MENURUT Pakar Diet, Scoot Keatley dari Keatley Medical Nutrition Therapy, Amerika Syarikat (AS), kopi merupakan salah satu bahan yang paling banyak dikaji di muka bumi ini.

Ia bukan hanya memiliki rasa yang menakjubkan, tetapi juga menawarkan segudang manfaat.

“Secawan minuman tersebut mengandungi kira-kira 1.8 gram serat dan nutrien yang membantu seseorang berasa lebih kenyang dalam tempoh masa lama dan mengurangkan risiko kanser tertentu,“ katanya kepada Womens Health Magazine.

Sementara itu, Pakar Diet, Beth Warren berkata, kopi meningkatkan banyak fungsi otak yang berbeza, termasuk ingatan, mood, tahap tenaga dan masa tindak balas.

Untuk ulasan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Dietetik yang juga pensyarah di Jabatan Dietetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Kredit foto: Chevanon Photography

Ujar Dr Bakaratun Nisak, fakta saintifik jelas menyatakan bahawa kopi mengandungi lebih kurang 1,000 komponen yang memberi kebaikan kepada tubuh manusia.

“Banyak unsur yang terkandung di dalam kopi, tetapi ada dua jenis yang saya ingin fokuskan iaitu kafein dan fenol (bersifat antioksidan).

“Mungkin kita sering dengar kebanyakan orang atasi kelesuan dengan minum kopi untuk kembali bertenaga. Komponen tersebutlah (kafein) yang berfungsi meningkatkan kekuatan dan merangsang semula sistem saraf otak yang menyebabkan badan segera bertindak balas untuk melakukan sebarang kerja,“ katanya.

Bagaimanapun, jelas pakar berkenaan, keberkesanan unsur tersebut bersifat sementara dan tidak berpanjangan iaitu di antara dua hingga tiga jam sahaja.

“Itu sebab kebanyakan orang ketagih untuk minum kopi secara berulang kali gara-gara mahu memperoleh tenaga berlebihan,“ katanya.

Kredit foto: Chevanon Photography

Dari satu sisi lain, pakar itu menjelaskan, mana-mana individu tidak akan meraih sebarang kebaikan daripada minuman tersebut jika mengambil dos yang berlebihan.

Pengambilan paling ideal adalah di antara tiga hingga empat cawan atau bersamaan 240 miligram (mg) sehari.

Kurangkan risiko kanser

Seperti kata Keatley, kopi dapat mengurangkan risiko kanser. Bersetuju dengan kenyataan berkenaan, Dr Bakaratun Nisak berkongsi informasi lanjut.

Terlebih dulu ujarnya, punca tercetusnya kanser adalah disebabkan oleh kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).

Kata beliau, secara umum, pada setiap hari sel tubuh manusia akan berubah untuk memperbaiki sistem badan. Ada ketikanya, wujud terlalu banyak radikel bebas yang disebabkan oleh asap rokok dan secara mudah merosakkan DNA.

Kredit foto: Juan Pablo Serrano Arenas

“Akibatnya, sel-sel tidak sempat ‘dibaik pulih‘ sehingga membesar secara tidak normal, seterusnya memicu kepada penyakit kanser. Di sinilah peranan kopi. Kopi sebagaimana yang saya sebutkan tadi, bersifat antioksidan (fenol). Ia berperanan bukan sahaja mengurangkan risiko penyakit kanser kolon, tetapi juga barah hati dan uterus,“ ungkapnya.

Selain itu, kopi juga memberi respons dalam meminimumkan masalah kegagalan jantung dengan membanteras kolestrol jahat.

Fenol antara lain ujarnya, akan melancarkan proses mengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan.

Pun demikian, diet jantung yang sihat seperti menikmati buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat akan menambahkan lagi keberkesanan memelihara organ terpenting bagi manusia itu.

Kredit foto: cottonbro

Dr Bakaratun Nisak menambah, terdapat satu penyelidikan di Taiwan melibatkan responden lelaki dan wanita yang mempunyai masalah sindrom metabolik (merangkumi penyakit seperti tinggi gula di dalam darah, kardiovaskular dan perut buncit).

Penyelidik membahagikan kepada dua kelompok iaitu mereka yang minum kopi dan sebaliknya.

