menolak persepsi masyarakat yang sering melabelkan restoran ikan bakar semestinya ada gandingan tomyam, masak tiga rasa dan seumpamanya, pemilik Tok Ma Ikan Bakar Original, Naidatul Fariha Mat mahu lari daripada kebiasaan.

tok ma ikan bakar original

Menurut wanita berusia 36 tahun itu, idea dan konsep restorannya lebih kepada mahukan cita rasa Melayu diimplementasikan dalam setiap masakan berbanding pengaruh negara luar seperti Thailand.

Cita rasa Melayu

“Selalu orang ingat, kalau kedai ikan bakar mesti kena ada tomyam, masakan tiga rasa yang terlalu ‘biasa’. Jadi saya mahu tampilkan kelainan dengan penyediaan masakan kampung.

“Setiap set yang ditawarkan akan dimasak pada masa nyata. Kita mahu rasa segar dalam setiap hidangan selain menikmati resipi sambal dan air asam air tangan mak saya sendiri,” ujarnya.

tok ma ikan bakar original

Mengulas lanjut mengenai sentuhan unik penyediaan sambal dan air asam, Naidatul Fariha menjelaskan, sajian istimewa itu menjadi magnet ampuh untuk membuatkan pelanggan terus teringat-ingat.

“Rasanya memang padu habis. Pasti bertambah nasi jika dimakan dengan set ikan bakar yang dimasak secara segar.

“Alhamdulillah, sambutan diberikan setakat ini cukup memberangsangkan,” tuturnya kepada SinarPlus tentang Tok Ma Ikan Bakar Original yang dibuka sejak hujung tahun 2019 itu.

Tidak dinafikan, set ikan segar yang dibakar bersama pes istimewa pastinya memberi kepuasan.

Iklan

Tambahan pula jika sambal atau air asam yang digandingkan rasa lebih umph!

Banyak destinasi jalan-jalan cari makan port ikan bakar popular yang menarik di seluruh Malaysia yang boleh dipertimbangkan.

Nah! Ada tiga lagi restoran atau medan selera yang terkenal dengan keenakan set bakar-bakar yang turut menjadi carian tertinggi dalam media sosial.

Mona Ikan Bakar (Komalaut)

mona komalaut

Iklan
  • Alamat: Kompleks Makanan Laut Kuala Perlis, Perlis
  • Waktu operasi: 4 petang hingga 10.30 malam
  • Sajian signatur: Ikan siakap bakar
  • Harga: Pakej keluarga bermula RM70 sehingga RM150
  • Facebook: Citarasa Mona Ikan Bakar Komalaut

Warung Mak Njang Ikan Bakar Warisan

mak njang

  • Alamat: K161, Tanjung Dawai, Merbok, Kedah
  • Waktu operasi: 3 petang sehingga 12 malam
  • Sajian signatur: Ikan bakar berempah dan mi udang
  • Harga: Harga bergantung pasaran semasa
  • Facebook: Warung Mak Njang Ikan Bakar Warisan Tanjung Dawai

Mukmin Ikan Bakar Alai

mukmin ikan bakar

  • Alamat: Jalan Alai Perdana 8 Melaka, Alai, Melaka
  • Waktu operasi: 4.30 petang sehingga 11.30 malam
  • Sajian signatur: Ketam bakar berempah
  • Harga: Bermula RM15 sehingga RM100
  • Facebook: Mukmin Ikan Bakar Alai Crystal Bay