Oleh SITI FARAH ELIANI SOLLEH

NORAFIZAH MUSA, 43, berdepan dengan satu masalah yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

Kepada SinarPlus, ibu kepada sepasang anak kembar itu berkata, beliau gagal dalam percubaan memisahkan tempat tidur kedua-dua cahaya matanya meskipun mereka sudah berusia 11 tahun.

“Amirah dan Amir beri alasan mereka takut berjauhan dengan kami. Mereka juga merengek kerana takut gelap, selalu mengadu dengar bunyi menyeramkan dari tingkat atas rumah dan macam-macam lagi alasan yang kadangkala tak logik.

“Walau pelbagai usaha dilakukan termasuk mengosongkan bilik berdekatan untuk dijadikan kamar mereka, kedua-duanya tetap berdegil. Suami pula tak tahu nak cakap apa dah,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada masa sama, wanita itu yang juga seorang arkitek mengakui, mereka sebagai ibu bapa juga sudah melakukan kesilapan yang besar.

“Kalau mahu diikutkan, seawal usia lima tahun kami perlu ajar dan pindahkan mereka. Dalam Islam pun, kita wajib memisahkan tempat tidur anak ketika mereka berumur 10 tahun, malah Amirah dan Amir juga perlu mempunyai bilik masing-masing kerana berlainan jantina,“ katanya.

Dilema Norafizah itu sebenarnya dihadapi oleh banyak keluarga. Namun, jika isu itu tidak diselesaikan dengan cepat, dikhuatiri akan memberi dampak buruk.

Menurut Journal of Affective Disorders, kajian ke atas 3,583 anak kecil di Brazil yang masih tidur bersama ibu bapa mendapati, golongan itu boleh mempunyai masalah kesihatan mental yang tinggi.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, SinarPlus mendapatkan seorang penulis buku keibubapaan, Wan Nur Syakira Wan Musa.

Ujar Wan Nur Syakira, tindakan itu perlu disegerakan disebabkan oleh beberapa faktor dominan. Antaranya:

  • Terlalu banyak kes pornografi, ketagihan seks, sumbang mahram dan rogol berlaku disebabkan tempat tidur ibu bapa dan anak-anak tidak diasingkan.
  • Bagi menjaga pandangan anak dan menjaga aurat ibu bapa dengan mereka.
  • Besar kemungkinan anak melihat setiap gerak-geri yang berlaku di antara kedua-dua ibu bapa mereka di dalam bilik.
  • Mengajar anak tentang konsep privasi, rasa malu dan had antara ibu bapa dan anak-anak.
  • Menjaga keharmonian dan maruah setiap ahli keluarga.

Pada masa sama, Wan Nur Syakira berkata, agama suci ini turut memberi peringatan dan panduan mengenai isu tersebut.

Dalam Hadis Riwayat al-Hakim dan Abu Daud menyatakan: “Perintahkan anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.“

Memisahkan tempat tidur juga adalah satu didikan ibu bapa kepada anak-anak dalam menjaga batas aurat dan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat, walaupun sesama adik beradik, ujarnya.

Baca juga: Petua berkesan untuk hilangkan migrain

Cara memujuk

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol berkata, terdapat sesetengah ibu bapa dilihat masih belum bersedia atau tidak sampai hati ingin untuk menjarakkan diri dengan zuriat masing-masing.

Pun demikian, Dr Redza berkata, masalah tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan ibu bapa mula bercerita dengan anak mereka seawal usia dua tahun lagi tentang keperluan memiliki bilik sendiri.

“Selepas itu, pada umur anak tiga hingga empat tahun, mereka sudah bersiap sedia memisahkan tempat tidur.

“Caranya mungkin boleh dimulakan dengan masih berada di dalam bilik yang sama, tetapi menggunakan ruang dan tilam yang berbeza,“ saran pegawai perubatan itu.

Selepas berjaya melangkaui fasa berkenaan, mak ayah bercerita pula mengenai rasa malu, aurat dan kepentingan privasi.

Sebaik-baiknya, ketika si kecil mencecah umur enam tahun, mereka sudah boleh tidur di kamar sendiri.

Iklan

Baca juga: Salah makan ubat, kurang minum air, stres, kafein punca migrain. Ini cara paling ampuh atasinya

“Jika masih gagal juga, sediakan ruangan khas untuk mereka mengambil dan menukar baju,“ katanya.

Pun demikian, terdapat satu alternatif lagi untuk memujuk anak-anak menghuni bilik masing-masing.

Caranya, ibu bapa cuba menggunakan kesempatan dengan menghiasi ruangan peribadi mereka dengan dekorasi yang diminati termasuk mengecat rona warna kegemaran di dinding.

“Sebagai contoh, anak lelaki biasanya cenderung memilih tema superhero, manakala tema puteri atau kartun seperti Hello Kitty, Frozen dan Omar & Hana untuk anak perempuan,“ ungkap Dr Redza.

Bagaimana pula kalau ruangan di dalam kediaman terbatas?

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi panduan berguna.
Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan, manakala anak lelaki diasingkan di ruang lain seperti ruang tamu.

Iklan

“Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang mafsadah (kerosakan atau kebinasaan) pada masa akan datang,“ kata mereka.

Idea yang sama turut diusulkan oleh seorang pegawai perubatan antarabangsa, Dr Boyke Dian Nugraha.

“Bina ruang alternatif di rumah. Caranya mungkin dengan menyekat kamar atau ruangan lain di rumah dengan rak atau perabot berukuran besar. Selain itu, sediakan tempat penyimpanan khusus bagi setiap anak untuk menyimpan barang-barang mereka sendiri,“ katanya.

Baca: Tiba-tiba rasa pening sampai susah nak buat kerja, pengamal perubatan ini terangkan punca dan akibat

Baca juga: Kanak-kanak pun ada migrain? Ini 7 cara paling baik bantu si kecil atasi penyakit ini

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan