KETIKA hangat diperkatakan tentang konflik segelintir artis dan warganet berhubung permohonan bantuan khas daripada kerajaan untuk penggiat seni yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Koronavirus (Covid-19), pelawak Man Raja Raja Lawak bertindak sebaliknya.

Man atau sebenarnya Abd Rahman Kasim, tampil menyuarakan hasratnya untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

Menurut pelawak tersebut, dia memperuntukkan RM50,000 daripada

wang hadiah kemenangannya pada pertandingan Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) bagi memenuhi tanggungjawabnya kemanusiaannya kepada rakyat Malaysia.

“Situasi sekarang amat terkesan kepada semua warga Malaysia termasuk saya, dari segi emosi dan kewangan.

“Saya dengan rendah hati terpanggil untuk berkongsi hadiah wang tunai hasil juara MLM2019 tempoh hari bagi meringankan beban anda untuk meneruskan kehidupan,” ujar Man menenerusi laman Instagramnya.

Iklan

Man menerusi perkongsian yang sama memberitahu, dia akan memilih mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut menerusi DM (direct message) yang dikirimkan kepadanya.

“Sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan sahaja yang akan saya layan dan sila DM dengan memberikan detail (maklumat lengkap) kenapa saya harus membantu anda sehinggalah bajet RM50,000 habis digunakan sepenuhnya,” katanya.

Iklan

Tindakan yang dilakukan oleh Man mendapat perhatian dan rata-ratanya memuji keprihatian yang ditunjukkan pelawak tersebut terhdap kesusahan orang lain.

“Semoga bantuan kecil ini dapat dimanfaatkan sebaiknya. Hanya doakan saya murah rezeki dan sihat tubuh badan,” ujar Man diumumkan sebagai juara MLM2019 bersama kumpulan Puteh hujung tahun lalu.