BARANGKALI kita sudah terbiasa menikmati kuih apam tepung beras, apam gula hangus ataupun apam pisang.

Kali ini, SinarPlus akan ketengahkan resipi yang jarang diketahui ramai iaitu kuih Apam Baghdad.

Hasil pembacaan kami, kulinari yang sinonim dijadikan sebagai hidangan minum petang itu berasal dari Pekan, Pahang dan bukan dari Baghdad, Iraq!

Jika diikutkan, resipi asli kuih Apam Baghdad disajikan bersama kaya dan senarai bahan-bahan yang banyak.

Namun, hasil air tangan Norasidah Mat Sohot yang mewarisi resipi itu daripada arwah ibunya agak berbeza.

Bukan sahaja tiada sapuan kaya, ramuan yang digunakan dalam penyediaan kuih Apam Baghdad hanya menggunakan tiga bahan sahaja iaitu dua cawan tepung gandum, secawan telur dan gula pasir.

“Ya, sangat mudah. Bagi saya, orang yang tidak tahu memasak pun boleh cuba kerana cara penyediaannya memang senang sangat. Hanya perlu pukul telur dan gula sehingga gebu dan kental. Kemudian, barulah masukkan tepung gandum,” jelasnya.

Pun demikian, ujar wanita berusia 52 tahun itu, semasa memukul telur dan gula ia perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Paling penting, pastikan cawan yang digunakan untuk menyukat bahan-bahan itu betul-betul kering. Jika basah atau berair, adunan telur dan gula tidak akan menjadi seperti yang diinginkan.

“Satu lagi, jangan gelojoh ketika mengadun tepung. Pastikan masukkan ia (tepung) sedikit demi sedikit supaya bancuhan tidak terlalu pekat dan keras. Kita kena faham, apam tidak akan menjadi jika bancuhan terlalu likat,” katanya.

Apam yang dihasilkan enak dimakan begitu sahaja. Seandainya mahu disapu dengan kaya atau sebarang jem strawberi atau anggur juga tidak salah kerana ia lebih membangkitkan rasa.

RESIPI KUIH APAM BAGHDAD

Iklan

Bahan-bahan
– 1 cawan telur
– 1 cawan gula pasir
– 2 cawan tepung gandum

Cara penyediaan:
1. Pukul telur dan gula sehingga adunan betul-betul kembang, gebu dan kental.
2. Setelah bancuhan kembang masukkan tepung sedikit demi sedikit.
3. Panaskan loyang terlebih dahulu kemudian, masukkan bancuhan ke dalam loyang.
4. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak.
5. Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Baca juga: Hanya guna 1 cawan cip coklat boleh hasilkan mufin gebu

Iklan

Baca juga: Satu bungkus roti bonanza boleh hasilkan 6 bekas puding roti yang enak dan berlemak

Kredit foto: Norasidah Mat Sohot

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi