KALAU sebut coklat, ramai menggemarinya kan? Tidak kiralah kanak-kanak, kita yang dewasa ini pun suka makan coklat.

Menurut World Cocoa Foundation, masyarakat di seluruh dunia terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat menggunakan lebih daripada 3 juta tan biji koko setahun!

Mana tidaknya, coklat bukan sahaja sedap, tetapi mampu mengurangkan stres dan menurunkan tekanan darah seseorang. Ia juga baik untuk jantung dan otak anda.

Namun, diingatkan ia merujuk kepada dark chocolate ya!

Justeru, pada minggu ini, SinarPlus nak kongsikan resipi Kek Coklat Kukus Lapis Cheese untuk anda cuba di rumah memandangkan kini ramai sedang bekerja dari rumah. Jadi, ada lebih banyak masa di dapur.

Haa, sebelum mula nak buat kek, pastikan semua bahan berada pada suhu bilik, segar dan paling penting, sila semak tarikh luput setiap barang.

Berikut ramuan dan cara penyediaan Kek Coklat Kukus Lapis Cheese untuk rujukan semua yang dipetik daripada Lesung Kitchen Page.

BAHAN-BAHAN

Iklan

BAHAN KEK KEJU

250 gram keju krim
60 gram gula halus
1 biji telur gred B
1 sudu besar air
1 sudu tepung gandum

BAHAN BAHAN KEK COKLAT

2 biji telur gred B
1 cawan gula halus
1 sudu teh esen vanilla
sedikit garam
1/2 cawan air panas didih
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan minyak jagung atau minyak masak
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar serbuk koko
1 sudu kecil baking soda
1/2 sudu serbuk penaik

Iklan

BAHAN-BAHAN COKLAT GANACHE
150 gram coklat masakan
1/4 susu cair
1 sudu besar minyak atau mentega

Cara penyediaan:
1. Pukul keju krim bersama gula sehingga sebati untuk adunan kek keju.
2. Masukkan telur diikuti air dan tepung gandum. Pukul lagi sehingga sebati.
3. Biarkan sebentar.
4. Selepas itu, untuk adunan kek coklat pula, pukul telur dan gula sehingga kembang. Setelah kembang, masukkan esen vanilla dan garam.
5. Kemudian, masukkan air panas, susu cair dan minyak masak. Kacau sebentar.
6. Setelah itu, masukkan tepung gandum, baking soda, serbuk penaik dan serbuk koko yang telah diayak. Gaul sehingga sebati dengan menggunakan sudip kayu sahaja.
7. Kemudian, biarkan sebentar dan bahagikan kepada dua adunan.
8. Selepas itu, panaskan susu dan coklat masakan menggunakan kaedah double boiler untuk menghasilkan coklat ganache.


9. Tutup api, masukkan mentega dan kacau sehingga cair. Kemudian, ketepikan.
10. Bagi proses mengukus Kek Coklat Kukus Lapis Cheese pula, panaskan kukusan menggunakan api sederhana.
11. Balut penutup kukusan dengan kain yang bersih, untuk mengelakkan air jatuh ke dalam kek.
12. Sapu mentega disekeliling loyang dan alas dengan kertas minyak atau aluminium foil.
13. Tuang separuh adunan coklat ke dalam loyang dan tutup menggunakan aluminium foil. Kukus selama 15 minit.
14. Selepas 15 minit, tuang pula adunan kek keju diatasnya dan ratakan. Kemudian, tutup semula dan kukus lagi selama 20 minit.
15. Kemudian, sekiranya sudah masak, tuang pula adunan kek coklat diatasnya dan ratakan. Kukus selama 20 minit sehingga betul-betul masak.
16. Setelah kek sejuk, tuang coklat ganache ke atas kek. Sedia untuk dihidang!

Hmmm... cara penyediaan memang nampak panjang, tetapi sebenarnya senang sahaja. Tak susah pun.

Psssttt, apa tunggu lagi? Kalau ada bahan yang tiada, pergilah singgah ke kedai kek atau pasar raya.

Ajak anak-anak sama-sama buat kek. Pasti meriah dapur tu...

Sekali lagi, terima kasih kepada Lesung Kitchen Page yang sudi berkongsi resipi yang sedap dan memang membuka selera.