ANEMIA dan leukemia sering dianggap sebagai penyakit yang sama. Walaupun kedua-duanya berkaitan dengan darah, dari segi perubatan, ia sememangnya jauh berbeza.

Menurut MyHealth, anemia merujuk kondisi tubuh badan seseorang yang mengalami kekurangan sel darah merah. Ia disebabkan oleh defisit sesuatu unsur di dalam darah.

Sementara itu, leukemia pula merupakan sejenis kanser sel darah putih yang berpunca daripada lebihan sel darah merah di dalam sum-sum tulang.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Center for Disease Control and Prevention, sebanyak 3 juta warga Amerika Syarikat (AS) menderita anemia.

Di Malaysia pula, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati, satu daripada lima atau 21.9 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kepekatan hemoglobin (Hgb) rendah dalam sel darah merah.

Tiga daripada 10 wanita dalam golongan umur reproduktif iaitu 15 hingga 49 tahun menghidap anemia. Sebanyak 16 peratus berada pada tahap ringan, manakala 13 peratus (tahap sederhana) dan hanya 1 peratus berada dalam kondisi berbahaya.

Baca juga: Jauhi makanan proses, ibu mengandung tak boleh tinggal buah

Tinjauan sama juga menunjukkan sebanyak 39.8 peratus wanita India yang paling ramai mendominasi krisis kesihatan tersebut.

SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Hematologi Beacon Hospital dan Thomson Hospital, Dr Tengku Ahmad Hidayat Tengku K Aziz untuk mengulas lanjut tentang anemia.

Membuka mukadimah, Dr Tengku Ahmad Hidayat menjelaskan, sel darah merah normal dalam tubuh wanita adalah dalam lingkungan 11 hingga 16Hgb, manakala bagi lelaki 12 hingga 17Hgb.

Jika kurang daripada itu, mereka boleh menderita penyakit ditakuti ramai itu.

Menurut laman web perubatan WebMD, terdapat lebih daripada 400 jenis anemia dan ia dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu:

  • Anemia yang disebabkan oleh kehilangan darah.
  • Disebabkan oleh pengeluaran sel darah merah yang berkurangan atau rosak.
  • Anemia yang disebabkan oleh pemusnahan sel darah merah.

Pendarahan

Baca juga: [VIDEO] Anak keempat baru setahun tapi dah mengandung 9 bulan, wanita Indonesia ini tak makan pil perancang, ini risiko hamil ‘dekat-dekat’

Pada segmen Medik kali ini, Dr Tengku Ahmad Hidayat akan mengulas empat jenis anemia iaitu iron defeciency anemia (IDA), pernicious anemia (PA), aplastic anemia (AA) dan hemo-lytic anemia (HA).

Mengenai IDA, ia merupakan satu keadaan sel darah merah yang kekurangan nutrien iaitu zat besi.

“Dalam sel darah merah pentingnya ada zat besi kerana ia berfungsi untuk membentuk hemoglobin. Keadaan itu mungkin disebabkan oleh dua situasi iaitu individu kehilangan zat besi atau kurang mengambil makanan yang mengandungi zat itu,“ katanya.

Sementara anemia jenis PA merujuk mereka yang kurang nutrisi vitamin B12.

“Kebiasaannya, anemia jenis ini terjadi kepada mereka yang vegetarian (vitamin banyak dalam daging). Kemungkinan kedua, ia mempunyai kaitan dengan masalah imun sistem yang menghalang penyerapan nutrien,“ jelasnya.

Anemia jenis AA pula, kata Dr Tengku Ahmad Hidayat berlaku apabila sum-sum tulang yang gagal menghasilkan darah merah.

“Pengambilan ubat-ubatan dan produk kecantikan yang tidak berlesen telah merosakkan fungsi sum-sum tulang. Selain itu, ia boleh terjadi berpunca daripada sistem imun yang menyerang sum-sum tulang itu sendiri,“ terangnya.

Perbincangan diteruskan dengan penerangan mengenai anemia jenis HA. HA adalah satu keadaan sel darah merah yang tidak dapat terbentuk dengan sempurna dan menyebabkan ia pecah.

Daripada keempat-empat jenis anemia, yang mana satu lebih mendatangkan risiko besar?

“Jawapannya ialah jenis AA. AA akan menyebabkan tubuh cepat penat, seseorang akan mudah dijangkiti kuman kerana sel darah putih rendah. Kadangkala, tanpa semena-mena, boleh berlaku pendarahan secara tiba-tiba. Ia dikatakan berbahaya kerana rawatannya memerlukan pembedahan sum-sum tulang,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Tengku Ahmad Hidayat menjelaskan, bukan semua jenis anemia berlaku disebabkan keturunan.

“Hanya talasemia yang tergolong dalam HA sahaja berlaku kerana genetik. Maka, sebaik-baiknya bakal pengantin disarankan membuat pemeriksaan kesihatan kerana kondisi mereka itu boleh diwariskan kepada generasi seterusnya,“ ujarnya.

Simptom tidak jelas

SinarPlus kemudian mewawancara Pakar Perunding Hematologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Nur Adila Anuar.

Bersama Dr Adila, persoalan tentang implikasi yang boleh dihadapi oleh ibu mengandung yang menderita anemia diajukan.

Ujar beliau, pada kebiasaannya, wanita hamil yang menghidap anemia akan mengalami kekurangan daya tahan melawan jangkitan dan risiko kegagalan jantung yang meningkat. Terdapat juga keberangkalian, nyawa si ibu boleh melayang.

“Sepanjang kehamilan, ibu dalam kelompok ini akan sentiasa penat, lesu dan paling bahaya selepas bersalin. Ini kerana mereka sukar untuk melawan pendarahan,“ katanya.

Bukan itu sahaja, bayi yang dikandung turut terkena tempias. Si kecil boleh mengalami masalah kekurangan oksigen, pertumbuhan terganggu, kelahiran pramatang, saiz tubuh kecil, selain berisiko mengalami anemia seperti emaknya.

Sukar untuk dinyatakan, tetapi hakikatnya bayi juga boleh meninggal dunia.

Dalam pada itu, MayoClinic menerusi penulisannya mencadangkan beberapa pendekatan untuk merawat ibu hamil dengan anemia.

Ujar laman web itu, bagi sesetengah kes, para ibu disaran berjumpa dengan pakar hematologi untuk berbincang mengenai punca mereka kekurangan zat besi.

“Pakar biasanya akan mengesyorkan zat besi tambahan. Jika mereka mempunyai sejarah pintasan gastrik atau pembedahan usus kecil atau tidak dapat ‘bertolak ansur‘ dengan suplemen zat besi (yang dimakan secara oral), mereka mungkin perlu memasukkan besi melalui jarum yang dimasukkan ke dalam salah satu urat (pemberian intravena),“ tulis portal itu.

Selain itu, sumber pemakanan seperti daging merah tanpa lemak, ayam dan ikan termasuk bijirin sarapan yang diperkaya dengan zat besi, sayur-sayuran berdaun hijau gelap, kacang kering dan kacang polong sangat dianjurkan.

Namun, satu perkata yang perlu diingatkan, petanda awal anemia tidaklah terlalu ketara sehingga terdapat individu yang menyifatkan diri mereka sihat pada awalnya.

Menerangkan situasi itu dengan lebih lanjut, Dr Nur Adila berkata, simptom yang biasanya dirasai adalah seperti pening kepala, rasa badan lemah termasuk kulit, gusi dan kelopak mata kelihatan pucat.

“Sesetengahnya (dalam kondisi yang serius) mereka akan berdepan dengan masalah jantung berdegup laju sehingga boleh menyebabkan kesukaran bernafas, sakit dada dan akhirnya berlaku kegagalan jantung,“ katanya.

Beritahu Dr Adila lagi, individu yang didiagnosis dengan IDA akan mengalami sindrom yang dinamakan sebagai Restless Leg iaitu keinginan menggoyangkan kaki.

“Bukan itu saja, ada juga yang berkeinginan menghisap ais, tanah dan kertas,“ jelasnya.
Seperkara, terdapat pantang larang yang perlu dielakkan oleh penghidap anemia demi mengelak kemudaratan.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad yang ditemu bual baru-baru ini berkata, golongan itu disaran untuk tidak minum kopi.

“Minuman berkafein akan menghalang penyerapan vitamin, asid folik dan zink. Bukan tak boleh minum langsung, tetapi kena kawal pengambilan minuman itu,“ katanya.

Nasihat beliau, setiap pesakit diminta untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala untuk memastikan sel darah merah berada pada tahap normal.

Pun demikian, sesetengah jenis anemia boleh dicegah, kata National Women‘s Health Information Center, AS. Terdapat beberapa cadangan yang dikemukakan untuk mencegah krisis kesihatan berkenaan. Antaranya:

Baca juga: Sukar hamil, tulang reput, ini bahaya kopi untuk wanita

  • Makan banyak makanan kaya zat besi seperti tauhu, sayur-sayuran hijau dan berdaun.
  • Daging merah tanpa lemak, lentil, kekacang dan bijirin dan roti yang diperkaya dengan zat besi juga bagus untuk tubuh badan.
  • Makan dan minum makanan dan minuman yang kaya dengan vitamin C.
  • Elakkan minum teh atau kopi semasa menikmati makanan kerana kerana ia boleh menjejaskan penyerapan zat besi.
  • Dapatkan vitamin B12 dan asid folik yang mencukupi dalam diet.

 

‘Kesakitan suntikan unsur besi memakan masa bertahun-tahun untuk hilang’

SEORANG pelajar universiti di Lembah Klang yang mahu dikenali sebagai Nur Anna, 24, berkata, beliau merupakan salah seorang pesakit anemia yang didiagnosis pada tahap sederhana.

Sebagai seorang ‘pejuang‘ dalam meningkatkan tahap hemoglobin (Hgb), anak muda itu berkata, masalah tersebut berlaku sejak beliau berada di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya selalu penat dan kadang-kadang sampai pengsan ketika perhimpunan sekolah. Namun, saya dimomokkan kononnya saya jadi seperti itu gara-gara tak makan sarapan pagi,“ katanya.

Tanpa disangka-sangka, kondisi Nur Anna menjadi semakin serius apabila memasuki usia belasan tahun.

Kekerapanya pengsan semakin menjadi-jadi dan ketika itulah Nur Anna nekad untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya dimaklumkan doktor bahawa saya kekurangan darah merah dan waktu itu Hgb saya sekitar 9 saja,“ katanya.

Sejak itu, rutin hariannya berubah. Pun demikian, pernah sekali Nur Anna memberanikan diri menyertai aktiviti mendaki gunung bersama rakan-rakan.

Namun, setiap 10 langkah, beliau terpaksa berehat. Hal itu telah menjejaskan momentum pendakiannya sehingga menganggu para peserta lain yang terpaksa menunggu lama.

Mengenai rawatan, selain pengambilan ubat-ubatan, remaja tersebut pernah menerima suntikan iron infusion dan transfusi darah.

“Selepas setahun pemindahan darah dilakukan, saya buat pemeriksaan di hospital, Hgb saya kembali menurun dan saat itu doktor membuat keputusan untuk lakukan prosedur iron infusion.

“Suntikan memasukkan unsur besi itu akan saya ingat sampai bila-bila kerana kesakitannya memakan masa bertahun-tahun untuk hilang,“ cerita gadis manis itu.

Sebagai tambahan, Nur Anna turut disyorkan mengambil suplemen tambahan.

“Mengikut perkiraan, sudah 10 tahun saya didiagnosis dengan anemia, tetapi Hgb saya pernah beberapa kali sahaja berada atas 10. Baru-baru ini, bacaan sel darah merah cuma 8.8 Hgb,“ katanya.

Baca juga: Rasa kosong petanda masalah mental, pakar perjelas situasi itu dan cara terbaik atasinya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.