Betulkah anak kedua miliki karakter negatif dan sosok kurang menyenangkan? Penganalisa karakter beri jawapan

ANAK-ANAK yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapa.

Mereka bertanggungjawab untuk membentuk keperibadian si kecil tidak kira anak sulung, kedua atau ketiga, waima anak bongsu.

Menyentuh tentang anak kedua, terdapat banyak andaian, telahan atau hal berbentuk sindiran yang sering dimomokkan kepada golongan itu.

Namun, antara yang paling sukar diterima adalah kenyataan yang mengatakan mereka memiliki karakter yang bengkeng dan keras kepala.

Tidak pasti sama ada ia satu fakta atau auta, SinarPlus menghubungi Penganalisa Karakter, Dr Azura Hanim Hashim.

Kredit foto: Emma Bauso

Ujar Dr Azura, kelahiran anak kedua sama ada dirancang atau sebaliknya, lazimnya disambut dengan reaksi ‘tidak berapa meriah‘ dan kurang keterujaan berbanding dengan kelahiran zuriat pertama.

“Mengapa? Ini kerana kebanyakan ibu bapa berasakan mereka telah melalui keadaan dan pengalaman dengan anak pertama dan tiada apa-apa yang baharu. Oleh yang demikian, kebanyakan ibu bapa memilih untuk mengabaikan keperluan emosi dan mental anak kedua,“ ujarnya.

Apabila situasi berkenaan tercetus, maka ‘lahirlah‘ anak yang biasanya mempunyai perasaan untuk bersaing melibatkan adik beradik lain.

“Mereka juga akan ketagih perhatian dan acap kali tersepit di tengah-tengah di antara abang atau kakak dan adik. Itu sebab ramai yang mengatakan anak kedua mempunyai sikap mudah memberontak dan degil,“ ujarnya.

Baca juga: Bahayakah jika anak kecil suka duduk menggunakan posisi W? Ini fakta kesihatan yang perlu ibu bapa tahu

Baca juga: Anak terdedah kepada masalah mental jika masih tidur satu bilik dengan mak ayah. Ini kata pakar

Kemahiran keibubapaan

Kredit foto: Arina Krasnikova

Mengulas lanjut, Dr Azura berkata, terdapat kajian yang mendedahkan bahawa anak kedua mempunyai perbezaan dengan anak-anak lain.

Namun, terdapat juga penyelidikan yang menyangkal fakta tersebut dan masih berpegang kepada pendekatan setiap anak tiada beza.

“Bagaimanapun, suka untuk saya kongsikan bahawa gandingan situasi itu dengan kemahiran keibubapaan adalah perkara yang sangat penting. Ini kerana ia akan memberi pengaruh yang sangat besar kepada emosi, kelakuan dan pertumbuhan anak-anak,“ katanya.

Bagaimanapun, ujar penganalisa itu lagi, segala-galanya berbalik kepada cara layanan mak dan ayah atau penjaga kepada zuriat masing-masing.

Kredit foto: Elina Fairytale

“Jika mereka adil dan memberi perhatian serta layanan yang sama rata, si anak sama sekali tidak akan berhadapan dengan masalah ‘sindrom anak kedua.‘

“Dalam hal ini juga, berbalik kepada konsep pendidikan Islam yang sangat menganjurkan ibu bapa memberi fokus kepada anak pertama kerana itulah kayu ukur dan contoh yang baik kepada adik-beradik yang lain.

“Namun, sekiranya ibu bapa gagal mengawal keadaan itu dengan baik, saya boleh katakan ia akan memberi kesan kepada anak kedua dan mereka seolah-olah rasa diri dipinggirkan,“ tambahya.

Bagaimanapun pula dengan pandangan yang mengatakan golongan tersebut memiliki ciri-ciri seperti kurang keyakinan, perahsia selain jarang berkomunikasi?

Kredit foto: Pixabay

Menjawab pertanyaan itu, Dr Azura berkata, penting untuk ibu bapa tahu bahawa semasa kecil, mereka mungkin dihujani dengan karakter-karakter sebegitu.

“Namun, apabila membesar, anak kedua inilah yang mempunyai sifat kreatif, inovatif dan imaginatif yang sangat tinggi dalam diri masing-masing.

Iklan

“Lebih mengagumkan, mereka juga akan membesar dengan ciri-ciri seorang pekerja yang sangat bagus kerana mempunyai sifat team player yang baik. Keadaan tersebut terjadi kerana mereka sudah terbiasa dengan sikap sering bertolak ansur, mudah mengalah dan memiliki ego yang rendah berbanding abang atau kakak dengan adik-adik yang lain,“ jelasnya.

Perantara ‘semula jadi‘

Kredit foto: Rose Dudley

Dalam pada itu, seorang doktor yang juga ahli terapi di Austria, Alfred Adler berkata, susunan kelahiran boleh meninggalkan kesan mendalam kepada gaya hidup individu yang merangkumi cara seseorang berurusan dengan isu-isu persahabatan, kasih sayang dan pekerjaan.

Mengulas tentang ‘falsafah‘ anak kedua, Adler berkata, kelompok berkenaan pada dasarnya, tidak mempunyai semangat kendiri yang kuat dan banyak mengharapkan panduan daripada abang atau kakak sulung.

Dalam pengertian yang mudah, anak pertengahan lebih cenderung untuk mengikut perkembangan situasi dan hanya bertindak mengikut keadaan.

Adler juga menggambarkan anak kedua sebagai orang perantara ‘semula jadi‘ yang lazimnya akan menjadi pendamai dalam sesebuah keluarga.

Iklan
Kredit foto: cottonbro studio

“Secara tak langsung, mereka mempunyai ramai kawan kerana sifat mereka yang senang didekati atau lembut. Ia termasuk kesetiaan kepada rakan-rakan sekeliling yang tidak berbelah bagi.

“Selain itu, sesetengah mereka mungkin mempunyai sifat yang sentiasa tenang atau acuh tidak acuh,“ katanya kepada The National Center for Biotechnology Information.

Namun, pada masa sama, anak kedua tidak dapat lari daripada rasa terasing dalam mendapat kedudukan yang istimewa termasuk memikirkan diri mereka tidak penting dalam keluarga sendiri.

Baca juga: Risau anak meragam sewaktu berada dalam kapal terbang? Ini 7 tip yang mak ayah boleh lakukan

Baca juga: Sikap ibu bapa yang suka banding-bandingkan boleh buatkan mental anak cepat koyak! Pakar jelaskan sebab-sebabnya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi