JIKA dihidangkan dengan nasi lemak berwarna pink bersama dengan sambal strawberi, apa reaksi kalian?

Nampak sedikit pelik, namun percayalah rasanya sangat sedap tidak terkata.

Biasanya, sajian berkenaan sangat popular di Cameron Highlands, Pahang. Terdapat beberapa restoran di sana yang menyajikan menu tersebut pada harga yang berpatutan.

Namun, pada saat cuaca yang tidak menentu, untuk ‘memanjat’ ke tanah tinggi itu memanglah tidak berbaloi.

Justeru, baru-baru ini SinarPlus mengambil inisiatif menghubungi seorang wanita, Norsalina Jalaludin yang mahir memasak Sambal Strawberi Ikan Talang Masin menggunakan olahan resipinya sendiri.

sambal strawberi ikan masin talang

Sebelum itu, ujar Norsalina, hasratnya yang tertangguh untuk menikmati kulinari itu gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan telah membuatkan beliau bersemangat bereksprimen dengan resipi itu.

“Ketika PKP, saya memang terbayang-bayang sambal strawberi yang pernah saya nikmati sebelum ini.

Baca juga Kuih seri muka muka bakar air tangan Rosni gerenti jadi, sedap dan mudah saja nak buat

“Pada suatu hari, secara kebetulan, saya menyimpan stok buah strawberi. Tak silap saya, waktu itu harganya cuma dijual RM12 sekilogram dan membuatkan saya borong strawberi dalam kuantiti yang banyak.

“Di situlah tercetusnya idea untuk merealisasikan impian saya yang mahu sangat makan sambal strawberi yang ‘dipadukan’ bersama dengan nasi lemak, timun, telur, ikan bilis, keropok, telur puyuh, ayam goreng dan lain-lain,” cerita wanita berusia 36 tahun itu kepada SinarPlus.

sambal strawberi ikan masin talang

Tidak pasti bagaimana pendekatan pihak lain, Norsalina berkata, beliau menggabungkan gula kabung dan gula perang bagi mendapatkan rasa sambal yang lebih wow!

“Tujuan dua jenis gula dicampur bersama adalah untuk menjadikan sambal lebih ‘lemak’ dan tidak terlalu manis. Rasanya berbeza jika kita bubuh gula pasir.

Baca juga Guna kordial sarsi masak kepak ayam. Rasanya sangat padu, unik. Jom cuba

Iklan

“Serat buah strawberi yang dikisar juga akan menjadikan sambal lebih pekat dan masam yang menyelerakan,” ungkapnya.

Selain itu, ujar bekas penjawat awam berkenaan, bagi memastikan sambal air tangannya tahan lama dan hilang rasa pedas yang melampau, ia perlu dimasak sehingga pecah minyak.

sambal strawberi ikan masin talang

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sebelum terlupa, Norsalina memberitahu, disebabkan sifat buah berkenaan yang mempunyai rasa masam, air asam jawa atau asam keping tidak perlu ditambah lagi.

Iklan

“Pun demikian terpulang kepada selera masing-masing, ada di antara kita memang suka yang sambal yang lebih rasa masam,” ujarnya.

Tutur Norsalina lagi, selain lazat dimakan bersama nasi lemak, sambal strawberi ikan talang masin sesuai juga dimakan nasi putih dan ulam-ulaman,” katanya.

RESIPI SAMBAL STRAWBERI IKAN TALANG MASIN

sambal strawberi ikan masin talang

Bahan-bahan

  • 3 ekor ikan talang masin yang sudah dibuang kepala, sirip, ekor (dipotong kecil)
  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan air
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 1 ketul gula kabung
  • 1 sudu besar gula perang
  • 200 gram strawberi (dikisar halus)
  • 4 sudu besar minyak masak (untuk menumis)

Cara penyediaan:

  1. Kisar halus bawang besar dan bawang putih bersama air.
  2. Kemudian tumis bersama dengan cili kisar sehingga mendidih dan pecah minyak.
  3. Masukkan ikan talang masin, gula kabung dan gula perang.
  4. Masak sehingga gula larut dan kuah pekat.
  5. Masukkan strawberi yang dikisar dan masak sehingga mendidih.
  6. Sekiranya kurang rasa masam, boleh tambah asam jawa atau asam keping.
  7. Tutup api dan sejukkan seketika sebelum dihidang.