KUIH tradisional yang satu ini cukup popular di Pantai Timur. Jika pada hari biasa sering menjadi pilihan sebagai hidangan minum petang, menjelang Ramadan pemanis mulut itu juga sangat digemari.

Lazim dihidang sebagai juadah sampingan ketika berbuka puasa, menariknya, cara membuat kuih dengan bentuk seperti isi nangka versi minimalis itu juga ringkas.

Kuih butir nangka atau nama lainnya bubur biji nangka hanya menggunakan empat bahan utama iaitu tepung pulut, sedikit kapur, santan dan air.

Bagi Puteri Anis Sa‘adah Sahar Sa‘di, saat menyediakan kuih warisan itu menjentik sisi sentimental dirinya. Apatah lagi ia menjadi menu wajib tatkala berbuka puasa sementelah ibu tersayang rajin membuatnya.

butir nangka
PUTERI Anis Sa‘adah Sahar Sa‘di

“Mak saya suka sangat kuih ini. Dia selalu hidangkannya sebagai pencuci mulut semasa berbuka atau selepas kami sekeluarga selesai solat tarawih.

“Mak akan buat dalam jumlah yang banyak kerana dia suka agih-agihkan kepada kariah surau, masjid dan rumah tok. Saya ada juga tolong. Bila dah selalu tengok mak buat, saya jadi pandai sendiri sebab sudah hafal caranya,“ kongsinya kepada Sinar Plus.

Bijak memanfaatkan masa, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni kulinari yang ‘terpisah‘ dengan ibu bapanya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, mengisi masa terluangnya dengan membuat jualan kuih termasuk kuih butir nangka di Terengganu.

“Ketika kerajaan mengumumkan sekatan rentas negeri, saya berada di rumah keluarga di Bukit Payung, Kuala Terengganu, manakala ibu bapa dan adik bongsu di Kuala Lumpur.

“Walaupun tidak dapat balik buat sementara waktu, namun momen membuat kuih bersama ibu menjadi penguat diri. Saya ambil peluang jual kuih tradisional mengikut tempahan,“ ceritanya.

Pendapatan

Kemahiran yang digunakan sebaiknya oleh Anis Sa‘adah pasti membuka peluang kepada komuniti setempat menikmati menu tersebut sepanjang Ramadan.Apatah lagi tiada jualan bazar Ramadan tahun ini.

“Jadi saya buat konsep bayar ketika terima (COD) termasuk kuih lain seperti onde-onde, badak berendam, puteri mandi dan tepung bunga.

“Bergantung kepada tempahan pelanggan juga, kuih apa yang mereka nak. Setakat ini kuih biasa-biasa sahaja yang menjadi pilihan mereka,“ ungkap gadis berusia 24 tahun itu.

Apa yang pasti, genius mengolah resipi kuih tradisi dan menyediakan pelbagai hidangan pemanis mulut warisan Pantai Timur, Anis Sa‘adah mampu menolak persepsi negatif kononnya generasi muda tidak pandai membuat juadah orang dulu-dulu.

Iklan

Menimba pengalaman bermula daripada berniaga kuih tradisi di pasar malam dan COD dari rumah ke umah, beliau percaya masih ramai yang mencari dan menyukai kuih tradisional.

“Mereka mungkin lebih suka membeli berbanding membuatnya sendiri. Namun, semua itu menunjukkan kuih warisan ada peminatnya.

“Bagi saya, membuat kuih ini ibarat terapi diri kerana masa terluang dapat diisi, selain menjana pendapatan sampingan,“ katanya.

butir nangka

Iklan

Resipi kuih butir nangka

Bahan A:

  • Dua cawan tepung pulut
  • Setitik pewarna hijau dan merah
  • Secubit garam
  • Satu sudu gula
  • Segelas air
  • Satu sudu kecil kapur sirehBahan B (kuah):Satu kotak santan
  • Satu sudu kecil halba
  • 2 sudu besar gula
  • Secubit garam
  • Satu ikat daun pandan

Cara-caranya:

  1. Campurkan semua bahan-bahan A, gaul dan uli sebentar.
  2. Ambil adunan, buat bentuk bujur seperti butir-butir nangka dan rebus sehingga timbul.
  3. Untuk membuat kuah, campurkan bahan B di dalam periuk dan masak sehingga semua bahan larut.
  4. Guna api kecil bagi mengelakkan santan berketul.
  5. Matikan api selepas kuah masak dan masukkan adunan tepung ke dalam kuah dan kacau sebati. Siap untuk dihidang!