MENIKMATI ketenangan panorama pesisiran pantai bersama keluarga tersayang sepanjang cuti sekolah ini memang cukup membahagiakan.

Apatah lagi jika percutian singkat itu diselitkan dengan aktiviti wajib iaitu makan.

Kepada pembaca SinarPlus, jika berkunjung ke Pantai Redang, Sekichan, Selangor, apa kata singgah sebentar ke Restoran Ikan Bakar Sekin Fisherman Village Hotel and Resort untuk mengisi perut.

SinarPlus jamin, destinasi tepi laut tersebut menjanjikan pelbagai sajian hidangan makanan laut yang segar, menarik dan halal.

Premis berkenaan bukan sahaja terkenal dengan menu signatur ikan bakar dengan resipi perapan tersendiri, ketam masak butter telur masin penuh berkrim, ikan siakap masak tiga rasa dan mentarang bakar juga menjadi sajian paling laris yang dipesan pelanggan setianya.

ikan bakarApa yang menarik lagi di sana? Pemilik restoran, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberitahu, pelbagai jenis masakan panas-panas ditawarkan kepada pengunjung dengan pakej harga berbaloi-baloi mengikut berat ikan.

“Bekalan hasil laut segar dari jeti nelayan berhampiran tidak sampai 100 meter pun dari restoran dan ini menjadi satu bonus buat kami. Pada masa sama, pelbagai jenis masakan dengan resipi turun-temurun keluarga saya pasti enak dan mengenyangkan.

ikan bakar“Selepas kenyang makan, pelanggan dipelawa menginap di bilik-bilik hotel yang tersedia di sini pada harga berpatutan,” katanya yang sudah mengusahakan restoran dan resort itu sejak 10 tahun lalu, namun ditutup pada tahun 2014 untuk seketika.

Restoran yang dibuka semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu kini lebih menarik dengan pelbagai hidangan buat mereka yang datang berkunjung bersama keluarga.

“Sebenarnya restoran ini sudah dibuka awal tahun ini tetapi disebabkan wabak Covid-19, kami terpaksa ditutup. Kini, belum sampai seminggu ia dibuka kepada pengunjung.

Iklan

ikan bakar“Jangan risau ya sebab keenakan sajian restoran kami masih sama seperti 10 tahun lalu,” katanya yang aktif mempromosikan restorannya melalui Facebook Live.

Ujar Jamal lagi, rata-rata pelanggan yang datang bertandang ke premisnya adalah mereka yang mahu bercuti di Kuala Lumpur.

“Kebanyakan mereka datang dari Langkawi, Kedah sanggup singgah ke sini sebelum bergerak ke ibu kota,” katanya penuh teruja.

Iklan

ikan bakarSebagai tambah nilai, Jamal berkata, khas untuk pengunjung yang menikmati juadah di Restoran Ikan Bakar Sekin Fisherman Village Hotel and Resort, mereka berpeluang untuk memancing di kolam ikan berhampiran dan untuk kanak-kanak, terdapat kolam mandi untuk menyuntik kegembiraan mereka.

Restoran Ikan Bakar Sekin Fisherman Village Hotel and Resort

  • Alamat: No 358, Jalan Pantai Redang, Sekinchan, Selangor
  • Menu signatur: Ikan bakar dan ketam masak butter telur masin
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 11 malam
  • Facebook: Sekin Fisherman Village Hotel & Resort
  • Instagram: sekinhotel_resort