PISANG goreng, karipap, cekodok pisang termasuk keledek merupakan kuih-muih yang mudah dibeli di warung tepi jalan.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini terutama di Lembah Klang, ubi getuk jarang sekali dijual.

Puncanya adalah disebabkan bekalan ubi yang semakin terhad, ditambah tidak ramai pengusaha yang boleh menghasilkan kuih itu dengan baik.

Pun demikian, SinarPlus bertuah kerana menemui seorang pembikin dan penjual kulinari berkenaan, Yusnizam Mohamad, 44, yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan, Perak.

Ujar Yusnizam, bagi menyelesaikan isu kekurangan bahan mentah, beliau mengambil pendekatan menanam sendiri ubi di kebun miliknya.

Kredit foto: Yusnizam

“Saya mahu pastikan perniagaan kuih ini konsisten. Namun, baru-baru ini, kebun saya dinaiki air akibat banjir, justeru buat masa ini, saya terpaksa membeli bekalan daripada pembekal lain,” katanya yang kini giat melakukan penanaman semula pokok ubi.

Seperti yang diperkatakan ramai pihak, pembuatan ubi getuk memang sedikit rumit. Perkara itu turut diakui oleh Yusnizam.

“Dalam penyediaan ubi getuk yang enak, ubi kayu perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk, tetapi tidak boleh terlalu lembut sangat. Ini kerana kuih akan pecah jika digoreng.

“Kalau ubi yang direbus, tetapi masih keras, kuih akan menjadi tidak sedap pula,” ujarnya.
Setelah itu, ubi kayu perlu diketuk pula. Pada era dahulu, lesung batu digunakan. Seiring dengan peredaran zaman, Yusnizam menggunakan mesin pengisar untuk mengisar urat ubi dengan lebih pantas.

Kredit foto: Yusnizam

Berkenaan dengan pemilihan ubi pula, lelaki itu berkata, beliau lebih selesa mencabut ubi kayu pada waktu pagi dan akan terus menggorengnya pada sebelah petang.

“Jika kita cabut ubi kayu dua atau tiga hari awal, ubi akan masuk angin dan akan menjadi keras walaupun telah direbus,” katanya memberi tip berguna.

Sama seperti pembuat kuih yang lain, kelapa parut segar digunakan untuk menjadikan hidangan lebih autentik.

“Segar di sini bermaksud betul-betul segar, bukan yang telah disimpan di dalam peti sejuk berjam-jam lamanya,” jelasnya.

Menjadikan ubi getuk sebagai sumber pendapatan, Yusnizam lazimnya akan menyediakan 20 hingga 25 kilogram ubi kayu pada hujung minggu.

Kredit foto: Yusnizam

“Ubi getuk akan digoreng dan pelanggan boleh menikmati ketika masih panas. Apa yang saya boleh katakan, kuih yang dijual hanya RM2 untuk lima biji memang memiliki peminatnya tersendiri khususnya dalam kalangan warga emas,” katanya menutup perbualan.-NUR SUHAIMA NORDIN

Iklan

RESEPI UBI GETUK

BAHAN A

  • 500 gram ubi kayu
  • 1 cawan kelapa parut
  • 3 sudu besar gula
  • Garam
  • Air

BAHAN B

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan air sejuk
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • Garam
  • Kunyit
  • Minyak

Cara penyediaan:
1. Panaskan air di dalam periuk. Rebus ubi kayu bersama sedikit garam sehingga empuk.
2. Angkat dan toskan. Tumbuk ubi kayu dan biarkan suam sedikit.
3. Selepas itu, masukkan ubi, kelapa parut, gula ke dalam mangkuk. Uli sehingga sebati.
4. Bulat-bulatkan doh mengikut saiz yang sesuai. Ketepikan sebentar.
5. Untuk bahan menggoreng, satukan tepung beras, tepung gandum, garam dan kunyit.
6. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi bancuhan goreng yang tidak terlalu pekat atau cair.
7. Panaskan minyak, celup doh yang dibulatkan tadi ke dalam adunan tepung. Goreng sehingga kuning keemasan.
8. Siap! Boleh dicicah bersama sambal kicap atau makan begitu sahaja.

Sumber Yusnizam Mohamad

Iklan

Baca juga: Hanya guna 5 bahan untuk hasilkan Crab Rangoon disalut keju. Tak susah pun nak buat

Baca juga: Pani puri masakan tradisi India sesuai untuk kudapan petang. Ini cara penyediaan paling senang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.