SEBENARNYA, idea untuk berjualan mi celup hanya tertumpu kepada pelajar sekolah yang terletak tidak jauh dari rumah gadis berusia 21 tahun ini di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan.

Tetapi, tak sangka ramai pula yang datang lepak dan makan. Barangkali hanya RM1 setiap mangkuk, ramai yang tetap datang. Lagilah lepas PKPP ni, ramai yang serbu. Fuhhh!

Hanya bermula kiosk kecil di tepi rumah, perniagaan D’Bamboo Tapang Mee Celup RM1 yang diusahakan Nur Syaheera Alias sejak tiga tahun lalu semakin berkembang.

Hanya tular dalam akaun Facebook Mee Celup RM1 Kg Tapang, ramai yang tak lepaskan peluang makan dengan harga mampu milik. Memang murahlah RM1 untuk semua hidangan.

kedai rm1

Menurut Nur Syaheera, pada mulanya hanya kiosk kecil kemudiaan dipasang kain sebagai pengadang matahari dengan hanya tiga meja sahaja.

“Dulu kalau hujan, memang kena tempias dan pelanggan pun boleh ‘lari’ tapi bila dah lama, saya buat lantai dan tempat makan yang selesa, alhamdulillah semua ok.

Artikel berkaitan: Kek sarang semut berongga, banyaknya ‘lobang’…

“Daripada jual mi celup hasil resipi ibu, saya banyakkan menu seperti ABC, ais blended, keropok goreng, lokcing dan kerabu meggi dengan harga semuanya RM1,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Siapa sangka, kan? Penuntut Ijazah Sarjana Muda dalam bidang keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini sudah ada perniagaan sendiri pada usia muda.

Iklan

kedai rm1

Bila ditanya mengenai cara membahagi masa dengan perniagaan yang semakin ‘masyuk’, Nur Syaheera kata, ibu bapanya banyak menolong.

“Masa mula-mula nak berniaga mi celup ni pun ibu memang sokong. Daripada jual dekat jiran-jiran sampailah ada kedai sendiri, ibu dan ayah banyak tolong.

Iklan

“Kalau ada kelas online sebelah pagi atau petang, mereka akan tolong pantau dengan tujuh pekerja yang ada. Syukur sangat rezeki selepas PKPP ni ramai yang datang serbu,” katanya dengan nada gembira.

Wah! Hebat bukan anak Kota Bharu ni. Muda-muda dah ada kedai makan sendiri yang viral pula tu. Jadi, anak muda di luar sana jangan cepat putus asa dan kena rajin seperti Nur Syaheera ini.