LAZIMNYA, cara pembuatan kuih nagasari mengikut resipi lama cukup mudah. Bahan-bahannya hanya menggunakan tepung beras, tepung jagung dan santan segar yang dimasak sehingga likat seperti bubur som som.

Kemudian, intinya pula diisi dengan pisang raja, nangka, emas atau berangan sebelum dikukus bersama daun pisang.

Selari dengan peredaran masa, sajian tradisional yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Jawa dan Pantai Timur itu juga boleh diubah menggunakan ramuan lain seperti jagung, cendol dan nangka mengikut selera pembikinnya.

kuih nagasari

Pun begitu, resipi yang dikongsikan Noor Elenna Abd Jalil nampaknya lari daripada kebiasaan. Adunan tepung pulut dengan isi labu yang dibungkus bersama kuah santan dan inti kelapa membuatkan kuih nagasarinya lebih lazat.

Menurut suri rumah berusia 38 tahun itu, resipi asal kulinari berkenaan dipelajari daripada ibu mertuanya dan kemudian ditransisikan oleh beliau.

Baca juga Kuih seri muka muka bakar air tangan Rosni gerenti jadi, sedap dan mudah saja nak buat

“Sejak pandai membuat kuih nagasari berintikan pisang, saya cuba mengolah dengan labu dan inti kelapa. Tidak sangka percaturan saya menjadi dan disukai ramai khususnya keluarga mertua. Rasanya seperti kuih koci labu, tetapi lebih enak kerana limpahan kuah santan,” katanya yang menetap di Subang Jaya, Selangor.

kuih nagasari

Meskipun resipi yang dikongsikan Noor Elenna nampak leceh kerana pembuatannya melibatkan tiga proses penyediaan iaitu adunan labu sebagai lapisan bawah, inti kelapa dan kuah santan untuk bahagian atas, namun sebenarnya, penyediaan sajian itu cukup mudah.

“Jika kita terbiasa dan selalu mencuba pelbagai resipi baharu, kita dapat mengagak dan arif tentang fungsi setiap tepung supaya masakan lebih enak dan boleh divariasikan lagi,” katanya yang suka memasak.

Baca juga Kuih chang versi halal yang enak dan padu air tangan Nur Basirah Chu. Wajib cuba ni

Selain itu, ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, pemilihan daun pisang sebagai pembalut kuih juga penting kerana ia akan membangkitkan aroma lebih wangi berbanding menggunakan loyang.

kuih nagasari

“Mungkin bagi sesetengah orang, mereka suka melayur daun pisang menggunakan air panas, tetapi bagi saya lebih mudah (layur) dengan api perlahan. Tidak perlu lama-lama, jika daun sudah bertukar warna, ia sudah memadai,” kata anak jati Meru, Klang itu.

Berkongsi tip supaya kuih nagasari labu berinti kelapa nampak ‘cantik’, licin dan gebu, Noor Elenna turut mengesyorkan supaya memasukkan bungkusan daun pisang ketika air mendidih dengan api sederhana.

Baca juga Unik! Kuih bentuk lesung, resipi asli kuih cecemek

“Kalau kita letak terlalu awal iaitu sebelum air mendidih, nanti adunan tepung tidak cantik. Susun kuih jangan terlalu padat dan kukus selama 15 minit sahaja,” katanya yang gemar berkongsi resipi makanan dan kuih tradisional di laman sosial.

kuih nagasari

RESIPI NAGASARI LABU INTI KELAPA

BAHAN INTI KELAPA

  • 1 biji kelapa parut (putih sahaja)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1/2 biji gula melaka
  • 1 cawan air suam/panas
  • 1 helai daun pandan (disimpul)

BAHAN KUAH SANTAN

  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 kotak santan
  • 2 cawan air
  • 1 helai daun pandan (disimpul)

BAHAN ADUNAN LABU

  • 1/2 biji labu
  • 4 cawan air (untuk kukus labu)
  • Secubit garam
  • 2 1/2 cawan tepung pulut (bergantung pada saiz labu)

Cara penyediaan:

  1. Untuk inti kelapa, cairkan gula melaka bersama air dan garam.
  2. Kemudian masukkan kelapa parut.
  3. Gaul hingga air gula kering. Matikan api dan sejukkan.
  4. Untuk kuah santan, satukan tepung gandum, garam dan santan dalam periuk.
  5. Masukkan air, kacau rata dan masak sehingga tepung pekat dan mendidih.
  6. Pastikan sentiasa kacau supaya tidak berketul-ketul dan ketepikan.
  7. Dalam periuk lain, kukus labu bersama garam dan air sehingga lembut.
  8. Toskan air kemudian lenyek sehingga hancur.
  9. Apabila labu sudah sejuk, masukkan tepung pulut dan gaul rata.
  10. Adunan memang lembik, tetapi tidak perlu keras seperti doh.
  11. Satu sudu adunan labu, inti kelapa dan kuah santan ke atas daun pisang.
  12. Kukus selama 15 minit dengan api sederhana besar. Siap untuk dihidang.

Jangan lupa follow kami di Instagram!