“Output kajian mendapati, wanita yang mengambil minuman tersebut secara konsisten dua satu hingga dua cawan sehari dapat mengurangkan isu sindrom tersebut (metabolik) sebanyak 20 peratus,“ jelasnya.

Dalam pada itu, saintis dari Pusat Penelitian Penyakit Alzheimer, Florida, AS, Gary Arendash berkata, empat atau lima cawan kopi kosong berupaya meningkatkan memori para penderita Alzheimer.

Jelas Arendash, kafein akan bertindak menyekat pengeluaran beta amyloid dan gluten yang biasanya menyumbat pada otak penghidap Alzheimer.

Kredit foto: Viktoria Alipatova

“Saintis juga menemui bahan yang dipanggil Granulocyte Colony Stimulating Factor (GCSF) yang mencetuskan pengeluaran axon (sel yang panjang, tipis dan membawa impuls menjauhi dari sel tubuh neuron) baharu atau laluan penghantaran utama sistem saraf dan membantu ‘membuat‘ saraf. Dalam kajian ini, kopi berkafein membantu meningkatkan pengeluaran GCSF.

“Setelah ‘diuji‘ ke atas penghidap Alzheimer yang kerap minum kopi berkafein setiap hari, mereka mempunyai daya ingatan yang lebih baik, begitu juga dengan mereka yang tidak menghidap masalah itu,“ katanya menerusi Jurnal Penyelidikan Penyakit Alzheimer.

Selain kelebihan itu semua, Johns Hopkins Medicine, AS menyenaraikan beberapa kelebihan kopi tidak kira untuk wanita atau lelaki:

  • Hidup lebih lama.
  • Kurang berisiko menghidap penyakit strok.
  • Badan akan memproses glukosa dengan lebih baik.
  • Kurangnya risiko menghidap penyakit Parkinson.
  • Tahap kesihatan hati menjadi lebih baik.

Uncang, arabica & robusta

Kredit foto: Toni Cuenca

Meskipun kopi bagus untuk kaum Hawa kerana ia meningkatkan hormon dopamina yang membangkitkan emosi gembira, Dr Bakaratun Nisak memberi peringatan kepada wanita hamil.

Beliau berkata, golongan itu tidak digalakkan untuk minum kopi dalam kuantiti yang banyak.

Impaknya bukan sahaja kepada mereka, tetapi kepada bayi dalam kandungan yang berisiko mengalami kecacatan dan keguguran.

Merujuk penulisan American College of Obstetricians and Gynecologists, mereka menyarankan ibu mengandung hanya minum kurang daripada 200mg sehari bersamaan dengan secawan kopi.

Pun demikian, rata-rata pakar percaya, meskipun menikmati minuman itu kurang daripada jumlah yang disyorkan selama kehamilan, ia masih boleh mengganggu pertumbuhan bayi di dalam perut.

Kredit foto: Garon Piceli

Fakta tersebut dibuktikan para penyelidik dari National Institutes of Health (NIH), AS yang menyatakan kemungkinan seseorang wanita boleh melahirkan bayi yang lebih kecil daripada saiz normal.

Jelas NIH, kafein dipercayai boleh menyebabkan saluran darah di dalam rahim dan plasenta mengecut, sekali gus boleh mengurangkan bekalan darah dan menghalang pertumbuhan janin.

“Selain itu, ia (kafein) mempunyai kapasiti mengganggu hormon tekanan janin termasuk meletakkan bayi berisiko mengalami peningkatan berat badan yang cepat selepas kelahiran, di samping masalah obesiti, jantung dan diabetes pada kemudian hari,“ kata NIH.

SinarPlus kemudian menemubual Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad.

Kredit foto: nappy

Masih berdiskusi mengenai impak kopi kepada ibu berbadan dua, Dr Zubaidi berkata, janin amat memerlukan kalsium untuk membentuk tulang.

“Jika si ibu minum begitu banyak minuman yang ada kafein, ia akan melemahkan penyerapan kalsium seterusnya mengakibatkan pembentukan tulang bayi terjejas.

“Oleh itu, kebarangkalian untuk mereka hidap masalah seperti pembentukan tulang tidak sempurna, kecacatan anggota dan bayi menjadi lemah adalah tinggi,“ katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Medical News Today berkata, kopi juga menghalang penyerapan zat besi yang menyebabkan wanita terdedah kepada risiko menghidap anemia (kekurangan sel darah merah).

Kredit foto: Pixabay

Apabila permasalahan itu berlaku, bayi turut terkena tempias yang kurang elok. Antaranya si kecil turut sama membesar dengan anemia, mengalami masalah pernafasan ketika lahir, perkembangan bayi terlalu perlahan dan barangkali sukar ibu mengelak kelahiran anak pramatang.

Adakah menambah susu ke dalam kopi adalah salah satu alternatif yang baik untuk menyerap nutrien dalam badan? Menjawab pertanyaan itu, Dr Zubaidi berkata, ia merupakan cara yang bagus.

“Namun harus diingatkan bahawa susu yang digalakkan adalah susu lembu dan bukannya susu pekat manis,“ ujarnya.

Pada akhir perbincangan, beliau berkongsi tip untuk mereka yang ingin mengurangkan ketagihan kopi. Antaranya dengan cara menukar kopi yang mengandungi kafein kepada yang bukan kafein.

“Lebihkan juga isipadu air ketika membuat kopi supaya ia tidak pekat dan saya sarankan untuk minum kopi yang tersedia di dalam uncang kerana kadar kafein rendah (50 hingga 75 peratus). Boleh juga pilih kopi jenis arabica dan robusta,“ terangnya.

Baca juga: Makanan berkeju tinggi kolesterol, boleh menyebabkan serangan jantung

Baca juga: Terlebih makan ketika Aidilfitri, ini 12 makanan bantu kurangkan kolesterol jahat dalam badan

#kisahresponden

‘HIDUP SAYA TIDAK LENGKAP TANPA SECANGKIR KOPI.’-NURHASLINA

Kredit foto: Jessica Lewis Creative

SEJAK kakak tersayang memperkenalkan minuman kopi dari sebuah kafe beberapa tahun lalu, Nurhaslina Hassan, 24, terus jatuh cinta.

Secara berseloroh beliau berkata, kopi dan dirinya ibarat sahabat baik yang tidak boleh dipisahkan.

Bukan itu sahaja, meneliti laman Instagramnya, rata-rata foto yang dimuat naik majoritinya adalah berkisarkan resipi dan menu yang berasaskan minuman berkafein itu.

Iklan

“Sebelum ini saya tidak begitu minat, namun setelah mencuba secawan air kopi, saya menjadi ketagih dengan rasa dan aromanya.

“Saya akui, setiap kali saya berasa sedih dan kecewa, saya memerlukan kopi untuk saya menenangkan diri. Namun, saya tidak ambil dalam kuantiti yang banyak, cukup sekadar satu cawan kecil,“ katanya.

Ketika sedang melanjutkan pengajian di kampus, Nurhaslina merupakan seorang mahasiswi yang aktif dalam badan beruniform. Justeru, banyak tenaga yang diperlukan bagi memastikan kekuatan fizikal dan mentalnya dapat dikekalkan.

“Masa menjadi pelajar kampus, saya akan pastikan minum kopi tanpa gula dan susu pada waktu pagi dan malam. Mudah kata, hidup saya tidak lengkap tanpa secangkir kopi,“ katanya.

Kredit foto: Acharaporn Kamornboonyarush

Kepada SinarPlus, gadis manis itu berkata, tidak seperti kebanyakan orang, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk tidur sekiranya meneguk minuman itu pada waktu malam.

“Saya menganggap ia satu kelebihan yang ada pada saya walaupun rakan-rakan pelik melihat saya masih boleh lena dengan baik. Kalau mereka minum kopi pada waktu malam, tak tidurlah jawabnya,“ ujar beliau sambil tertawa.

Apabila sudah menjengah dunia pekerjaan, Nurhaslina berkata, rutin hariannya berubah selari dengan durasi masanya bertugas.

“Setelah melakukan banyak rujukan dan berfikir semula, kesihatan diri harus diutamakan, berbanding dengan kemahuan. Saya memutuskan untuk mengurangkan pengambilan kopi kepada dua kali seminggu.

“Selain (kesihatan), sebab lain adalah kewangan. Setelah hidup berdikari dan berseorangan di bandar, saya akui banyak hal-hal lain yang perlu diberi perhatian selain kopi,“ akuinya.

Baca juga:  Darah tinggi ketika kehamilan boleh menyebabkan sawan, ini pentingnya ubat cair darah

Baca juga: Ketahui 3 minuman yang mampu ‘meroket’ kadar kolesterol dalam badan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan