BERSAMA Dr Tay Hui Sian, Pakar Geriatrik dan Perubatan Dalaman, Pantai Hospital Ayer Keroh.

Beliau diundang sebagai panel dalam program DNA bertajuk Mak Nyanyuk, Apa Anak Kena Buat? baru-baru ini.

SOALAN

Doktor, boleh jelaskan apakah sebenarnya perubatan geriatrik dan boleh doktor kongsikan keadaan yang bagaimana seseorang itu perlu berjumpa pakar geriatrik?

JAWAPAN:

PERUBATAN geriatrik lebih mengutamakan masalah penyakit pada usia tua. Ia melibatkan pencegahan, diagnosis dan  rawatan sebarang gangguan yang mempengaruhi warga emas. Mereka memerlukan rawatan dan penjagaan terbaik seiring pertambahan usia. Secara kolektif, pakar geriatrik memberi perhatian yang lebih terperinci kepada kehendak, kemampuan dan kualiti hidup pesakit. Pakar geriatrik akan merancang rawatan atau memberi cadangan untuk membantu pesakit serta keluarganya. Antara penyakit yang biasanya dihidapi warga emas ialah demensia, keradangan sendi, kerapuhan tulang, strok, parkinson, jangkitan, pengsan, pening, kemurungan dan sebagainya.

Sekiranya warga emas mempunyai masalah itu, ahli keluarga perlu membawa mereka berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.  Selain itu, tanda-tanda lain yang boleh dirujuk pakar geriatrik adalah apabila mereka mendapat kesan daripada pengambilan pelbagai jenis ubat, mengalami penurunan fungsi badan, kelemahan fizikal, penurunan dalam mobiliti, mempunyai penyakit yang berkaitan proses penuaan atau semasa dimasukkan ke hospital kerana warga emas mempunyai simptom yang berbeza serta tindak balas rawatan lebih perlahan. Seterusnya, penting untuk berjumpa pakar geriatrik apabila warga emas menjalani pembedahan kerana pakar boleh membantu mengurangkan komplikasi selepas pembedahan.

SOALAN

Berkenaan dengan penyakit demensia yang sering dikaitkan dengan warga emas, boleh doktor kongsikan definisi demensia dan bagaimana untuk membezakan demensia dengan penuaan normal? Apakah rawatan bagi pesakit dimensia?

JAWAPAN:

Iklan

Demensia adalah satu penyakit otak degeneratif yang tidak normal. Lazimnya, ia disebabkan oleh penurunan fungsi otak secara beransur-ansur, ingatan pesakit, pemahaman, bahasa, pembelajaran, pengiraan dan kemahiran pertimbangan terjejas serta keperibadian seseorang juga boleh berubah. Apabila penyakit itu berlanjutan, ia boleh memberi kesan kepada psikologi dan secara beransur-ansur akan diikuti gejala lain seperti tingkah laku agresif, halusinasi dan khayalan. Nisbah pesakit yang mengalami dimensia bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun ialah 1 daripada 14 orang, manakala nisbah 1 daripada 6 orang untuk mereka yang melebihi usia 80 tahun. Walaupun  begitu, penyakit itu tidak tergolong dalam proses penuaan semula jadi.

Menjawab persoalan perbezaan antara dimensia dan penuaan yang normal, terdapat banyak perbezaan tetapi saya akan terangkan dua perkara sahaja. Dalam penuaan yang normal, mereka mempunyai perubahan dalam hobi. Sebagai contoh, individu tidak lagi suka memasak tetapi lebih gemar aktiviti berkebun.  Namun, apabila seseorang mengalami demensia, mereka biasanya tidak akan berminat untuk membuat apa-apa perkara dan lebih suka duduk diam.

Selain itu, pesakit dimensia suka bertanya soalan yang sama berulang kali tetapi untuk penuaan normal, orang tua akan lupa sebahagian sahaja daripada perkara yang diberitahu. Sebagai contoh, mereka mungkin ingat anaknya akan balik dari Singapura tetapi lupa akan waktu dan masanya. Itulah perbezaan penuaan normal dan dimensia.

Buat masa ini , belum ada ubat khusus untuk menghentikan proses dimensia. Hanya ada ubat-ubatan khusus yang boleh menambah baik gejala dan melambatkan proses dimensia seperti memantine, donepezil, rivastigmine dan galantamine. Ada juga ubat untuk merawat vaskular demensia seperti ubat mengawal tekanan darah tinggi, kolesterol, diabetes dan cairkan darah. Kaedah lain juga boleh dilakukan dengan mengambil bahagian dalam aktiviti sosial atau sukarelawan dan aktiviti yang menggunakan akal fikiran seperti membaca, melukis, mendengar muzik dan lain-lain.

Iklan

Baca juga Usia masih muda tapi cepat lupa, 5 makanan mampu tingkatkan daya ingatan

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI