Benarkah berbasikal boleh sebabkan lelaki mati pucuk. Ini pencerahan jelas pakar

APABILA mana-mana pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan zuriat setelah sekian lama berkahwin, pelbagai kata-kata nista dilemparkan orang sekeliling.

Paling tidak enak didengar adalah tuduhan mengatakan isterinya mandul dan tidak subur.

Sedangkan, kaum Adam juga mempunyai kekurangan tersendiri. Antara yang kerap menghantui seseorang lelaki adalah keadaan lemah tenaga batin atau kata mudahnya mati pucuk.

Namun, paling dikesali, sesetengah pesakit yang berdepan dengan krisis kesihatan itu enggan mengaku, apatah lagi mahu ke depan untuk menerima rawatan. Rata-ratanya malu dan takut dikecam.

Kredit foto: Ketut Subiyanto

Bagi mengulas lanjut perihal mati pucuk, SinarPlus menemui Pakar Perunding Urologi, Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr Sivaprakasam Sivalingam baru-baru ini.

Sebelum menerangkan lebih lanjut, ujar Dr Sivaprakasam, beliau mahu memperbetulkan persepsi orang ramai terhadap definisi mati pucuk atau erectile dysfunction (ED) yang sebenar.

“Kebanyakan orang di luar sana saya lihat begitu mudah melabel seseorang mempunyai ED, walaupun mereka baru gagal sekali dalam melakukan hubungan intim.

“Sebenarnya, untuk diagnosis ED, terdapat beberapa elemen yang perlu dilihat dan proses ini juga memakan masa untuk melabel sama ada seorang lelaki itu ialah pesakit ED atau sebaliknya,“ katanya.

Kredit foto: Alex Green

Berikut empat aspek yang diambil kira:

i) Masalah ereksi zakar berlaku berulang kali.
ii) Terjadi begitu kerap setiap kali melakukan hubungan seksual.
iii) Sukar untuk mendapatkan ketegangan zakar yang sempurna.
iv) Tidak berupaya untuk mencapai ejakulasi.

Baca juga: Sindrom Hunter: Penyakit genetik, sinonim dengan lelaki

Beritahu Dr Sivaprakasam, apabila seseorang individu memenuhi keempat-empat ciri yang disenaraikan itu, barulah mereka boleh dikategorikan mengalami ED.

Dalam pada itu, Dr Sivaprakasam bersetuju dengan kenyataan yang menyebut bahawa lelaki begitu segan mendapatkan konsultasi berkaitan sistem pembiakan mereka.

Fakta itu ujar beliau, dapat dibuktikan apabila statistik menunjukkan pesakit yang hadir berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan adalah tidak setara.

Kredit foto: Andrew Neel

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, The Global Prevalence Of Erectile Dysfunction yang diterbitkan pada tahun 2019 oleh National Library of Medicine mendapati, hanya 3 hingga 75.5 peratus rakyat negara itu yang mengaku ada ED.

Di Malaysia, tiada data terkini yang diperoleh. Namun, terdapat satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2011 berjudul Prevalence Of Erectile Dysfunction In Primary Care Setting menyatakan, sebanyak 69.5 peratus daripada 1,331 pesakit dengan lingkungan umur 40 hingga 79 memiliki tanda-tanda ED.

Kepada satu soalan, pakar perubatan berpengalaman itu memberitahu, mati pucuk tidak semestinya berlaku kepada mereka yang sudah berusia, tetapi ia boleh menimpa kepada sesiapa sahaja yang sudah mula melakukan hubungan intim.

Kanser prostat mempengaruhi

Kredit foto: Vera Arsic

Meneruskan perbincangan, Dr Sivaprakasam menjelaskan punca berlakunya mati pucuk disebabkan oleh dua keadaan iaitu:

  1. Psychogenic erectile dysfunction (PED): Kebanyakan pesakit dengan PED adalah terdiri daripada golongan yang lebih muda iaitu sekitar usia 20 hingga 30 tahun. Ia terjadi kerana masalah stres, kemurungan, gangguan keresahan atau trauma terdahulu.

2. Organic erectile dysfunction (OED): OED adalah disebabkan adanya gangguan pada salur darah yang menyalurkan darah ke alat kelamin, masalah saraf, hormon dan pengambilan ubat-ubatan seperti darah tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Sivaprakasam menjelaskan, seandainya seseorang mengalami simptom mati pucuk seperti kesukaran untuk mencapai ketegangan dan mengekalkan sehingga ejakulasi, mereka sebenarnya memiliki masalah kesihatan yang lain.

“Begini, masyarakat sering beranggapan bahawa mati pucuk adalah berpunca daripada sistem pembiakan sahaja, tetapi sebenarnya ia boleh terjadi jika terdapat masalah pada bahagian tubuh badan yang lain.

Kredit foto: Los Muertos Crew

“Kebiasaannya juga, kehidupan 10 tahun akan datang bagi pesakit ED yang tidak mendapatkan rawatan doktor, mereka berpotensi mempunyai penyakit jantung dan strok. Justeru, golongan yang mengalami gejala mati pucuk seharusnya tampil ke depan dan jangan malu untuk ceritakan masalah yang dialami,“ katanya.

Baca juga: Mengejutkan, bayi perempuan berusia setahun lebih dikesan ada angin pasang

Perbincangan demi perbincangan ujar pegawai perubatan itu, secara tidak langsung boleh membantu merawat ED.

Hala tuju perbincangan kami diteruskan dengan soalan perkaitan kanser prostat yang dikatakan boleh memicu kepada mati pucuk?

Menjawab pertanyaan yang dilontarkan, kanser jenis itu sememangnya mempunyai korelasi dengen ED.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

“Pesakit yang telah diagnosis dengan kanser prostat mempunyai dua punca risiko untuk ada ED. Pertama, disebabkan oleh barah itu sendiri yang mana sel abnormal telah merebak keluar daripada kapsul prostat.

“Jika ia menular hampir mengenai bahagian neurovascular bundle (struktur saraf, urat dan salur darah), akan berlaku tekanan pada aliran darah dan mengakibatkan penyampaian isyarat daripada saraf ke bahagian alat sulit terganggu,“ terangnya.

Beritahu Dr Sivaprakasam lagi, punca kedua adalah disebabkan oleh rawatan-rawatan yang dilalui pesakit seperti radioterapi, pemakanan ubat hormon dan pembedahan.

Kredit foto: Pavel Danilyuk

Adakah dengan berbasikal boleh menyebabkan seseorang itu mati pucuk? Jelas beliau, tiada kajian yang terperinci yang mengatakan bahawa aktiviti tersebut boleh menyebabkan mana-mana lelaki akan terkena ‘sindrom’ mati pucuk.

“Pun demikian, berbasikal terlalu lama boleh menyebabkan tekanan pada saliran darah dan saraf pada bahagian alat sulit yang mana akan menyebabkan gangguan aliran darah,“ ungkapnya.

Buang rasa malu

Kredit foto: Nathan Cowley

Bagi mendapatkan pencerahan bagaimana merawat kondisi mati pucuk, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Urologi, Hospital Pakar Metro, Sungai Petani, Kedah, Dr Mohamad Afzal Farikhullah Khan.

Maklum Dr Mohamad Afzal, terdapat beberapa langkah yang boleh diimplemenkan. Antaranya seperti:

i) Mengubah gaya hidup: Langkah pertama adalah meminta pesakit untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, mengurangkan pengambilan makanan segera dan tidak menyentuh alkohol.

ii) Rawatan hormon: Sekiranya pesakit mengalami ED disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon testosteron, mereka akan diberikan rawatan untuk menyeimbangkan semula hormon berkenaan.

Kredit foto: SHVETS production

iii) Rawatan khusus: Jika pesakit miliki ED kerana masalah pengambilan ubat darah tinggi, golongan itu akan diberikan ubat baharu yang tidak mengganggu fungsi alat kelamin.

iv) Rawatan endothelial dysfunction: Pesakit ED yang disebabkan oleh penyempitan salur darah, mereka akan diberi ubat yang boleh melancarkan semula aliran darah ke seluruh tubuh badan.

Iklan

v) Pembedahan: Sekiranya kesemua kaedah tidak berkesan, mereka akan menjalani rawatan pembedahan untuk memasukkan penile implant iaitu sejenis alat yang dimasukkan ke dalam alat sulit bagi membolehkan ia berfungsi seperti normal.

Seperkara, nasihat Dr Mohamad Afzal, sekiranya seseorang ingin mengelak daripada berhadapan dengan isu mati pucuk, mereka perlu melakukan beberapa perkara.

Antaranya, mengelak makan makanan jenis proestrogenic seperti ayam yang telah disuntik dengan bahan penggalak tumbesaran.

“Sebaik-baiknya makan makanan yang biasa diambil seperti nasi, protein dan sayur-sayuran segar. Seterusnya, perlu hentikan pengambilan bahan-bahan toksin seperti dadah, alkohol dan rokok. Kemudian, perlu kekal aktif bersenam sekurang-kurangnya 40 minit dan lakukan amalan itu tiga kali seminggu,“ jelasnya.

Kredit foto: Ella Olsson

Dr Mohamad Afzal menegaskan, mati pucuk boleh dirawat dengan syarat mana-mana lelaki perlu buang rasa malu untuk mendapatkan rawatan doktor demi menikmati hidup yang sempurna.

“Jika masalah itu dibiarkan begitu sahaja, mereka boleh mengalami komplikasi kesihatan lain seperti serangan jantung, strok dan sindrom metabolik (obesiti, tekanan darah tinggi, bacaan gula dalam darah tinggi),“ katanya yang senada dengan Dr Sivaprakasam.

Baca juga: Sakit dada sering dikaitkan dengan serangan jantung, tapi ini 10 sebab lain masalah itu mungkin terjadi

Baca juga: Urutan burukkan lagi masalah angin pasang, kebarangkalian untuk penyakit itu jadi sekali lagi sangat tinggi

#kesresponden

Tidak pernah sentuh isteri walau sudah empat tahun berkahwin

Kredit foto: Alex Green

SUDAH empat tahun berkahwin, tetapi tidak pernah melakukan hubungan intim dengan isteri.

Itu kisah benar yang diceritakan oleh Pakar Perunding Urologi, Hospital Pakar Metro, Sungai Petani, Kedah, Dr Mohamad Afzal Farikhullah Khan mengenai pesakitnya yang berdepan masalah mati pucuk.

Sebagai pakar, Dr Mohamad Afzal berkata, beliau membuat soal selidik selepas pesakit berusia 32 tahun itu mahu mengadakan konsultansi dengannya.

“Saya agak terkejut dengan pengakuan tersebut. Sebenarnya, tujuan utama mereka datang berjumpa dengan saya adalah kerana si isteri sudah tidak tahan ‘dibuli‘ dengan pertanyaan ahli keluarga si suami tentang perihal zuriat. Ada yang menuduh wanita itu mandul sehingga menyuruh suaminya berkahwin lain semata-mata untuk mendapatkan anak,“ katanya.

Iklan

Hubungan pasangan itu kemudian ibarat retak menanti belah. Masakan tidak, sudah wujud keinginan untuk menoktahkan perkahwinan. Pun demikian, masing-masing tetap berusaha mencari langkah terakhir untuk menyelamatkan rumah tangga.

Cerita menjadi lain apabila pemeriksaan kesihatan dijalankan.Diagnosis mendapati lelaki berkenaan menghidap dua masalah yang menjadi punca mengapa beliau tidak berupaya melakukan hubungan seksual.

Kredit foto: Karolina Grabowska

“Pertama adalah disebabkan paras hormon testosteron yang begitu rendah iaitu hanya enam. Kedua, hormon prolaktinnya (hormon yang menggalakkan penghasilan susu selepas bersalin) begitu tinggi.

“Perkara ini tidak normal bagi kaum Adam. Seharusnya nilai bacaan hormon lelaki di antara 20 hingga 25. Jadi, tidak hairanlah mengapa dia tidak mempunyai nafsu untuk melakukan hubungan intim,“ ujarnya yang membuat konklusi pesakit beliau mengalami masalah mati pucuk.

Dr Mohamad Afzal memberitahu, bagi membantu lelaki tersebut, tuan punya badan disarankan mengamalkan gaya hidup sihat.

Serentak dengan itu, pemberian ubat mengawal hormon diberikan agar sentiasa berada pada paras yang sepatutnya.

“Selepas itu saya melihat beliau sudah ada perubahan. Setiap kali mereka datang menghadiri rawatan susulan, saya boleh lihat si isteri hadir dengan senyuman bukan lagi tangisan. Kini, pasangan berkenaan sedang menjalani rawatan untuk mendapatkan zuriat,“ katanya.

Baca juga: Berbasikal boleh sebabkan seseorang mati pucuk, berikut penjelasannya

Baca juga: Merokok punca kulit kusam, mati pucuk

Kredit foto utama: alexandre saraiva carniato 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi