SETIAP kali diberi tanggungjawab menggalas sesuatu watak, pelakon Maya Karin sentiasa tampil dengan gaya lakonannya yang tersendiri.

Tidak hairanlah setiap filem lakonannya memberi impak yang besar kepada penonton, malah turut mendapat perhatian di beberapa majlis anugerah berprestij dalam dan luar negara yang mengiktiraf bakat lakonannya.

Terbaru, Maya atau nama sebebanrnya Maya Karin Roelcke, 41, menerima pengiktirafan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Commendation in Best Actress Category) di Ramsgate International Film & TV Festival yang berlangsung pada 11 hingga 14 Jun 2020 yang lalu.

Pengiktirafan tersebut diperolehi menerusi lakonan berkesannya untuk filem Olympic Dream yang turut tersenarai sebagai Pilihan Rasmi (Official Selection) di festival tersebut.

Mengulas tentang pengiktirafan yang diterima itu, Maya meluahkan rasa syukurnya dan mengakui tidak mengjangka langsung diberi perhatian oleh pihak juri festival tersebut.

“Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri Ramsgate International Film & TV Festival di atas pengiktirafan yang tidak saya jangkakan langsung ini.

“Mungkin apa yang saya cuba sampaikan dalam filem ini memberi impak kepada juri dan penonton.

“Sejak pertama kali menerima skrip filem ini, ianya sudah pun memberi kesan secara peribadi kepada saya,” ujar Maya.

Dalam pada itu, Maya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali berkata, biarpun filem tersebut tidak membariskan nama-nama besar, dia tertarik untuk menerima tawaran itu kerana watak yang diberikan kepadanya.

Iklan

“Saya bersetuju untuk membintanginya kerana tertarik dengan watak Makcik Fatimah yang menjadi pendorong kepada anak yatim di bawah jagaannya, mengejar impian menjadi seorang permain badminton negara dan bertanding di kejohanan Olimpik.

“Saya ingin berterima kasih kepada pengarah dan pihak produksi yang memberi peluang untuk saya berkarya dan ruang untuk saya mendalami watak ini mengikut cara saya tersendiri.

“Dengan pengiktirafan ini, saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang saya bintangi,” katanya.

Iklan

Ramsgate International Film & TV Festival merupakan sebuah festival filem yang memberi platform kepada pembikin filem bebas dari United Kongdom dan antarabangsa untuk berkongsi karya baharu kepada orang ramai dan pengedar filem.

Filem terbitan Full Billion Entertainment Sdn Bhd dan arahan oleh Don Hoe itu sebelum ini pernah merangkul anugerah Best Feature Film di Simply Indie Film Festival, Best Feature Film di Canadian Cinematography Award dan Best Family Film’ di Kinoduel International Film Festival.