PENGGUNAAN baby walker dalam kalangan bayi adalah satu tindakan yang tidak tepat kerana ia lebih menjurus ke arah keburukan berbanding kebaikan.

Kepincangan tersebut mungkin disebabkan oleh kurangnya pendedahan atau sikap ibu bapa yang tidak mahu cakna tentang perkara berkenaan.

Menurut Doktor Perubatan Swasta, Klinik Irma, Tanjung Malim, Perak, Dr Irma Izzati Abd Malek menerusi laman sosial, TikToknya berkata, mak ayah tidak sepatutnya membiarkan anak-anak terdedah dengan alatan berkenaan kerana ia boleh meningkatkan risiko kecederaan.

“Disebabkan oleh kadar kemasukan bayi di wad kecemasan hospital begitu tinggi gara-gara kecederaan yang dialami penggunaannya, negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia telah mengharamkannya (baby walker),” ujarnya.

Jelas Dr Irma, bayi memiliki satu perasaan ingin tahu yang begitu tinggi jadi mereka akan teroka setiap pelosok rumah dan capai apa yang boleh dipegang.

“Gara-gara roda yang ada pada kaki walker, pergerakan mereka menjadi laju sehingga ibu bapa tidak sempat menahan sesuatu yang mereka capai,” katanya.

Pada masa sama, bayi dan kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan menggenggam dengan kuat, justeru kebarangkalian untuk benda jatuh lalu mencederakan mereka adalah tinggi.

Pada akhir perkongsian, Dr Irma turut menerangkan kaki pengkar (bengkok ke dalam atau ke luar) merupakan salah satu kesan negatif penggunaan instrumen tersebut.

“Keadaan itu berlaku apabila tulang bayi masih lagi lembut dan belum bersedia untuk berjalan, namun apabila dipaksa itu yang memicu ke arah kaki bengkok.

Jadi biarkan anak-anak melalui proses jatuh dan bangun ketika mula belajar bertatih-tatih,” ulasnya.

Justeru, ibu bapa tidak perlu membazirkan duit untuk membeli baby walker yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada si kecil.

Sebaliknya, kumpul duit dan beli kerusi kereta bayi kerana ia lebih berguna dan mampu mengurangkan risiko kecederaan serius ketika berlakunya kemalangan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.