SELEPAS  hampir tiga bulan tidak menjalani penggambaran disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Wan Sharmila menarik nafas lega apabila dapat kembali bekerja.

Menurut Wan Sharmila, drama terbaharu lakonannya, 7 Hari Mencintaiku 2, kini disambung penggambaran bermula Rabu lalu selepas ditangguhkan kerana PKP.

Mengakui perasaannya berbaur antara gembira dan takut pada hari pertama menjalani penggambaran, anak kelahiran Johor Bahru itu cuba menyesuaikan diri dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ketika dihubungi produksi untuk kembali menjalani penggambaran, saya teruja dapat menyambung kerja yang tertangguh sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, risau tak dapat memberikan yang terbaik kerana dah hampir tiga bulan tinggalkan watak saya dalam drama tersebut dan semestinya ia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kembali mood.

“Bagaimanapun, paling banyak yang saya fikirkan adalah tentang keselamatan sepanjang berada di lokasi dan bagaimana nak bekerja dalam normal baharu serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada SinarPlus.

Berkongsi pengalamannya pada hari pertama berada di lokasi drama terbitan SR One Sdn Bhd itu, kata Wan Sharmila, semua pelakon dan kru terlibat menunjukkan kepatuhan tinggi kepada SOP yang ditetapkan.

“Ketika sampai di lokasi, semua orang akan diperiksa suhu badan dan dikehendaki memakai face mask serta hand sanitizer yang disediakan. Selepas beberapa jam, suhu badan sekali lagi diambil untuk memastikan semuanya dalam keadaan OK.

“Petugas produksi juga sering membuat pemeriksaan dari masa ke semasa untuk memastikan semua SOP dipatuhi.

“Alhamdulillah masing-masing saling bertanggungjawab untuk menjaga diri. Jadi kita dapat bekerja dalam keadaan yang selesa dan tenang,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Emil Emelda itu mengakui masih kekok untuk menyesuaikan diri.

“Memang cara kerja kita sekarang sangat berbeza dengan sebelum PKP. Kalau dulu macam-macam cara kita boleh buat untuk menjayakan sesuatu babak, tetapi sekarang ada yang tidak boleh dilakukan.

Iklan

“Ketika bekerja pun tidak boleh berkumpul ramai-ramai dalam satu masa. Misalnya kalau kru teknikal tengah buat persiapan, pelakon atau mereka yang tidak terlibat, perlu berada di ruang lain.

“Apa yang bagusnya, kita dibenarkan balik awal kerana masa penggambaran ditetapkan sehingga 10 malam sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Sharmila juga aktif berniaga rempeyek dan jamu Aura Kasih yang mula diusahakan sejak setahun lalu.

Iklan

“Sebenarnya sejak dari dulu lagi saya memang suka berniaga, tapi disebabkan sibuk berlakon, saya selalunya hanya fokus berniaga pada musim raya sahaja.

“Setiap tahun saya jual baju raya, kuih raya dan lain-lain. Cuma tahun ini tak dapat jual baju raya kerana saya tak sempat nak buat persiapan disebabkan PKP, selain sibuk di lokasi,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Wan Sharmila)