BUKAN semua wanita, tetapi ada sesetengahnya yang begitu taasub untuk mencantikkan diri sehingga mendatangkan kemudaratan kepada tubuh.

Mana tidaknya, sejak kebelakangan ini, pelbagai rawatan pintas telah diperkenalkan dan dengan pantasnya menarik perhatian kaum Hawa.

Paling terkini ialah breast filler yang kononnya dikatakan bertindak boleh menganjalkan kembali payudara.

Item tersebut dikatakan telah dijual secara berleluasan secara dalam talian. Ini bermakna, sesiapa pun boleh membelinya sesuka hati tanpa batasan.

Namun, apa yang mengejutkan, prosedur menggunakan breast filler seharusnya dijalankan oleh mereka yang pakar, tetapi ada yang terlampau berani dengan melakukannya sendiri!

Isu berkenaan menarik perhatian Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Ahmad Zakimi Abdullah atau dikenali sebagai Dr Zek.

Menerusi laman Twitter miliknya, beliau berkongsi cerita mengenai dua orang wanita diserang sawan gara-gara set berkenaan (breast filler).

Menurut Dr Zek, wanita pertama yang diserang sawan telah menerima dua suntikan valium. Pun begitu, tiada tanda-tanda menunjukkan serangan berkenaan akan reda.

“Disebabkan pesakit telah mengalami sawan terlalu lama, dia memerlukan intubasi. Usai sahaja proses itu, keadaannya kembali pesakit kembali stabil,” ujarnya

Baca juga: Hati-hati beli ubat jerawat online, ini jenis dan kesan sampingan

KERACUNAN

Kekalutan berdepan dengan pesakit sawan tidak terhenti di situ, selang beberapa minit, Dr Zek menerima seorang lagi pesakit dengan simptom sama.

“Saya dimaklumkan, kedua-dua pesakit itu mengenali antara satu sama lain dan lebih mengejutkan mereka diserang kekejangan di rumah pesakit pertama.

“Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya sehingga kami terpaksa bertanya kepada suami pesakit tentang apa yang mereka lakukan sehingga tercetusnya masalah itu,” katanya.

Sungguh mengejutkan apabila si suami memaklumkan kepada doktor bahawa kedua-dua mangsa mulai sawan apabila mengambil suntikan breast filler.

“Saya mintak suami pesakit untuk tunjukkan gambar suntikan berkenaan dan di situ ada empat picagari yang tertera hyaluronic acid gel dan empat lagi vial terkandung 2 peratus lignocaine,” terangnya.

Iklan

Mengikut cerita yang disampaikan lelaki tersebut, isterinya mengadu kebas pada bahagian lidah dan bibir.

Selang beberapa minit, kawannya telah menyuntik payudara sebelah kanan mangsa pula.

Setelah suntikan diberikan, mangsa memberitahu bahawa beliau pening dan berdebar-debar.

Dr Zek memaklumkan punca berlakunya kejadian yang tidak diingini itu adalah kerana pesakit terlebih dos lignocaine sehingga mengakibatkan keracunan.

“Saya tidak pasti bagaimana cara mereka melakukan suntikan. Ia sepatutnya dilakukan oleh doktor yang terlatih kerana prosedur itu sangat berbahaya,” katanya.

Iklan

Pada akhir perkongsian, pakar perubatan itu menasihatkan orang ramai supaya menjadikan kisah berkenaan sebagai pengajaran berguna.

“Nak cantik boleh, tapi dapatkan rawatan daripada doktor terlatih dan jangan sampai membinasakan diri sendiri,” ujarnya.

Baca juga: Kencing manis: Ibu hamil kena lebih hati-hati elak air ketuban berlebihan

Baca juga: Ubat hilangkan jerawat tak boleh diambil semberono demi elak dapat bayi cacat

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan