KESEDIHAN kita terhadap satu lagi kehilangan permata negara, Adibah Noor Mohamed Omar yang meninggal dunia pada usia 52 tahun masih lagi belum reda.

Penyanyi Terlalu Istimewa itu diberitakan pergi buat selama-lamanya akibat kanser ovari tahap empat yang dideritai sekian lama tanpa pengetahuan umum termasuk ahli keluarga yang hanya mengetahuinya pada saat-saat akhir.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang penyakit arwah, SinarPlus merujuk beberapa penulisan antarabangsa.

Menurut American Cancer Society, kanser ovari menduduki tempat kelima kematian dalam kalangan wanita dan ia menyumbang lebih banyak kematian berbanding kanser lain pada sistem pembiakan wanita.

Malah, risiko seorang wanita mendapat kanser ovari semasa hayatnya adalah kira-kira satu dalam 78 orang.

Di Malaysia, Malaysian Study on Cancer Survival yang diterbitkan pada tahun 2018 berkata, terdapat 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 iaitu kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

Berdasarkan analisis laporan mengikut etnik menunjukkan, kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti kaum Melayu dan India.

Baca juga Pesakit kanser miliki 40 peratus lebih tinggi hidap penyakit ini, kena berwaspada

Meskipun statistik menunjukkan kanser ovari bukan berada di tangga teratas, namun sebagai kaum wanita, kita wajib mempunyai kesedaran terhadap penyakit berkenaan.

Sementara itu, menurut Cancer Research United Kingdom, kanser ovari terjadi apabila sel abnormal dalam ovari membesar dan terbahagi dengan cara yang tidak terkawal.

Akibatnya, ia akan membentuk ketumbuhan (tumor) dan sel-sel kanser itu boleh merebak ke bahagian lain di dalam badan jika lambat dicegah.

Pelbagai jenis kanser ovari dan semuanya bergantung kepada kawasan awal sel tumbuh. Antaranya ialah:

i) Kanser ovari epitelium

ii) Kanser peritoneal primer

iii) Kanser tiub

iv) Kanser sel kuman (teratoma dan disgerminoma)

v) Tumor stroma (tumor granulosa)

vi) Tumor sarkoma

Kongsi Cancer Research United Kingdom lagi, seseorang wanita yang berusia 75 ke atas lebih cenderung mendapat kanser ovari.

Ini bermakna, semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin tinggi risiko mendapat penyakit yang ditakuti ramai itu.

PELBAGAI JENIS RAWATAN

Bagaimana untuk mengesan gejala kanser ovari? SinarPlus merujuk portal Mayo Clinic. Antara yang perlu seseorang wanita beri perhatian adalah apabila terjadi hal-hal seperti berikut:

Kredit foto ISTOCK

i) Perut kembung atau bengkak dan cepat rasa kenyang apabila makan.
ii) Kurang berat badan dan cepat letih.
iii) Tidak selesa pada kawasan pelvis dan kerap buang air kecil.
iv) Sakit belakang dan perubahan dalam tabiat buang air besar.

Dari segi rawatan, lazimnya ia melibatkan gabungan pembedahan dan kemoterapi.

Iklan

Baca juga Kanser organ faraj: Rawatan pembedahan ragut peluang untuk dapat zuriat?

Pun begitu, ada juga rawatan lain yang digunakan dalam situasi tertentu, kata Mayo Clinic.

Rawatan-rawatan lain adalah seperti:

i. Pembedahan
– Pembedahan akan dilakukan sama ada membuang satu ovari atau kedua-duanya, pembedahan membuang kedua-dua ovari dan rahim atau sekiranya sudah merebak atau pembedahan akan dilakukan dengan membuang seberapa banyak sel kanser yang boleh.

ii) Kemoterapi
– Kebiasaannya, kemoterapi akan dilakukan selepas pembedahan untuk membunuh kanser-kanser yang masih ada.
– Pun begitu, ia juga boleh dilakukan sebelum pembedahan.

Kredit foto Mount Miriam Cancer Hospital

iii) Terapi yang disasarkan
– Rawatan ubat ini lebih menfokuskan kepada kelemahan dalam sel kanser.
– Ubat-ubatan itu berupaya menyebabkan sel kanser mati.

iv) Terapi hormon
– Terapi hormon ialah ubat untuk menyekat kesan hormon estrogen pada sel ovari kerana ada sesetengah sel kanser membesar apabila terdapat hormon estrogen.
– Jadi, ubat itu akan menghalang estrogen sekali gus membantu mengawal kanser.

Iklan

v) Imunoterapi
– Terapi berkenaan menggunakan sistem imun untuk melawan kanser.
-Sistem imun badan yang melawan penyakit mungkin tidak menyerang sel kanser kerana ia menghasilkan protein yang membantu mereka (sel kanser) bersembunyi daripada sel sistem imun.
– Imunoterapi berfungsi untuk mengganggu proses itu.

vi) Penjagaan sokongan (paliatif)
– Ia merupakan penjagaan perubatan khusus yang memberi kelegaan daripada kesakitan dan gejala lain yang lebih serius.
– Pakar akan bekerjasama dengan keluarga dan doktor untuk memberikan sokongan tambahan kepada pesakit.
– Ia bertujuan meningkatkan kualiti hidup bagi penghidap kanser dan keluarga mereka.

Kredit foto CANVA

Bagaimana? Sudah jelas mengenai kanser ovari dan rawatan yang akan dilakukan kepada pesakit?

Sekiranya terdapat simptom-simptom awal, segera dapatkan pemeriksaan doktor. Sel kanser sangat cepat merebak dan perlukan rawatan awal.

Apa-apa pun diharapkan kita sekeluarga dilindungi daripada penyakit berbahaya itu.

Semoga juga Allahyarham Adibah Noor ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

ayari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan