AMALAN berbengkung selepas bersalin begitu sinonim dalam kalangan wanita Melayu, namun dari aspek kesihatan adakah ia bawa manfaat atau hanya mengundang bahana?

Bagi sesetengah keluarga, pemakaiannya merupakan satu perkara yang wajib untuk dipatuhi demi mendapatkan semula badan yang sihat dan langsing.

Kepada golongan yang sangat mementingkan kesempurnaan tubuh badan pula, bengkung juga dijadikan salah satu instrumen untuk cepat kurus.

Maka, tidak hairanlah mengapa lambakan bengkung yang didakwa memiliki fungsi ‘luar biasa’ dijual secara meluas.

Persoalannya, adakah pemakaian alatan itu boleh merosakkan kesihatan? Disebabkan pelbagai andaian timbul, SinarPlus menghubungi Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nor Elyana Noordin untuk mendapatkan pencerahan.

Ujar Dr Nor Elyana, sebenarnya berbengkung tidak mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan selagi cara pemakaiannya betul.

“Cara yang tepat adalah memakainya dengan tidak terlalu ketat sehingga boleh buatkan badan berasa sakit dan tidak selesa. Jika terlalu ketat, ia akan menyebabkan berlakunya masalah peredaran darah.

“Seelok-eloknya selepas bersalin, bengkung diikat secara berperingkat. Contohnya, pada minggu pertama (selepas bersalin), skala ketatnya pada tahap satu dan skalanya ditingkatkan pada minggu-minggu seterusnya,” kata beliau memberi panduan.

Baca juga: Lebih ramai lelaki berbanding wanita berhadapan radang tulang belakang

Perbaiki postur badan

Mengulas lanjut, pakar perubatan itu berkata, berbengkung memiliki lebih banyak manfaat kepada tubuh wanita dan tidak tertakluk kepada mereka yang lepas bersalin sahaja.

“Kebanyakan orang melihat berbengkung hanya untuk kurus, tetapi sebenarnya tidak. Antara kelebihan berbengkung adalah dapat memperbetulkan postur badan, mengurangkan sakit belakang dan menstabilkan bahagian pelvis.

“Kenapa wanita selepas bersalin amat digalakkan untuk memakai bengkung? Salah satunya seperti yang saya katakan tadi, ia dapat membantu memperbetulkan kembali postur badan,” jelas beliau.

Bukan itu sahaja, otot yang berada pada bahagian perut juga dapat dirawat dan diperbaiki dengan segera.

“Sebagai contoh, diastatis recti merupakan satu keadaan otot perut yang terpisah disebabkan oleh kehamilan. Oleh sebab itu, selepas bersalin wanita akan mengalami masalah kulit perut mengendur,” katanya.

SinarPlus turut merujuk informasi yang dikongsikan oleh laman web perubatan antarabangsa, Healthline mengenai amalan berbengkung.

Ternyata, mereka turut menyarankan pemakaian alat itu selepas menjalani beberapa pembedahan seperti caesarean, bariatrik, histerektomi, tulang belakang termasuk penerokaan pembedahan dinding perut.

Healthline berpendapat, selepas proses itu, berbengkung dapat membantu individu dalam beberapa aspek seperti:

  • Menyokong ‘hirisan’ pembedahan.
  • Melegakan kesakitan.
  • Dapat bergerak lebih.
  • Mengurangkan bengkak.

Baca juga: Kenali penyakit skoliosis yang dideritai penyanyi Zamani Slam. Ini fakta yang perlu kita tahu

Iklan

Poin kedua yang dinyatakan penulisan itu disokong oleh Dr Elyana yang sekali lagi menyatakan bahawa wanita yang bersalin secara pembedahan amat digalakkan memakai instrumen berkenaan bagi tujuan mengurangkan rasa sakit.

“Tidak hanya itu, keberkesanan prosedur caesarean turut dibuktikan dalam satu kajian yang menyebut bahawa berbengkung dapat memampatkan bahagian abdomen, malahan mempercepatkan pemulihan tisu, meningkatkan aliran darah dan mengurangkan keradangan,” katanya lagi.

Perbincangan kami kemudian menghala kepada pertanyaan adakah penggunaan bengkung dipraktikkan oleh masyarakat Barat?

Pakar itu berkata, kaedah tersebut begitu sinonim dengan mereka, namun beliau kurang pasti negara mana yang mula mengimplemenkannya.

“Apa yang saya pasti, terdapat beberapa buah negara sudah mula mempromosikan penggunaan bengkung dan ada juga yang sudah mengamalkannya.

Iklan

“Oleh sebab itu, terdapat kajian keberkesanan pemakaian bengkung dari negara luar,” beritahunya.

Memperincikan kembali adakah berbengkung merupakan satu cara untuk memperoleh berat badan ideal seperti yang diidamkan oleh ramai orang?

Menjawab pertanyaan popular itu, tegas Dr Elyana, tiada kajian yang membuktikan bahawa pemakaian bengkung mampu menguruskan badan.

“Pemakaiannya hanya menampakkan susuk tubuh seseorang itu kelihatan cantik dan langsing. Jika inginkan tubuh yang kurus, amalkan pemakanan yang sihat,” ungkapnya.

Baca juga: Ramai tak sedar kesan buruk guna bengkung secara harian dan berterusan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan