Wanita ini gantikan tuhau dengan bunga kantan untuk buat serunding. Rasanya memang wow sangat!

KETIKA melancong ke Sabah, Noor Syuhadah Mustaffa jatuh cinta dengan masakan tradisi negeri itu yang dikenali sebagai tuhau.

Tuhau merupakan masakan terkenal dalam kalangan kaum Kadazan-Dusun. Ia umpama seperti halia dan lengkuas. Sesetengah orang memanggilnya sebagai upak kechalak.

Disebabkan sukar menemui tumbuhan berkenaan di Kuantan, Pahang, Noor Syuhadah terpaksa memikirkan alternatif lain.

Pun demikian, beliau teringat perbualannya bersama dengan seorang wanita di Pasar Kundasang, Sabah.

“Kata mak cik itu, kalau tiada tuhau, kita boleh gantikan dengan bunga kantan sahaja. Maka, terhasillah resipi saya yang dinamakan Serunding Bunga Kantan,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Menurut Noor Syuhada, beliau agak terkejut apabila penggunaan bunga kantan dapat menghasilkan rasa yang seakan-akan sama dengan tuhau, malah jauh lebih sedap.

“Saya juga jamu ahli keluarga saya ‘tuhau’ versi Noor Syuhada, nampaknya mereka pun suka dan setuju bahawa Serunding Bunga Kantan saya seperti rasa tuhau dari Sabah. Enak dimakan begitu sahaja atau dengan nasi,” katanya lagi.

Semenjak itu, Noor Syuhada terus menjadikan juadah tersebut sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan di rumah.

Beritahu beliau, sebenarnya bukan sekali, tetapi empat kali beliau bereksprimentasi untuk menghasilkan menu berkenaan.

Justeru, khas untuk pembaca SinarPlus, beliau berkongsi petua berguna kerana tidak mahu kesilapan sama yang dilakukannya berulang.

Baca juga: Nak diet, tapi masih nak makan makanan sedap? Kerabu Sotong Thai antara alternatif terbaik

“Pertama sekali, saya nasihatkan agar kita menggunakan pisau yang tajam untuk mendapatkan tekstur potongan bunga kantan yang halus. Jika dipotong tebal, secara tidak langsung proses menggoreng menjadi lebih lama.

“Kesannya juga akan menyebabkan serunding kita terlalu berminyak dan tidak garing,” kongsinya.

Selain itu, minyak masak yang digunakan juga perlu banyak dan kena betul-betul panas sewaktu menggoreng.

Iklan

Pemilihan bunga kantan yang sedikit tua dan banyak kelopak amat dialu-alukan.

“Ia sesuai kepada mereka yang menginginkan aroma yang kuat dan menyelerakan,” tuturnya.

RESIPI SERUNDING BUNGA KANTAN

Bahan-bahan
7 batang bunga kantan (BELI DI SINI)
1 mangkuk ikan bilis (BELI DI SINI)
1/2 mangkuk cili padi (BELI DI SINI)
Garam (BELI DI SINI)
Gula (BELI DI SINI)
Minyak (BELI DI SINI)

Iklan

Cara penyediaan:
1. Cuci bunga kantan sehingga bersih.
2. Gunakan pisau tajam, kemudian hiris halus bunga kantan dan potong kasar cili padi.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak, seterusnya goreng bunga kantan bersama cili padi sehingga garing.
4. Kemudian, goreng ikan bilis. Angkat dan toskan.
5. Biarkan sebentar sehingga kedua-duanya menjadi sejuk.
6. Setelah sejuk, campurkan bunga kantan, ikan bilis, gula dan garam. Gaul sehingga
7. sebati. Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Baca juga: Sedapnya bunga kantan goreng ringkas, sihat dengan 10 khasiat

Baca juga: Sedapnya kerabu belimbing buluh bersama bunga kantan!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi