PADA asalnya, Nur Salina Makmum, 35, mengandaikan dirinya menghidap migrain tahap kritikal. Namun disebabkan tuntutan kerja, beliau tidak berkesempatan untuk membuat pemeriksaan di hospital.

Apabila sakit itu menyerang, Nur Salina akan menelan ubat tahan sakit. Kebergantungan terhadap ubat semata-mata akhirnya memakan diri sendiri.

Pada suatu hari yang tidak terduga, wanita itu pengsan di bawah terik mentari. Sebaik diagnosis dilakukan, beliau disahkan menghidap kanser otak tahap 3.

“Saya terkejut, saya fikirkan hanya migrain kerana terlalu memikirkan banyak projek di lapangan, namun sebenarnya saya ada kanser otak,“ kata jurutera awam itu ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Berdasarkan statistik National Brain Tumor Society, Amerika Syarikat (AS), dianggarkan 700,000 penduduk di sana hidup dengan ketumbuhan otak primer dan kira-kira 88,970 lagi orang akan didiagnosis dengan penyakit sama pada tahun ini.

Dalam kalangan kanak-kanak AS, seramai 13,657 orang sedang bergelut dengan masalah itu. Lebih menyedihkan, semua kes tumor yang dikesan setiap tahun berlaku dalam kalangan mereka yang masih bayi dan kanak-kanak berumur setahun hingga 14 tahun.

Justeru, sempena Hari Kanser Otak Sedunia, SinarPlus akan memperhalusi lebih lanjut mengenai penyakit berkenaan yang semestinya bukan sahaja takut didengari, gerun untuk disebut, apatah lagi kalau dideritai.

Kami turut mengupas krisis kesihatan tersebut dalam program DNA dengan menjemput Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf, MSU Medical Centre, Prof Dr Badrisyah Idris baru-baru ini.

Terdahulu, menjawab pertanyaan apa perbezaan ketara di antara migrain dan kanser otak, Dr Badrisyah menjelaskan satu persatu.

Katanya, pesakit yang mengalami barah otak, lazimnya akan mendapat sakit kepala yang berterusan dan tidak hilang, walaupun sudah mengambil ubat dan berehat.

“Selain simptom itu, mereka juga akan sering rasa sakit kepala pada waktu pagi. Apabila bangun sahaja daripada lena, mereka akan terus rasa nyeri.

“Simptom-simptom lain yang boleh dirasai adalah seperti muntah-muntah, gangguan pada penglihatan dan juga gejala-gejala lain yang disebabkan di mana terjadinya kanser atau barah di dalam otak. Mudah kata, sekiranya barah itu terdapat di kawasan pertuturan otak seseorang, ia akan mempengaruhi percakapan mereka,“ katanya.

Begitu juga kalau berlaku gangguan pada pergerakan tangan atau kaki, maka individu itu akan mengalami lemah-lemah pada bahagian anggota itu.

Jika di kawasan untuk mengawal emosi atau personaliti, ia akan menyebabkan seseorang berdepan dengan perubahan perangai, terang pakar berkenaan.

Sementara itu, beritahu Dr Badrisyah, barah otak terbahagi kepada empat gred. Gred 1 biasanya tidak agresif dan pesakit boleh dipulihkan 100 peratus daripada ketumbuhan.

“Untuk gred ini saya tidak panggil ia sebagai kanser, tetapi ketumbuhan kerana ia tidak bersifat agresif seperti yang saya katakan tadi. Gred 1 biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan orang muda.

“Untuk gred 2, 3 dan 4, barah atau ketumbuhannya adalah agresif. Walaupun berada pada gred 2, dalam beberapa tahun boleh menjadi gred 3. Begitulah seterusnya,“ ujarnya.

Bagi gred yang tinggi iaitu 4, pakar tersebut memberitahu, salur darah pesakit biasanya tidak normal, tumbuh dengan banyak dan tisu otak banyak mati.

Sehubungan itu, amatlah penting untuk pengamal perubatan mengetahui gred barah kerana ia akan menentukan jenis rawatan yang bakal diberikan.

Keperluan pembedahan

Mengenai hubung kait aspartam (perasa tiruan) dan penggunaan telefon bimbit yang dikaitkan dengan kanser otak seperti dimomokkan oleh kebanyakan warga maya, Dr Badrisyah mempunyai pandangannya tersendiri.

“Aspartam sudah digunakan kira-kira tiga dekad lamanya, sementara penggunaan telefon bimbit menghampiri empat dekad.

“Justeru, kesimpulan yang saya boleh buat, hubung kait di antara kedua-dua elemen itu amatlah terpencil. Dengan kata mudah, ia tidak mempengaruhi secara langsung dengan barah otak,“katanya.

Apabila menyentuh tentang kadar kesembuhan pesakit, Dr Badrisyah memberi jawapan yang rasional.

Beliau berterus terang bahawa penyakit barah memang sukar untuk disembuhkan.

“Sebagai contoh, kalau ketumbuhan itu ‘duduk‘ di kawasan pertuturan, bermakna pesakit mungkin tidak boleh bercakap. Begitu juga kalau terjadi di kawasan pergerakan, mungkin pesakit akan lumpuh. Sebab itu, rawatan terkini dengan teknologi terbaharu amatlah penting.

“Penting bermaksud, selepas pesakit menerima rawatan tidak kira apa jenis (rawatan) pun, mereka boleh ‘berfungsi semula’. Ia bermaksud mereka boleh berjalan dan bertutur,“ katanya sambil menegaskan bahawa otak merupakan bahagian yang paling sensitif kerana 100 peratus organ tersebut mengawal badan manusia.

SinarPlus turut bertanyakan kepada beliau tentang kaedah pembedahan yang sering dilakukan ke atas pesakit. Terlebih dulu, Dr Badrisyah menjelaskan situasi yang biasanya dialami oleh penderita.

“Begini, sekiranya seseorang yang mengalami gejala yang teruk, tekanan dalam otak akan menjadi terlampau tinggi sehingga menyebabkan sakit kepala yang berterusan, muntah-muntah dan gangguan pada penglihatan disebabkan barah yang semakin membesar,“ katanya.

Apabila hal itu tercetus, ia akan ‘mencuri’ atau mengambil bekalan darah dari bahagian otak yang lain sehingga menyebabkan bahagian di sekelilingnya (otak) menjadi bengkak.

“Kalau bengkak, ia tiada ruang lagi untuk mengembang. Jika ia (mengembang) dalam satu bahagian yang tertutup dan keras, tekanan dalam otak akan semakin tinggi. Sekiranya ia meningkat, bekalan darah dari jantung pun akan terganggu.

“Sebab itu, pembedahan diperlukan. Jika boleh buang (ketumbuhan) semua, kita buang.

“Jika sebaliknya, sebahagian sahaja untuk memastikan ia tidak memudaratkan fungsi utama badan seperti pergerakan dan pertuturan. Selebihnya, kita akan beri rawatan kimoterapi dan radioterapi,“ katanya memberi pencerahan.

Teknologi terkini

Bercakap mengenai teknologi terkini bagi merawat kanser otak, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Neurologi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Prof Madya Dr Shalini Bhaskar.

Beritahu Dr Shalini, salah satu alternatif terkini yang diguna pakai di Malaysia adalah teknik pancaran gamma.

“Teknik berkenaan merupakan peningkatan kemajuan terhadap rawatan radioterapi yang mana pancaran radiasi (gamma) berdos tinggi dapat ditumpukan kepada kawasan kanser sahaja dengan memberi kesan radiasi yang sedikit di kawasan sekeliling.

“Kebiasaannya, rawatan itu hanya perlu dilakukan sekali sahaja berbanding dengan radioterapi yang memerlukan rawatan ulangan,“ ujarnya.

Pakar itu menambah, rawatan proton masih belum dipraktikkan lagi di Malaysia, tetapi fungsinya juga sama sebagaimana radioterapi seperti pancaran gamma, cuma dos radiasi yang diberikan pada satu-satu masa lebih tinggi.

“Bagaimanapun, teknologi baharu yang disebutkan itu hanyalah sebagai satu bentuk perawatan sahaja dan tidak semua kes kanser otak yang berlaku boleh menggunakan teknik sama.

Iklan

“Pemeriksaan setiap pesakit tetap perlu dilakukan dengan teliti bagi mewujudkan pelan (rawatan) khusus yang bersesuaian untuk seseorang pesakit,“ terangnya.

Ujar Dr Shalini, sekiranya seseorang dapat menjalankan proses diagnosis lebih awal dan pada ketika itu, ketumbuhan yang berlaku masih kecil, ia dapat mengurangkan kesan semasa pembedahan dan rawatan termasuk dapat meningkatkan prognosis.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi orang yang berumur kurang daripada 15 tahun adalah kira-kira 75 peratus, tetapi bagi yang berumur 40 tahun ke atas hanyalah 21 peratus.

“Jenis kanser otak, lokasi dan saiznya juga mempengaruhi (kadar kelangsungan) hidup,“ katanya.

Pakar tersebut tidak menafikan, kadangkala kanser boleh menyukarkan seseorang untuk melakukan tugasan harian.

Pun demikian, perubahan gaya hidup boleh membantu menguruskan masalah tersebut.

“Sesetengah kanser boleh menyukarkan seseorang untuk menggunakan tangan, kaki atau mata mereka. Jadi, tugas-tugas yang melibatkan pisau atau alatan mesin mungkin menjadi berbahaya.

“Justeru, fisioterapi boleh membantu seseorang mendapatkan kembali kemahiran-kemahiran tersebut. Kadangkala pesakit juga mungkin akan kehilangan ingatan, pemahaman, kecerdasan walaupun setelah kanser dirawat,“ katanya.

Sehubungan itu, ujar Dr Shalini, pesakit perlu mendapatkan sokongan daripada pelbagai kumpulan agama, pekerja sosial dan ahli terapi kesihatan mental untuk dorongan serta semangat.

TONTON PROGRAM DNA:

Kanser Airis bertambah parah selepas terperangkap di bumbung rumah akibat banjir

Iklan

PEPATAH berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul memang sesuai menggambarkan derita yang ditanggung oleh adik Sri Nurairis Adelia Abd Razak, 5, yang disahkan mengalami barah otak. Menurut ibunya, Siti Junizanor Zainuddin, 36, pada usia enam bulan, anak kesayangannya sudah disahkan menghidap penyakit yang ditakuti ramai itu.

“Pada awalnya, doktor melakukan ujian Pengimejan Magnetik Resonan (MRI) kerana anak saya mempunyai tanda lahir berwarna merah pada badannya. Ketika itulah Airis (nama manja Sri Nurairis) dikesan mempunyai kanser otak dan perlu melakukan pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut.

“Kami minta penangguhan pembedahan sementara mencuba ikhtiar untuk perubatan tradisional. Namun, selepas beberapa bulan, Airis pengsan di rumah dan pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan di Hospital Sungai Buloh, Selangor,“ imbau wanita itu dengan nada pilu.

Ujar Siti Junizanor, apa yang mengejutkan, walaupun Airis telah menjalani beberapa kali prosedur untuk membuang tumor termasuk menjalani rawatan radioterapi dan kimoterapi, anaknya tetap aktif seperti kanak-kanak lain.

“Dia juga tidak mempunyai banyak masalah lain dan tiada juga mempunyai simptom kanser yang teruk,“ katanya lagi.

Pun begitu, kejadian banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada tahun lalu telah merubah segalanya dan memberi implikasi buruk kepada kesihatan si kecil tersebut.

“Sewaktu kejadian, kami terperangkap selama dua hari di bumbung rumah. Bukan itu sahaja, bekalan ubat Airis terputus dan kami hanya mempunyai bekalan air yang sedikit untuk dikongsi dengan lima orang anak.

“Beberapa hari selepas banjir, Airis muntah-muntah dan keadaannya semakin lemah sehingga tidak boleh berjalan lagi, hanya mampu terbaring di atas katil selama tiga bulan lamanya,“ katanya.

Selepas pemeriksaan susulan dilakukan di hospital, Siti Junizanor kelu sebaik mendengar kata-kata doktor yang mengesahkan tiada pembedahan yang boleh dilakukan ke atas Airis lagi.

Ketika SinarPlus menghubunginya dua hari lalu, dengan berat hati wanita itu memberitahu, anak kesayangannya sudah menemui ILAHI pada hari kedua Aidilfitri lalu.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI