MAJORITI daripada kita pasti suka minum air kopi. Tidak kira siang atau malam, minuman itu pasti akan dihidangkan khas untuk ahli keluarga.

Namun, kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa kopi sebenarnya tidak sesuai untuk disajikan untuk kanak-kanak.

Menurut Hello Doktor, kopi yang mengandungi kafein merupakan minuman terlarang di kebanyakan negara kerana boleh menyebabkan kanak-kanak lebih aktif dan pelbagai kesan negatif lain.

Mengulas lanjut mengenainya, SinarPlus merujuk perkongsian Pegawai Perubatan, Hospital Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari yang berkongsi beberapa risiko yang boleh dialami kanak-kanak.

Antaranya seperti:

– Insomnia

– Sakit kepala

– Pertumbuhan tulang si kecil terbantut.

– Susah nak fokus ketika belajar.

– Boleh sebabkan kaviti.

– Penyebab hiperaktif.

– Kanak-kanak hilang selera makan.

– Boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.

Selain kopi, Dr Ahmad Luqman berkata, selain kopi, coklat atau gula-gula yang mengandungi kafein yang tinggi dan sebaik-baiknya dielakkan.

CARA KAWAL

Hello Doktor menyatakan, kopi bersifat diuretik iaitu mempercepatkan proses urinasi. Peningkatan itu menyebabkan kalsium hilang dari badan seterusnya menjadi penyebab kemerosotan tulang.

“Kafein yang tinggi akan menghilangkan kalsium dari badan iaitu setiap 100 miligram kafein yang dicernakan boleh menghilangkan sebanyak 6 miligram (mg) kalsium pada kanak-kanak,” katanya.

Walaupun tidak terdapat larangan, ibu bapa perlu berhati-hati dan mengawal jumlah pengambilan kopi anak-anak.

Iklan

Bagi individu dewasa, pengambilan kopi dihadkan kepada 200 ke 300 mg sahaja, tetapi untuk kanak-kanak separuh daripada jumlah yang diambil orang dewasa sudah mencukupi.

National Institute of Health, Amerika Syarikat juga berpendapat, kafein perlu dihadkan sepenuhnya dalam diet anak kecil kerana tiada keperluan nutrisi untuk mereka.

Sehubungan itu, bagaimana caranya ibu bapa mengawal jumlah pengambilan kafein anak-anak? Berikut yang disenaraikan oleh laman web health.usnews.com:

i. Ibu bapa perlu mengetahui sumber makanan yang mengandungi kafein dan mengira jumlah penggunaannya untuk memastikan keselamatan anak-anak.

ii. Elak menawarkan kanak-kanak makanan yang mengandungi kafein.

Iklan

iii. Perlu katakan ‘tidak’ kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun.

Walaupun pengambilan kafein yang sedikit tidak berbahaya, tetapi boleh menyebabkan keinginan lebih besar dan membawa kepada masalah kesihatan.

iv. Bagi kanak-kanak dewasa, ibu bapa perlu memberi bimbingan dan pendidikan tentang kesan buruk kafein yang terdapat dalam makanan dan minuman.

v. Elakkan penggunaan minuman tenaga dan pil kafein kepada kanak-kanak.

Sudah tahu betapa tidak bagusnya kafein untuk kanak-kanak? Justeru, ibu bapa perlu lebih cakna.

Banyak lagi minuman yang boleh diberikan kepada kanak-kanak. Antaranya seperti jus buah-buahan atau air putih.